Penamaan calon sudah...tampal poster sudah...berkempen pun sudah...hari ini tiba masanya rakyat di Permatang Pauh menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin yang bakal menduduki kerusi Ahli Parlimen yang telah dilepaskan oleh penyandang sebelum ini, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail atas alasan memperkukuhkan perjuangan menjaga kebajikan rakyat. Permatang Pauh sebenarnya memiliki rentetan cerita penuh warna-warni, malah kedudukan kerusi Parlimen itu juga dua kali bertukar warna...daripada biru pekat (Barisan Nasional-BN) kepada biru cair (Parti Keadilan Rakyat-PKR) apabila bekas Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan salah laku seks, bertindak menubuhkan Parti Keadilan Rakyat dan meletakkan isteri beliau, Wan Azizah mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum 1999.
Hari ini setelah 10 tahun meninggalkan kerusi Permatang Pauh... dituduh... dibicara... dipenjarakan - kemudian dilucutkan jawatan Ahli Parlimen: Anwar sekali lagi akan beradu nasib untuk mendapatkan kembali kerusi berkenaan yang sebelum ini berjaya dipertahankan oleh isteri tercinta. BN pula walaupun tiga percubaan untuk merampas Permatang Pauh sebelum ini gagal, namun parti komponen itu tidak pernah berputus asa - apatah lagi kali ini calon yang dipertaruhkan bukan calang-calang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah - anak tempatan dan juga boleh dianggap orang lama dalam kancah politik Pulau Pinang. Bermula sejak hari penamaan calon 16 Ogos lalu, pelbagai insiden telah berlaku di Permatang Pauh yang boleh memberi gambaran betapa 'panasnya' pilihan raya kecil itu; kejadian dua jurugambar media tempatan dan asing dibelasah penyokong salah satu parti bertanding...insiden baju Puteri UMNO koyak...sehingga kepada peristiwa penemuan kotak yang disyaki ada bahan letupan, membuatkan ramai tertanya-tanya, adakah ini trend baru senario politik serta pilihan raya di Malaysia.
Malah pihak polis sendiri turut mengumumkan sebanyak 26 kertas siasatan telah dibuka berkaitan pelbagai laporan yang ada hubung kait dengan tindakan provokasi sepanjang sembilan hari tempoh berkempen. Jumlah itu merupakan satu rekod baru dalam catatan pilihan raya kecil di negara ini. Bagi penulis, kesemua insiden yang berlaku di Permatang Pauh tidak dapat dinafikan berpunca daripada keghairahan semua pihak untuk menguasai kerusi 'panas dan paling popular' itu. BN - dengan misi untuk memastikan percubaan kali keempat mereka berjaya, dan jika mampu mengambil alih tampuk kekuasaan di Permatang Pauh, ia secara tidak langsung memberi isyarat bahawa maruah Anwar berjaya dirobek dan mantan TPM itu hanya boleh bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6 seperti yang diimpikan selama ini. Manakala bagi Anwar pula; Permatang Pauh adalah segala-galanya - karier politik, kekebalan, maruah dan 1001 impian berlubuk di sana.
Beliau cuba bermati-matian untuk mendapatkan kembali kerusi Ahli Parlimen bagi memastikan survival politik biarpun dihambat tuduhan liwat terbaru dan juga sumpah laknat bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar tiada pilihan, menang ataupun terpaksa merelakan impian yang diperjuangkan untuk menerajui pemerintahan negara menjadi debu. Dan kehadiran Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat sebagai calon ketiga, dilihat oleh ramai penganalisis politik tidak lebih daripada sekadar untuk pemecah undi. Biar apapun alasan...sehebat manapun kempen yang dijalankan...penentu undi terletak di tangan-tangan orang Permatang Pauh. Hanya mereka yang berhak untuk menentukan siapakah yang paling layak mewakili mereka nanti. Penulis tidak mahu menjadi hakim ataupun tukang ramal, parti manakah satu yang bakal menang pada pilihan raya hari ini. Biar pengundi Permatang Pauh dengan keizinan Ilahi sahaja yang menjawab segala kesudahannya - 'Happy ending' milik siapa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan