BUKIT KATIL, 17 Jun (Hrkh) - Muktamar Dewan Muslimat PAS Melaka kali ke-39 yang diadakan di INB Resort, di sini, telah meluluskan usul agar PAS Pusat menubuhkan sayap baru iaitu Dewan Mujahidah PAS Malaysia (DMPM).Penubuhan dewan tersebut adalah bertujuan bagi menggalakkan penyertaan generasi muda dan para graduan IPT yang terdiri daripada golongan di bawah umur 40 tahun kerana mereka dilihat kurang berminat menyertai PAS disebabkan tiada wadah yang sesuai. Usul itu diterima sebulat suara dan dibentangkan oleh Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man, yang antara lain menyatakan bahawa tiadanya wadah politik yang sesuai untuk mereka kerana Dewan Muslimat itu sendiri terdiri daripada golongan yang agak berumur.
"Menyedari bahawa generasi muda melihat Dewan Muslimat PAS sebagai sebuah dewan yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang jauh lebih berusia dan juga pemikiran serta tindak-tanduk yang mempunyai frekuensi dan 'wavelength' yang berbeza ianya seolah-olah mewujudkan kelompangan wasilah siasah. "Generasi muda kini semakin berminat untuk bergiat aktif di arena politik, mereka juga mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap pergolakan politik negara, justeru itu, gelombang perubahan ini mesti diurus tadbir dengan keseriusan dan kepertanggungjawaban yang tinggi," ujar beliau. Beliau berkata, generasi muda secara fitrahnya mempunyai semangat yang cukup tinggi, idea-idea baru, pemikiran yang segar serta lontaran-lontaran buah fikiran yang mampu membuat anjakan paradigma untuk kelangsungan Hadharah Islamiyyah.
Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa tidak dapat dinafikan pewaris kepada pemimpin negara pada masa akan datang sewajibnya terdiri daripada generasi muda kini yang bertunjangkan fikrah Islamiyyah yang jelas dan mantap serta professional dalam pelbagai disiplin ilmu. Tambahnya, Nisa' yang ditubuhkan sebagai wadah bagi golongan muda hanya menjalankan aktiviti kebajikan dan sosial sahaja serta tidak bergerak atas landasan politik. Akibat ketiadaan platform politik yang sesuai ini menyebabkan ramai para aktivis jemaah di kampus-kampus menjadi lemah atau gagal meneruskan perjuangan mereka selepas bergelar graduan,"katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan