Followers

Selasa, 27 Mei 2008

SELANGOR HARAMKAN ISLAM HADHARI

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang mempunyai kaitan dengan Islam Hadhari mulai semalam kerana tidak mahu konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dikembangkan di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, berkata selaras arahan itu, semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program termasuk khutbah yang menyentuh dan ada hubung kait dengan Islam Hadhari. Beliau memberi alasan konsep Islam Hadhari tidak diperlukan kerana ajaran Islam yang diamalkan umat Islam di negara ini sudah lengkap dan menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan manusia sejagat.

"Kita tidak mahu konsep Islam Hadhari dikembangkan di negeri ini. Ajaran Islam yang kita amalkan sudah lengkap dan ajaran inilah yang kita mahu sandarkan untuk memerintah Selangor," katanya pada sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Pesuruhjaya Pas Selangor itu juga menafikan pemimpin Pas di negeri itu pernah berjanji menutup semua pusat hiburan dan kilang arak sekiranya mengambil alih pemerintahan negeri. Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin Pas termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.

Tiada ulasan: