
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru di Istana Bukit Kayangan di sini semalam, mengesahkan tidak akan melantik Timbalan Menteri Besar. Beliau berkata, mengikut Bab 5 Perkara 51 (1A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, pelantikan Timbalan Menteri Besar perlu diperkenankan Sultan Selangor mengikut peruntukan Perenggan (c) Fasal (2) Perkara 53. Mengikut peruntukan itu, katanya, Sultan Selangor boleh melantik seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai Timbalan Menteri Besar jika dinasihatkan Menteri Besar. "Peruntukan ini jelas menyatakan Menteri Besar yang akan menasihati Sultan Selangor untuk melantik Timbalan Menteri Besar. "Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk menasihatkan Sultan Selangor melantik seorang timbalan bagi membantu menjalankan kewajipan dan fungsi saya sebagai Menteri Besar," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 di depan Sultan Sharafuddin Idris Shah. Selepas itu, Abdul Khalid menandatangani watikah pelantikan yang disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad. Hadir sama, pegawai tinggi kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datin Paduka Zauyah T Lothy Khan dan Mufti Negeri, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid. Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali turut hadir mewakili Pas manakala DAP diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Abdul Khalid, 62, berkata walaupun beliau boleh menasihatkan bukan Melayu boleh dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar tetapi pelantikan itu perlu mendapat perkenan Sultan Selangor terlebih dulu. "Kita ada Sistem Beraja seperti Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Negeri ini ada peruntukan perundangan yang perlu diberi perhatian," katanya. Abdul Khalid berkata, ketika ini, beliau mahu menumpukan perhatian kepada pelantikan barisan Exco yang akan dibuat sebelum 22 Mac ini seperti yang dititahkan Sultan Selangor. Katanya, bilangan barisan Exco yang baru akan dikekalkan seramai 10, sama seperti kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional (BN) tetapi beliau enggan mendedahkan wakil rakyat PKR, DAP dan Pas yang akan menyandang jawatan itu. Sebelum itu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang membaca kenyataan media menafikan dakwaan pihak Istana hanya memihak kepada satu kaum saja dalam pelantikan Timbalan Menteri Besar. "Saya menegaskan di sini yang berita itu tidak benar. Sehingga kini, Menteri Besar belum menasihatkan Tuanku Sultan berkenaan pelantikan Timbalan Menteri Besar. Jadi, soal sama ada seorang Timbalan Menteri Besar berbangsa Melayu atau bangsa lain tidak timbul," katanya. Mohamad Munir, berkata Selangor adalah Negeri Beraja dan Sultan Selangor bertindak mengikut budi bicara dalam menjalankan fungsi Ketua Agama Islam dan perkara berhubung adat Melayu seperti diperuntukkan mengikut Fasal 1, Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Katanya, Menteri Besar bertanggungjawab membantu Sultan melaksanakan tugas dan fungsi itu dan sewajarnya Timbalan Menteri Besar dilantik di kalangan bangsa Melayu dan beragama Islam. "Saya menasihatkan pihak berkenaan supaya tidak lagi menyebarkan berita tidak benar supaya tidak menimbulkan gambaran tidak benar terhadap Istana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan