GEORGETOWN: Umno Pulau Pinang akan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya membatalkan semua projek mega yang dicadangkan di negeri ini, termasuk Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang mengalami kerugian operasi kira-kira RM14 juta setahun, juga mungkin dihentikan jika kerajaan negeri enggan mengambil alih operasi atau tambang tidak dinaikkan. Perkhidmatan bas awam, RapidPenang yang memulakan perkhidmatan di negeri ini pada 31 Julai lalu, juga mungkin dihentikan. Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim, berkata cadangan itu dibuat berikutan rakyat negeri ini tidak menghargai jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjuang untuk kemajuan Pulau Pinang. “Ketika BN sedang memajukan negeri, rakyat pula yang tidak mahu dengan menolak BN. Kita akan syorkan kepada Kerajaan Pusat supaya menghentikan semua projek mega dan projek Kerajaan Pusat di negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Umno negeri yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah di Bangunan Umno di sini, semalam. Hadir sama, ketua Umno bahagian di negeri ini serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menang pada pilihan raya lalu. Dalam pilihan raya itu, Umno menang 11 daripada 14 kerusi yang diwakilinya. Antara projek mega yang dirancang oleh Kerajaan Pusat di Pulau Pinang termasuk pembinaan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) yang bernilai RM1.02 bilion dan monorel (RM1.2 bilion) di bahagian pulau serta Butterworth Sentral di Seberang Prai. Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 kilometer menghubungkan Batu Maung dekat sini dan Batu Kawan di Seberang Prai, dijangka membabitkan kos antara RM3 bilion hingga RM4 bilion. Azhar yang dilantik ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, Umno Pulau Pinang mahu kerajaan campuran DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melaksanakan sendiri projek membangunkan negeri ini.
Sambil menegaskan Umno bukannya mahu membalas dendam kerana kalah dalam pilihan raya lalu, beliau berkata, kerajaan negeri perlu membuktikan kebolehan dan kemampuan kepada rakyat negeri ini. “Kita bukannya membalas dendam tetapi ia adalah tanggungjawab kerajaan baru untuk bangunkan Pulau Pinang,” katanya. Diminta mengulas tindakan berkenaan boleh memberi kesan kepada rakyat, Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Penaga, berkata: “Ini yang rakyat mahu, dan mahu pimpinan baru... rakyat yang pilih”.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan