Followers

Sabtu, 1 Mac 2008

Serius: Lambat laun kerajaan kena tukar juga

Maulana Purnama Sat Mar 01, 08 11:10:46 am MYT
Barisan Nasional (BN) mesti terima hakikat bahawa mereka tidak boleh memerintah negara selama-lamanya. Pada satu hari, kalau tidak Barisan Alternatif (BA) pun, suatu gabungan parti-parti alternatif atau pembangkang wajar mengambil alih kuasa. Kalau tidak dalam pilihan raya ini, pilihan raya pada masa-masa akan datang. Persiapan untuk itu perlu dilakukan. Perubahan kerajaan bukan soal memberi peluang kepada pihak pembangkang, atau cuba pembangkang untuk satu penggal. Ia bukan memberi peluang atau eksperimen, tetapi hakikat dalam politik demokrasi pelbagai parti. Satu parti atau gabungan tidak boleh terius-menerus memerintah. Perubahan mesti berlaku. Satu hari parti alternatif bukan saja dapat memerintah satu penggal, tetapi berpenggal-penggal. Dalam demokrasi, rakyat boleh tukar kerajaan. Setelah 50 tahun Umno menerajui kerajaan, masanya sudah sampai, sebelum keadaan menjadi bertambah parah untuk menukar kerajaan. Kerajaan baru kelak boleh diuji. Kalau tidak berpuas hati, rakyat boleh tukar kembali kepada BN. Kalau tidak, boleh terus menerima kerajaan baru hingga kepada penggal-penggal akan datang. Apa yang penting sekarang, budaya bertukar-tukar kerajaan harus bermula, lebih baik dalam pilihan raya ini. Kalau tidak, persiapan untuknya juga boleh dilakukan. Pada hakikatnya kerajaan Malaysia juga sudah berubah sejak negara mencapai kemerdekaan. Dahulu dalam bentuk Perikatan. Dengan penubuhan Malaysia, kerajaan berubah dengan Perikatan turut bergabung dengan Perikatan Sarawak dan Perikatan Sabah. Selepas 13 Mei 1969, kerajaan berubah sekali lagi dengan penubuhan BN yang di dalamnya parti Gerakan, PAS dan Parti Progresif Rakyat (PPP). Tetapi sepanjang masa itu, teras kerajaan adalah Umno. Bagaimanapun Umno sendiri berubah padsa tahun 1987 dengan penubuhan Umno Baru. Hakikatnya Umno sebenar telah menjadi pembangkang ketika itu iaitu dipimpin oleh Tengku Razaleigh dan disokong oleh Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn dalam bentuk Parti Semangat 46. Sepuluh tahun kemudian barulah Umno asal pulih apabila Semangat 46 dibubarkan dengan ahli-ahlinya menyertai Umno Baru. Hakikatnya ia merupakan gabungan atau merger antara Umno Baru dan Parti Melayu Semangat 46. Tetapi perubahan-perubahan ini tidak mencukupi. Ia memerlukan peralihan kerajaan besar-besaran dengan melibatkan perbezaan fahaman. Walaupun parti-parti pembangkang mempunyai pandangan yang ada kalanya bertentangan antara satu sama lain, umpamanya antara PAS dan DAP, tetapi perbezaan ini merupakan sebahagian daripada kepelbagaian yang menjadi kelebihan kepada mereka. Bagaiamanpun, secara umumnya semua parti pembangkang, baik Barisan ALternatif mahupun DAP mempunyai platfom yang sama iaitu keadilan, kebebasan, demoikrasi, liberalisme san bermoral. Melihat manifesto-manifesto PAS, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP kelihatan nilai yang diperjuangkan adalah sama. Iaitu menentang rasuah dan berorientasikan kepentingan rakyat. Begitu juga dengan manifesto Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding atas tiket PKR dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang enggan bergabung dengan PKR. BN boleh kata bahawa mereka juga menentang rasuah. Tetapi rekod Umno melalui Perikatan dan BN sepanjang 50 tahun negara mencapai kemerdekaan adalah jelas. Walaupun adanya pembaharuan usaha di pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan usaha tindakan undang-undang, tetapi rakyat meragui keikhlasan dan keazaman BN untuk membanteras rasuah. Isu istana Adun di Klang dan projek-projek membazir yang berlaku di merata-rata menimbulkan syak wasangka mengenai budaya korupsi, kolusi dan nepotisme Umno. Umno dan BN boleh menyatakan bahawa mereka juga berorientasikan rakyat. Tetapi apa yang disaksikan sikap memberi kelebihan kepada Umnoputera menampakkan wajah sebaliknya. Sememangnya Umno dan BN akan menuduh pembangkang membuat tohmahan dan fitnah. Tetapi perkara-perkara ini berlaku kerana sikap tidak telus kerajaan pimpinan Umno dalam soal pemberian-pemberian projek atau permit import. Namun begitu dapat difahami parti-parti pembangkang juga mampu melakukan kesalahan-kesalahan ini. Dapat difahami bahawa pemilikan kuasa membuka ruang korupsi. Tetapi masa juga menambahkan lagi ruang. Sesuatu pihak yang berkuasa dalam tempoh yang lama akan terdedah kepada korupsi berbanding mereka yang hanya memerintah pada jangka waktu yang pendek. Satu cara bagi mengelak rasuah ialah dengan mengadakan sistem dua parti di mana pembangkang juga berpeluang untuk menang pilihan raya dan menubuhkan kerajaan. Justeru keadaan di mana pihak pembangkang menang dalam pilihan raya dan menerajui kerajaan adalah penting bagi kebaikan negara. Selama 50 tahun, Umno telah mewujudkan budaya kronisme yang akhirnya membuka ruang kepada korupsi. Jika mereka mampu dijatuhkan sebagai kerajaan, sudah tentu korupsi ini dapat dielakkan. Satu cara berpolitik yang baru perlu diwujudkan bagi memajukan negara di samping menerapkan keadilan.

Tiada ulasan: