Followers

Jumaat, 2 November 2007

Ingatan BuaT KiTa SeMua .. Pandai CaKap PanDai BuAt dan pandai Tanggung

Perwakilan dinasihat bijak kawal emosi

JASIN: Perwakilan yang berbahas pada Perhimpunan Agung Umno minggu depan diingatkan supaya tidak bermegah dengan kepetahan bercakap, sebaliknya harus sentiasa peka kepada aspek perjuangan sebenar parti. Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, berkata pembahas juga perlu mengelak daripada dipengaruhi rasa marah bagi mengelak apa yang diperkatakan tersasar daripada perjuangan membela bangsa. Beliau berkata, setiap pembahas perlu bijaksana bagi memastikan keutuhan parti dan perpaduan bangsa sentiasa terpelihara berdasarkan tiga lapisan utama politik yang sering diamalkan pemimpin terdahulu.
"Politik ini punyai tiga lapisan iaitu pertama, nampak di mata; kedua, yang tersirat di hati dan ketiga, pelaksanaan. Kalau kita dapat menganalisis semua lapisan itu, saya yakin perjuangan Umno dalam menentukan kestabilan parti dan keharmonian pelbagai kaum dalam negara akan tercapai. "Justeru, saya harap perwakilan tidak hanya bermegah dengan dengan kepetahan berbicara tanpa memikirkan perasaan orang lain. Jika itu berlaku, ia tidak ubah seperti 'lebih lajak daripada laju' yang akhirnya akan menyebabkan mereka tersilap langkah. "Ini akan hanya mengakibatkan mereka sendiri serta seluruh masyarakat tersasar daripada perjuangan sebenar," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan geran hak milik tanah tapak rumah Mukin Semujuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, di sini, semalam.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Hamdin Abdollah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Abu Pit serta Pengerusi Felcra, Datuk Nasharuddin Hashim. Abdul Aziz yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, kesilapan pembahas dalam mengemukakan pendapat mereka juga boleh memberi impak besar kepada perpaduan kaum yang secara tidak langsung boleh membawa kesan negatif. "Perwakilan yang petah bercakap saya puji, tapi dia mestilah bijaksana. Kalau tidak, kita akan terperangkap dalam kegagalan politik. Saya minta perwakilan sedar mereka ada tanggungjawab untuk diri, keluarga serta masyarakat," katanya. Terdahulu pada majlis berkenaan, beliau menasihatkan penerima geran di bawah skim berkenaan supaya menghargai pemberian itu dengan menjaganya dengan baik serta sempurna.
"Pemilik tanah juga diminta supaya tidak terpengaruh dengan janji manis pihak tertentu yang menghasut supaya mereka menjual tanah berkenaan," katanya. Jangan mengikut nafsu untuk mendapatkan duit cepat dengan jual tanah yang diberikan. "Tanah ini adalah harta yang bakal dinikmati anak cucu kita. Jadi jangan terpengaruh dengan umpan dan kata manis orang yang mahu membelinya," katanya.

Tiada ulasan: