Followers

Jumaat, 2 November 2007

Melaka mohon lebih peruntukan untuk tambah utang

Sumbangan bagi jayakan tiga strategi utama pembangunan untuk rakyat

MELAKA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob berharap Kerajaan Persekutuan meluluskan lebih banyak peruntukan kepada kerajaan Melaka melalui kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ketika ini. Katanya, permohonan itu adalah selaras dengan sumbangan negeri kepada kerajaan melalui pelbagai cukai berjumlah RM1.5 bilion setahun atau RM7.5 bilion setiap lima tahun.
Beliau berkata, jumlah sumbangan kerajaan negeri kepada pendapatan negara pula adalah lebih tinggi berbanding dengan kelulusan peruntukan RMK-9 dengan jumlah RM3.97 bilion. "Saya yakin, Kerajaan Persekutuan akan terus membantu kerajaan negeri ini bagi memastikan tiga strategi utama dapat dilaksanakan dengan berkesan membabitkan memperkasa pembangunan modal insan, mempertingkatkan daya saing negara dan menjamin kesejahteraan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri sempena hari jadi beliau ke-69, di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh di sini, baru-baru ini.Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Mo'min Abd Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Ismail Saleh. Sementara itu, Mohd Khalil mahu kerajaan negeri dan rakyat melipatgandakan usaha bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat direalisasikan seperti mana diharapkan. Usaha berkenaan sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Melaka sebagai negeri maju menjelang 2010. Katanya, beliau yakin misi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai negeri maju akan menjadi realiti hasil gandingan kepemimpinan berwibawa selain sokongan padu rakyat keseluruhannya.
Beliau berkata, selari dengan kejayaan yang dicapai, beliau berbangga apabila Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah diiktiraf sebagai Pejabat Daerah Terbaik di Malaysia, baru-baru ini. "Selain itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) turut diiktiraf sebagai Bandaraya Paling Mampan selain memenangi Anugerah Perdana di antara pihak berkuasa tempatan di negara ini bagi tiga tahun berturut-turut. "Dengan pengiktirafan ini, Bandaraya Melaka akan setaraf dengan Melbourne di Australia dan Vancouver di Kanada yang merupakan penanda aras dunia bandar raya mampan yang mesti dicapai. "Saya juga gembira apabila Majlis Daerah Jasin (MDJ) dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), awal tahun ini sekali gus menjadikan seluruh negeri Melaka sudah mencapai status bandar," katanya. Mohd Khalil berkata, pendekatan Strategi Lautan Biru (BOS) yang diguna pakai kerajaan negeri ketika ini secara tidak langsung dapat memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan sistematik. Selain itu, katanya, melalui pendekatan BOS itu sekali gus dapat memperteguhkan peranan semua pihak dalam memenuhi keperluan rakyat, selaras dengan misi negeri maju pada 2010. "Kajian hasil dan impak perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap projek dan program yang dilaksanakan memberi faedah kepada rakyat. "Kajian ini dapat mengukur sejauh mana projek yang dilaksanakan itu memberi kesan selaras dengan objektif yang ditetapkan," katanya.

Tiada ulasan: