Jumaat, 2 November 2007
USM hasilkan vaksin halal
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) akan menerajui pengeluaran vaksin halal daripada lembu bagi penyakit meningitis (radang selaput otak) untuk kegunaan jemaah haji dan umrah seluruh dunia.Pembangunan vaksin itu, yang dijalankan oleh 12 pakar USM, akan dimulakan Disember ini dengan kerjasama Institut Perubatan Finlay di Cuba, membabitkan peruntukan RM3.6 juta dibiayai secara bersama.Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pembangunan vaksin berkenaan yang mengambil masa dua tahun itu akan menjadikan USM sebagai institusi pertama di dunia mengeluarkan vaksin halal bagi meningitis."Pengeluaran vaksin itu menjadikan USM peneraju pembangunan vaksin halal dalam perubatan selaras statusnya sebagai satu daripada empat universiti penyelidikan di negara ini," katanya selepas majlis Aidilfitri Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, semalam.Hadir sama ialah Naib Canselor USM, Prof Datuk Dzulkifli Abd Razak; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar USM, Prof Madya Omar Osman dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed. Dr Mafauzy pula berkata, melalui kerjasama itu, USM akan menghasilkan vaksin daripada lembu yang disembelih menggunakan teknologi sedia ada di Institut Perubatan Finlay untuk memastikan bahan yang dihasilkan dapat digunakan umat Islam tanpa keraguan."Vaksin halal untuk meningitis itu nanti bukan saja berguna untuk jemaah haji dan umrah dari Malaysia, malah umat Islam seluruh dunia memandangkan kerajaan Arab Saudi sendiri mewajibkan setiap jemaah mendapat suntikan berkenaan."Komponen yang digunakan bagi menghasilkan vaksin itu sebelum ini dihasilkan di Barat daripada haiwan yang status halalnya diragui tetapi umat Islam terpaksa menggunakannya kerana tidak mempunyai alternatif," katanya.Mafauzy berkata, maningitis berlaku disebabkan jangkitan virus atau bakteria yang merebak di sesuatu kawasan mempunyai ramai orang seperti pada musim haji serta boleh menyebabkan sawan dan kematian.Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM200 juta kepada empat universiti penyelidikan di negara ini iaitu USM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)."Melalui peruntukan itu, setiap universiti terbabit akan mendapat RM50 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak kajian bertaraf dunia dapat dilakukan universiti terbabit," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan