Followers

Khamis, 29 November 2007

Ibu bapa, guru sokong rotan pelajar perempuan

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Cadangan Kementerian Pelajaran menguatkuasakan hukuman rotan ke atas pelajar perempuan dan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah mendapat sokongan ibu bapa dan guru.Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MPPIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, hukuman rotan itu wajar diperkenalkan tetapi dikawal menerusi garis panduan khusus berhubung kaedah pelaksanaannya.“Pada dasarnya kita setuju tetapi ia perlu ada garis panduan khusus seperti hanya guru wanita sahaja yang dibenarkan untuk merotan dan ia diselia seorang lagi guru wanita,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Pelajaran untuk merotan pelajar perempuan yang melanggar peraturan sekolah mulai tahun hadapan.Selain itu, beliau mencadangkan hanya bahagian tertentu saja yang boleh dirotan dan pihak sekolah perlu memilih waktu yang sesuai untuk melaksanakannya. Beliau menambah bahawa cadangan merotan pelajar perempuan mungkin boleh dijadikan pilihan terakhir selepas tindakan lain diambil.Mengenai larangan telefon bimbit, Mohd. Ali menyokong sepenuhnya kerana alat itu boleh mengganggu pembelajaran dan engajaran.Cadangan hukuman rotan turut disokong oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memandangkan masalah disiplin pelajar perempuan sekarang lebih teruk berbanding dulu.Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama guru dalam seminar disiplin baru-baru ini dan dipersetujui dengan beberapa syarat.
“Guru wanita mestilah merotan di atas tapak tangan pelajar berkenaan dan bukan di bahagian yang boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk,” jelas beliau.Selain itu, katanya, pelaksanaan ini hanya untuk kes tertentu dan selepas amaran secukupnya.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina pula berkata, hukuman rotan itu wajar dilaksanakan kerana kesalahan yang dilakukan oleh pelajar perempuan sama seperti yang dilakukan oleh pelajar lelaki.Bagaimanapun, kata beliau, hukuman rotan terhadap pelajar perempuan mesti dilakukan di tapak tangan manakala lelaki di punggung.
“STU menyokong cadangan penguatkuasaan hukuman rotan terhadap pelajar perempuan yang melanggar peraturan sekolah.‘‘Lagipun ia bukan perkara baru kerana hukuman itu pernah dilaksanakan pada masa dahulu dan ia terbukti berkesan dalam mengawal disiplin pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Mengenai larangan penggunaan telefon bimbit di kawasan sekolah, beliau berkata, penggunaan alat perhubungan tidak perlu kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan.Beliau berkata, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar menyebabkan mereka leka dengan perbuatan yang tidak berfaedah seperti berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika guru sedang mengajar.Katanya, alasan ibu bapa kononnya telefon bimbit memudahkan mereka memantau keselamatan anak mereka di sekolah tidak berasas kerana guru dan pihak sekolah mempunyai telefon.

Tiada ulasan: