Followers

Khamis, 29 November 2007

Bukan umur ahli SPR yang perlu dipinda

Apa dah jadi dengan kerajaan BN. Lain yang dipersoalkan, lain pula jawapan yang diberi. Himpunan aman anjuran Gabungan Menuntut Pilihan Raya yang Bersih dan Adil (Bersih) 10 November lalu, berjaya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong atas tuntutan agar kerajaan menyelesaikan isu pelaksanaan pilihan raya yang kotor di Malaysia sekarang ini.Oleh itu, rasionalnya bersih menuntut pihak kerajaan melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong agar menyelesaikan kekotoran itu melalui tindakan membersihkan senarai daftar pemilih, menggunakan dakwat celup jari bagi menandakan seseorang yang telah mengundi, menghapuskan kertas undi pos dan melaksanakan akses kebebasan media kepada semua parti politik. Namun, masyarakat Malaysia agak terkejut dengan langkah kerajaan yang telah menyepi seribu bahasa dan terus menutup mata dengan tidak melihat langsung sungutan masyarakat antarabangsa yang menstatuskan demokrasi di Malaysia sebenarnya adalah bukan demokrasi; sebaliknya mirip kepada 'autoritarian', yakni penggunaan kuasa seluas-luasnya untuk menyempitkan ruang bagi parti-parti pembangkang menikmati kebebasan berpolitik.
Sedangkan pada masa yang sama, kuasa pemerintah digunakan atas nama 'kerajaan' untuk terus membuka seluas-luasnya ruang bagi disalahgunakan oleh parti pemerintah, malah memperalatkan pihak-pihak tertentu pula untuk terus mengukuhkan kuasa parti pemerintah. Dalam hal ini, proses pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR adalah salah satu aparat parti pemerintah BN yang diperalatkan sebagai pengukuh kuasa yang ada. Sehubungan itu, berlakulah apa yang selama ini dilakukan oleh parti pemerintah. Isu ke arah pendemokrasian sistem pilihan raya di Malaysia bukannya soal umur ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, tetapi sistem yang mencorakkan akauntabiliti SPR sebagai badan pengurusan pilihan raya. Apa yang menjadi tuntutan Bersih adalah sistem yang mencorakkan proses pilihan raya di Malaysia yang perlu diperkasakan agar sejajar dengan prinsip keadilan, ketelusan dan kebersihan pengurusan dan perjalanan pilihan raya.
Jelas terbukti, kerajaan BN kepimpinan Abdullah Ahmad ini terus mensirnakan kerakusan kuasa dengan mengutamakan kepentingan peribadi yang tidak boleh disabitkan 'haram' di sisi Islam Hadhari. Justeru itu, satu hasil kajian ringkas oleh satu panel dari Pusat Inisiatif Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya (Centre for Electoral Reform Initiative) yang diketuai oleh Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif telah dikeluarkan dan disiarkan oleh Harakah cetak bil. 1348 bertarikh 1-15 Disember 2007. Dari hasil kajian itu, dikemukakan beberapa langkah penambahbaikan ke atas SPR sebagai badan pengurusan pilihan raya yang sepatutnya disegerakan demi menambahbaikan lagi status demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia. /tajdid
Wan Nik Wan Yussof Ngah ialah Setiausaha Pilihan Raya PAS Pusat.

Tiada ulasan: