Followers

Khamis, 29 November 2007

Kerajaan digesa cari jalan elak kenaikan tol

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Hrkh) - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian supaya kenaikan harga tol dapat dielakkan.Menurut exconya, Hasmuzair Hassan, umum mengetahui, kenaikan tol akan menyumbang sedikit sebanyak ke atas kenaikan harga barangan. "Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat. "Sebarang kenaikan harga akan memberi kesan langsung ke atas ekonomi rakyat jelata. Kerajaan juga tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan membenarkan kenaikan kadar tol tersebut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kabinet semalam walaupun memutuskan kadar tol empat lebuh raya tidak dinaikkan tetapi menaikkan kadar untuk enam lebih raya lain iaitu, Kadar tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Kulim-Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, antara tujuh hingga 50 peratus bagi tempoh 2008 hingga 2010. Empat lebuh raya yang tidak mengalami kenaikan tol itu ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (Prolintas) serta Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link. Menurut Hasmuzair, Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu tidak seharusnya bertindak menjadi jurucakap bagi pihak syarikat konsesi di dalam kabinet untuk menyuarakan hasrat mereka menaikkan kadar tol. Katanya, beliau seharusnya meneliti dan membuat kajian terperinci ke atas permintaan tersebut sama ada wajar atau tidak. Ini dakwanya, semasa sesi perbahasan di Parlimen, beliau secara sedar atau tidak menjadi jurucakap bagi pihak pemegang konsesi dengan menyatakan syarikat konsesi terpaksa membayar hutang bank selain membayar gaji kakitangan dan menyediakan peruntukan untuk menyelenggara lebuh raya. "Sebagai seorang menteri dan ahli parlimen yang dipilih rakyat, beliau seharusnya meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, bukannya segelintir golongan korporat. Inilah yang berlaku apabila menteri lebih mementingkan golongan korporat daripada rakyat," bidasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi kes Penang Bridge Sdn. Bhd. (PPSB), jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan ialah sebanyak RM 22 juta. Sementara itu katanya, dalam satu kenyataan, Pengerusi UEM Builders Bhd. Datu' Abdul Rahim Abu Bakar mengumumkan perolehan sebanyak RM 146 juta melalui konsesi tol bagi Jambatan Pulau Pinang. Selain itu, dakwanya Plus Expressways Bhd. (PLUS) juga bercadang untuk menaikkan 10 peratus kadar tol tahun hadapan. Dalam masa yang sama, PLUS mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 583 juta bagi separuh tahun pertama 2007. Dalam kes sebegini, katanya pampasan tidak diperlukan kerana syarikat tidak mengalami kerugian, malah pampasan yang diterima dari kerajaan merupakan wang cukai rakyat hanya merupakan satu bonus bagi syarikat pemegang konsesi.
Lagi pun katanya, jumlah trafik bagi kedua- dua laluan tersebut sentiasa meningkat seterusnya meningkatkan jumlah kutipan. "Lebuh Raya Utara Selatan sejauh 846 kilometer yang mula dibina pada tahun 1988 telah mencatatkan kutipan tol sebanyak RM 15.91 bilion sehingga Disember 2006," dakwanya Ia adalah tiga kali ganda daripada kos pembinaan sebanyak RM 5.94 bilion. Seharusnya kutipan tol di lebuh raya tersebut tegasnya dimansuhkan, tetapi PLUS, anak syarikat Kumpulan UEM diberi konsesi selama 50 tahun untuk mengurus dan menyelenggara lebuh raya tersebut. "Kerajaan dicabar supaya mendedahkan semua butiran perjanjian konsesi kepada rakyat sebagai bukti ketelusan kerajaan di dalam menguruskan hal ehwal rakyat," katanya. Sehubungan itu katanya, AMK bersetuju pandangan Fomca supaya kerajaan mengkaji semula kadar tol secara tetap bagi setiap tiga tahun. Katanya, kenaikan tol haruslah berdasarkan keperluan, dan kewajaran keadaan semasa.

Tiada ulasan: