Followers

Selasa, 30 Oktober 2007

Himpunan 10 November, semua disaran hadir - Dr Hatta

JASIN, 29 Okt (Hrkh) - Semua rakyat digesa datang beramai-ramai untuk berhimpun pada 10 November ini bermula pada jam 3 petang di Dataran Merdeka dan kemudian akan berarak menuju ke Istana Negara bagi upacara penyerahan memorandum menuntut pilihan raya bersih kepada Yang diPertuan Agong.

Menurut Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, kebebasan bersuara atau berhimpun secara aman sangat penting untuk kita junjung kerana kalau ianya disekat negara akan jadi autokratik serta pemimpin tidak boleh ditegur.
"Himpunan 10 November ini tuan-tuan kena hadir, jangan takut kerana ini hak kita untuk berhimpun secara aman dan setakat ini kita tiada mendengar apa-apa halangan dari pihak pemerintah.
"Kalau boleh tuan-tuan datang satu hari lebih awal kerana kita akan adakan satu perhimpunan di Taman Melewar bagi memberi taklimat akhir pada malam itu dan InsyaAllah kita akan buat sikit jamuan rakyat untuk para peserta," katanya ketika menyampaikan ceramah berkenaan isu semasa di Pulai, di sini.
Beliau menjelaskan,"Kerana apa kita mahukan 100 ribu, kerana kita hendakkan supaya ini jadi suara rakyat yang ramai bagi menuntut perjalanan pilihan raya yang bersih dan adil kerana ianya merupakan satu daripada aktiviti dan ciri proses demokrasi".
"Kalau ia berjalan dengan adil kita sebagai peserta pilihan raya akan menerima keputusan walaupun ia tidak memihak kepada kita, tapi kita tidak rela kalau dalam pilihan raya kalah kerana tindakan yang tidak adil dan penipuan seperti yang berlaku pada 2004.
"Kita tak boleh terima ini, bukan kita nak berarak marah nak mengamuk pada sesiapa tapi sebab kita sangat tak puas hati, kalau ini keaadaannya kita akan mempunyai satu kerajaan yang dipilih secara tidak sah dan bila ini berlaku kita akan tengok kerajaan itu tidak berwibawa," katanya.
Beliau menambah,"jadi pada 10 November ini seluruh parti politik alternatif dan NGO akan turun beramai-ramai untuk berhimpun, kita akan pakai baju warna kuning sebagai lambang pembebasan suara rakyat". - mns

Tiada ulasan: