Followers

Selasa, 30 Oktober 2007

PM perguna JPM habiskan wang rakyat siasat Ali Rustam

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Baru-baru ini akhbar The Sun melaporkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarah para pegawainya supaya menyiasat ucapan Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sewaktu merasmikan konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Melaka pada 15 Oktober lalu.

Berita berkaitan kemudiannya turut disiarkan oleh beberapa media yang menyebut mengenai Pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah arahan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno telah bertemu dengan beberapa individu tertentu untuk menyiasat perkara tersebut.
"Ini jelas salah guna kuasa, bagaimana mungkin pegawai kerajaan yang dibayar gaji menggunakan wang cukai dan hasil negara dipergunakan untuk menyiasat krisis dalaman parti politik,"kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily semalam.
Kata Badrul Hisham, Umno, PPP mahupun BN ialah parti politik yang seharusnya terpisah dari kerajaan kerana negara ini bukan negara komunis satu parti yang tidak memisahkan kerajaan dan parti 'komunis' memerintah.
Sama ada PM secara sedar menyalahgunakan kuasanya atau PM sendiri tidak memahami sistem bagaimana negara ini harus dikendalikan, katanya.
Tindakan salah guna kuasa ini seharusnya dikecam dalam keadaan pentadbiran PM yang lemah dan rakyat semakin terhimpit, katanya.
Seharusnya PM menggunakan seluruh tenaga pegawai di bawahnya untuk memperbaiki pentadbirannya dan mencari jalan penyelesaian masalah yang terkait terus dengan rakyat terbanyak, bukan membuang masa menyelesaikan masalah dalaman parti politik, ujarnya.
Selain membazirkan guna tenaga pegawai tersebut, siasatan tersebut juga melibatkan elaun tambahan, katanya.
"Lebih jauh lagi hasil siasatan pasukan pegawai JPM yang secara salah guna kuasa diarahkan oleh PM itu tidak mampu mengubah apa-apa. Ini semua terjadi kerana kelemahan PM dan pemimpin di bawah beliau bertindak sendirian kerana mula hilang rasa hormat terhadapnya yang dilihat sebagai Presiden Umno paling lemah dalam sejarah,"ujarnya.
Jika benar Abdullah mempunyai kredibiliti selaku Presiden Umno atau Pengerusi Barisan Nasional (BN) beliau digesa memanggil sahaja Ali Rustam untuk memberikan penjelasan, katanya.
"Tidak perlu salah guna kuasa dan bazirkan wang rakyat bentuk pasukan penyiasat gunakan pegawai JPM.PM juga menyedari hakikat ini tetapi beliau terpaksa menyalahguna kuasa mengarahkan pegawai JPM untuk konon menyiasat untuk meredakan PPP, khususnya Presiden PPP Dato' M.Kayveas yang juga Timbalan Menteri di JPM," ujarnya.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) seharusnya bertindak terhadap perkara ini, yang merupakan salahguna kuasa dan jika ini dibiarkan ia akan menjadi contoh negatif kepada rakyat, katanya.
Sementara itu dalam satu laporan akhbar internet semalam, Ali Rustam dikatakan tidak pernah mengeluarkan kenyataan meminta PPP keluar dari Barisan Nasional (BN) jika parti itu tidak puas hati, kata seorang pegawai Pejabat Ketua Menteri Melaka.
Dalam laporan itu, pegawai tersebut sebaliknya mendakwa pihak media telah tersilap melaporkan ucapan Ali di konvensyen PPP Melaka, 15 Oktober lalu.
"Ali tidak pernah berucap meminta PPP keluar dari BN tetapi pihak media melaporkan sebaliknya, antaranya Malaysia Today dalam laporannya yang bertarikh 20 Oktober," katanya.
Pegawai tersebut berkata, beliau sendiri hadir di majlis tersebut dan mengikuti ucapan Ketua Menteri Melaka itu ketika merasmikan konvensyen PPP Melaka pada 15 Oktober lalu.
"Tidak masuk akal bagi Dato' Seri Mohd Ali, selaku Naib Presiden Umno yang paling kanan, untuk mengecam dan mengugut parti komponen BN supaya keluar dari gabungan itu,"katanya. - mks.

Tiada ulasan: