Ya Allah, mahalnya tepung. Lepas ni apa pulak akan naik...," demikian reaksi penulis ketika membayar harga sekilogram tepung di salah sebuah pasar mini di Taman Melewar, pinggir ibu kota. Penulis meneruskan bebelan, didengari tuan punya kedai, "Kalau mahal macam ni, bukan je pengguna susah, peniaga pun susah sebab pengguna tak nak beli." Pemilik kedai menjawab; "Ya, Kak saya pun susah. Tepung banyak mahal, minyak mahal lepas ni petrol pula naik...banyak susah." Penulis jawab; "Tauke kena ingat lepas ni mesti tukar kerajaan..." Pemilik pasar mini itu tersenyum, matanya mengiringi penulis hingga ke kereta. Gara-gara teringin makan cekodok bawang, penulis meninjau-ninjau kedai di Taman Melewar untuk membeli sekilogram tepung gandum. Terkejut kerana melihat harga yang dipaparkan - sekilogram tepung cap sauh RM2.80. Tinjauan penulis di sebuah kedai lain mendapati harga sekilogram tepung jenama sama RM2.70. Murah 10 sen daripada apa dibeli penulis. Tidak lama dulu, di salah sebuah kedai di Puchong pula, penulis dapati harganya RM2.40. Harga yang berbeza ini menunjukkan seolah-olah tidak ada penguatkuasaan dalam penjualan barangan keperluan termasuk tepung. Kenaikan harga tepung dan barang keperluan lain yang mendadak selepas hari raya Aidilfitri ini telah menimbulkan kerungsingan dan keresahan pengguna khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Bukan itu saja, sosek-sosek harga petrol akan naik selepas pilihan raya juga telah tersebar. Golongan wanita yang paling marah, geram, bimbang dengan segala kenaikan harga barang kerana peruntukan untuk mereka akan berkurangan atau langsung tidak ada. Serentak dengan kemarahan akibat kenaikan harga barang, angin terus berhembus mengatakan pilihan raya akan diadakan hujung tahun ini. Apa lagi ini satu ruang dan peluang yang sepatutnya digunakan oleh jentera PAS untuk memberi pendedahan kepada masyarakat penderitaan yang mereka alami hasil menyokong sistem pemerintahan sekular. Sudah tentu jentera PAS bekerja keras setiap saat, setiap minit, setiap jam dan hari untuk mengingatkan rakyat jika menyokong BN, barang terus naik! Hari ini tekanan demi tekanan dikenakan kepada rakyat bermula dengan kenaikan harga petrol, tol, tepung, minyak, ayam, sayur-sayuran, susu dan sebagainya. Apakah rakyat mahu lagi hidup terus tertekan? Mahu lagi menyokong BN, mahu lagi mengundi Umno, MCA, MIC? Kenapa rakyat susah sangat untuk mengubah dua jari anda memangkah BULAN? Suara wanita merupakan separuh daripada rakyat Malaysia. Apakah jentera Muslimat PAS sudah habis menjalankan peranan masing-masing mendekati hati pengundi wanita? Wanita mungkin lebih peka sudah merasakannya kerana BN, semua barang terutama barangan dapur sudah naik! Jentera Muslimat perlu melihat ke mana hala tuju hendak membawa generasi akan datang. Apakah jentera Muslimat tetap mengharapkan pimpinan yang bersifat `kuku besi' untuk memimpin anak-anak dan generasi muda. Jika rakyat Malaysia terus menyokong BN itu bermakna mereka rela anak-anak dan generasi muda dipimpin oleh tangan-tangan yang melakukan rasuah dan pelbagai skandal. Muslimat PAS perlu terus mendekati hati pengundi tanpa ada rasa takut dan bimbang untuk menyatakan kebenaran. Tidak perlu menunggu pembubaran Parlimen dan tarikh hari berkempen. Jika Muslimat PAS menunggu hari pembubaran Parlimen baru mahu mendekati hati pengundi, walau apapun isu yang dibawa itu bagus jangan harap dapat mengubah hati mereka di hari mengundi kecuali dengan izin Allah. Rakyat perlu disedarkan suasana hari ini di semua tempat tidak selamat. Bukan saja anak-anak dan rakyat bahkan pihak polis turut tidak selamat. Nyawa manusia hari ini ibarat `telur di hujung tanduk'. Sudah ramai mati dalam tragedi ngeri seperti dibunuh selepas dirogol atau rompak. Penulis yakin jentera PAS sudah mengenali kelemahan musuh. Jati diri jentera Umno/BN tidak sehebat jentera PAS. Mereka bekerja kerana duit. Jentera PAS bekerja kerana Allah SWT. Sesuatu yang berlaku itu sudah tentu ada hikmahnya. Oleh itu, kenaikan harga tepung, ayam, minyak, petrol, tol itu semuanya boleh membuka ruang dan peluang untuk PAS dan BA meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum nanti. - lanh
Sumber : Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan