KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) tidak pernah memberi kebenaran kepada sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Bersih untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, 10 November ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Johari Baharom berkata, setakat hari ini, polis tidak mengeluarkan permit untuk pehimpunan itu dan sekiranya dianjurkan juga, ia boleh dianggap sebagai perhimpunan haram.
Beliau berkata, pertubuhan itu pernah menghantar borang permohonan mendapatkan permit pada 3 November lepas dan berdasarkan kepada perkara-perkara tertentu, polis tidak mengeluarkan permit kebenaran untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
“Saya difahamkan polis tidak mengeluarkan permit kepada perhimpunan ini kerana Bersih ini adalah sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar. Selain daripada itu, kebenaran untuk menggunakan Dataran Merdeka juga tidak diperolehi daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya difahamkan bahawa kita dapat maklumat akan ada perarakan dan mengganggu ketenteraman awam dan sebagainya, atas alasan itu, maka polis tidak membenarkan perhimpunan ini dijalankan pada hari itu,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata pihak kementerian sudah mengarahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih berdegil untuk mengadakan dan menyertai perhimpunan pada hari itu nanti.
Katanya, tindakan terhadap mereka yang didapati menyertai perhimpunan itu adalah tertakluk di bawah Seksyen 27, Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan haram.
“Jadi saya merayu kepada semua orang ramai supaya jangan menyertai perhimpunan itu dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa juga yang akan berada di situ atau terjebak dengan perhimpunan itu.
“Kita kenal pasti ketua-ketua mereka dan kita akan ambil tindakan sekeras-kerasnya kalau didapati mereka masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan itu walaupun tanpa permit,” katanya.
Bagaimanapun, Johari berkata, pertubuhan terbabit boleh melantik beberapa anggotanya dan memaklumkan kepada pihak polis Bukit Aman, sekiranya mereka ingin menghantar memorandum kepada pihak yang berkaitan secara aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan