Followers

Rabu, 14 November 2007

Cara Melaka Pungut Cukai Di puji PM Malaysia

MELAKA: Kejayaan Melaka mencatatkan pungutan cukai paling tinggi di negara ini, berjumlah RM1.6 bilion mendapat pujian Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Negeri Melaka 2007, lewat petang semalam.Dalam ucapan ringkasnya pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu, Perdana Menteri berkata, biarpun Melaka hanya sebuah negeri kecil, sejak beberapa tahun pungutan cukai negeri itu adalah tertinggi berbanding negeri lain."Walaupun nampak macam tidak ada perusahaan (di Melaka) tetapi pungutan cukainya yang paling tinggi di negara kita."Banyak negeri lain hasilnya kurang dari 2005. Tetapi Melaka melonjak dengan begitu tinggi (pada 2006), mungkin ada sesuatu yang Kerajaan Melaka lakukan hingga mencatat pungutan hasil lebih tinggi daripada negeri lain."Saya ucapkan tahniah, mudah-mudahan usaha membangunkan negeri ini lancar dan akan menjadikan Melaka, walaupun kecil tetapi tinggi nilai pembangunannya. Inilah yang saya harapkan," katanya pada majlis dihadiri lebih 10,000 orang masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri Datin Seri Asmah Rahman serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.Perdana Menteri berharap semangat Aidilfitri dapat terus mengeratkan persahabatan sesama ummah di negara ini."Kita ingin melihat negara ini, yang rakyatnya berbilang kaum, bersatu, erat hubungan persahabatan dan sama-sama menyumbang kerja untuk masa depan yang lebih baik," katanya.Terdahulu, ketika bangun berucap, Abdullah menegur sistem bunyi di dewan MITC, bangunan berharga RM61.7 juta itu, yang menurutnya tidak begitu baik dan perlu diperbetulkan."Saya cadangkan supaya sistem bunyi atau akustik bagi dewan ini diperbetulkan supaya siapa yang datang biar duduk di mana sekalipun, boleh mendengar ucapan dengan jelas, pada masa depan."Ini amat penting kerana dewan ini sentiasa digunakan untuk pertemuan yang membabitkan ribuan jemputan. Saya nak cakap panjang pun orang tak boleh nak dengar kerana akustik kita hari ini terganggu," katanya.Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menerima sumbangan 37 mesin haemodialisis untuk Hospital Pakar Putra sumbangan agensi kerajaan, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan serta menyampaikan sumbangan komputer kepada lapan rumah anak yatim, yang akan memberi manfaat kepada 530 anak yatim di negeri ini.Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan sidang video dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan pesakit buah pinggang di Hospital Pakar Putra.Perdana Menteri dan isteri juga menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim yang turut diraikan pada majlis berkenaan.Sumber : Berita HarianUlasan:Cukai (tax) merupakan sumber pendapatan yang paling besar dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme. Cukai adalah nadi negara kapitalisme yang diguna untuk membiaya aktiviti pemerintahan. Ia dipungut dari pelbagai arah , secara langsung seperti cukai pendapatan, ataupun secara tak langsung melalui duti-duti eksais seperti Lesen Kenderaan Bermotor ('roadtax') dan seumpamanya. Boleh dikatakan setiap aktiviti ekonomi baik di dalam mahupun luar negeri tidak dapat lari dari cukai. Ianya kerapkali dikenakan tanpa mengambil kira faktor kemampuan pihak yang dicukai. Cukai dalam sistem ekonomi kapitalisme adalah pada hakikatnya bersifat menindas, zalim, tidak berperikemanusiaan. Ia merupakan satu bentuk penindasan dan kezaliman oleh pemerintah terhadap rakyatnya dengan mengaut harta atau kekayaan rakyat untuk dimasukkan ke dalam kantung pemerintah yang tamak dan rakus.Pemerintah kaum Muslimin yang zalim dan jahil cuba menjelaskan kepada rakyat bahawa mereka memungut cukai bukan untuk kepentingan mereka tetapi untuk kepentingan rakyat. Mereka berdalih atas alasan pembangunan dan kesejahteraan. Lebih buruk, mereka menyatakan bahawa di dalam Islam tidak salah untuk memungut cukai malah dibolehkan untuk tujuan pembangunan dan sebagainya. Mereka menyatakan di dalam Islam terdapat 'dharibah' yang mereka terjemahkan sebagai cukai.Sesungguhnya cukai adalah haram di dalam Islam dan terdapat banyak nas yang mengharamkannya. Sabda Rasul Sallalahu 'alaihi wa Sallam;"Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)” [HR Ahmad, Abu Daud dan Hakim](Nota : Mukus adalah kutipan cukai yang dikenakan oleh penguasa ke atas rakyat sejak zaman Jahiliyyah lagi)Rasulullah juga bersabda,"Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka" [HR Ahmad]dan sabda Rasul lagi,"Sekiranya kamu mendapati pemungut usyur (cukai yang dipungut di sempadan @ cukai import-export), maka bunuhlah dia" [HR Ahmad]Orang-orang jahil sering melontarkan pertanyaan - jika tidak dipungut cukai, dari manakah negara akan memperolehi pendapatannya? Jika mereka ini benar-benar ikhlas di dalam pertanyaan, maka mereka sepatutnya belajar sistem Ekonomi Islam dengan betul dan benar (bukan mengikut acuan Kapitalis), yang mana mereka akan dapati bahawa dalam ekonomi Islam, pendapatan negara diperoleh dari Anfal, Ghanimah, Fai', Kharaj, Jizyah, 'Usyur, Khumus rikaz dan beberapa sumber lain yang diizinkan syarak termasuk Dharibah. Dharibah bukanlah cukai sebagaimana yang difahami atau yang dijadikan dalil oleh mereka yang jahil. Dharibah adalah satu bentuk 'pungutan khas' yang dikutip dari kaum Muslimin yang kaya/layak sahaja, itupun hanya pada keadaan Baitul Mal mengalami defisit atau tidak cukup untuk melaksanakan apa jua kewajiban oleh negara. Ia hanya dipungut di dalam keadaan negara yang amat terdesak sehingga jika tidak dipungut, maka sebuah kewajiban akan terabai. Dharibah hanya boleh dipungut dalam keadaan-keadaan berikut sahaja:-
Memenuhi keperluan asas (makan/pakai/kediaman) orang-orang fakir dan miskin;
Pembiayaan jentera negara agar negara tetap berfungsi sebagai pemelihara rakyat seperti gaji kakitangan dan prasarananya;
Penyediaan kemudahan umum seperti jalanraya, hospital, sekolah dan seumpamanya;
Pemulihan situasi selepas rakyat ditimpa bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan seumpamanya;
keperluan jihad fi sabilillah.Dharibah bukanlah seperti cukai yang ada sekarang (dalam sistem ekonomi kapitalisme) kerana:-
Ia bersumberkan wahyu dan diambil dari hadis Rasulullah Sallahu 'alaihi wa Sallam dan juga Ijmak Sahabat;
Bukan sumber tetap pendapatan negara kerana ia dikutip hanya ketika Baitul Mal mengalami defisit serta berdepan dengan situasi yang kritikal sahaja dan ia tidak berpanjangan;
Ia hanya dikutip dari golongan Muslimin yang kaya mengikut kadar yang maaruf sehingga mencukupi kadar yang diperlukan sahaja;
Memberikan perkhidmatan kepada rakyat/negara, bukan untuk kepentingan diri (pemerintah).Dengan meneliti secara kasar kekayaan negeri-negeri umat Islam hari ini dan memahami sifat Negara Islam Khilafah (yang akan berdiri dalam sedikit masa lagi) yang merupakan sebuah negara yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pelindung serta penyelamat rakyat, bukannya pengaut kekayaan dan pembuat kezaliman, adalah tidak melampau untuk dikatakan bahawa rakyat Khilafah ini akan hidup dengan penuh kesempurnaan, keselesaan dan terjamin keperluan asas mereka, tidak sebagaimana sekarang di mana umat Islam hidup dalam penuh kesengsaraan di bawah sistem kapitalisme. Say no to capitalism! Say no to cukai! Say yes to Islam!

Tiada ulasan: