Followers

Ahad, 14 Oktober 2012

Konsert Bersih 2.0 Berjaya

Walaupun dalam keadaan hujan dan becak, Konsert Bersih 2.0 malam tadi berjaya mengutip lebih daripada RM13,000 dana melalui derma yang diterima daripada pengunjung konsert tersebut. Konsert yang bermula sekitar jam 4.30 petang di Stadium Kelana Jaya itu berjaya menarik kehadiran sekitar 500 pengunjung rata-ratanya penyokong Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih).

 Julung-julung kalinya mengadakan kempen menuntut pilihan raya yang bersih menggunakan konsert seumpama ini, dana yang diterima daripada derma pengunjung itu akan digunakan untuk membantu perjuangan badan bukan kerajaan ini bagi memastikan kerajaan melaksanakan lapan tuntutan mereka, jelas Pengerusi Bersama Bersih Datuk A. Samad Said (gambar). 

“Kami tidak akan berjaya tanpa bantuan anda semua,” kata sasterawan negara itu lagi. Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad turut mengharapkan agar semangat perjuangkan lapan tuntutan Bersih itu akan dapat dizahirkan melalui konsert pada malam itu. Bersih sebelum ini pernah menganjurkan dua demonstrasi besar-besaran di ibu negara menuntut pilihan raya yang adil dan bersih dengan yang pertama pada April tahun lalu, dan terbaru, Bersih 3.0 pada awal tahun ini. Konsert Bersih 8T pada malam tadi dianjurkan berikutan kekecewaan mereka kerana kerajaan dilihat enggan melaksanakan lapan tuntutan yang diminta oleh gabungan tersebut.

 “Kerajaan masih enggan untuk mendengar suara rakyat ... lapan tuntutan dari Bersih dan 22 cadangan dari Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen berkenaan penambah baikan pilihan raya masih lagi belum ditunaikan, maka kami anjurkan konsert Bersih 8T ini sebagai tanda ingatan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang lapan tuntutan yang masih belum dilaksanakan. “Berbulan selepas Bersih 3.0, kerajaan hanya menfokuskan untuk menahan mereka yang terlibat dengan perhimpunan, bukan untuk membersihkan daftar pemilih pilihan raya,” kata Bersih dalam satu kenyataan sebelum ini.

 “Konsert ini bukan sahaja untuk kutipan derma dan bergembira, tetapi dalam masa sama untuk menyedarkan orang ramai tentang lapan tuntutan yang harus ditunaikan, jadi kami mahu suara kami didengari agar dapat pilihan raya lebih adil dan bersih,” katanya lagi. Sementara itu pengerusi bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreevanesan tidak faham mengapa cadangan PSC enam bulan lalu masih belum dilaksanakan oleh SPR. “Tiada sebab kenapa lapan tuntutan Bersih tak boleh tunaikan. “Sudah enam bulan lepas PSC (Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen) mengemukakan syor mereka, tapi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) terlalu lambat bawa perubahan,” kata Ambiga dalam ucapannya. Tambahnya, Bersih 2.0 telah menemui banyak kekurangan dan kesilapan dalam senarai pengundi.

 “Kesilapan ini terus berlaku hingga senarai yang baru, kecurangan dan kesilapan ini kita desak jangan diteruskan,” kata Ambiga, dan menambah, (kali ini) kita ingatkan kerajaan dengan lagu dan muzik. Konsert Bersih itu tetap berlangsung dengan jayanya walaupun keadaan hujan dan becak dengan kehadiran sekitar 500 pengunjung memakai baju T kuning tertulis perkataan Bersih. Persembahan malam tadi turut dibarisi daripada artis-artis bebas tanah air seperti Republic Of Brickfield, Nik Jidan, Dum Dum Tak, Atama, dan 15 lagi artis independen lain dari seluruh negara. Malah, Jawatankuasa Pemandu Bersih turut menyanyi beramai-ramai lagu “Bersih, kami mahu PRU Bersih.” Sasterawan Negara Pak Samad turut mendeklamasikan puisi yang dikarang khas olehnya untuk konsert pada malam itu.

 Selain dari persembahan, turut kelihatan adalah Bazar NGO yang terdiri daripada Suaram, Himpunan Hijau, dan juga pameran daripada kartunis Zunar. Konsert yang bermula seawal jam 4.30 petang itu kemudiannya tamat pada jam 12 tengah malam selepas pertunjukan menggunakan api oleh sukarelawan yang terlibat./ Malaysia Insider

Tiada ulasan: