Lajnah Antarabangsa, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyeru semua pihak untuk bertenang di dalam menangani isu hubungan Malaysia – Indonesia yang agak tegak beberapa hari kebelakangan ini.
DPPP juga mengharapkan agar kita semua mengambil kesempatan di dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini untuk mencari penyelesaian terbaik supaya ia tidak berlarutan.
Kemelut yang timbul ini boleh diselesaikan secara hubungan adik beradik kerana kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia berasal daripada rumpun Melayu – Islam yang sama.
Bak kata pepatah yang digunakan oleh masyarakat Melayu di kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia; “carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua”, DPPP yakin bahawa masalah hubungan yang tegang di antara Malaysia dan Indonesia ini boleh diselesaikan secara kekeluargaan dan harmoni.
Tambahan lagi ini bukanlah kali pertama kedua-dua “adik-beradik” ini menghadapi situasi sebegini, malah pernah melalui zaman yang lebih sukar suatu ketika dahulu.
Berkenaan isu “tarian pendet” ini, ia telah pun diberi penjelasan oleh pemimpin negara bahawa ia adalah kesilapan daripada Discovery Networks Asia-Pacific, dan bukan daripada pihak berkuasa Malaysia yang mendakwa ia adalah budaya Malaysia.
Dalam klip video komersial yang mengandungi elemen Tarian Pendet bagi mempromosi siri dokumentari Enigmatic Malaysia di Discovery Channel itu, terdapat rakaman selama 30 saat memaparkan tarian pendet sebagai salah satu tarikan Malaysia.
Permohonan maaf telah pun dibuat oleh pihak yang bertanggung jawab itu dan ia juga telah pun disampaikan kepada pihak berkuasa Indonesia.
Justeru, DPPP yakin bahawa kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya menjadikan isu ini untuk mengeruhkan suasana yang ada, malah DPPP turut yakin bahawa kedua-dua “adik-beradik” ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk di”sinergi”kan.
Akhir sekali, DPPP berharap agar kedua-dua negara bertenang dan mencari titik pertemuan dalam isu ini, bukan mencari titik permusuhan dan seterusnya konflik ini dapat diselesaikan secara aman dan harmoni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan