Followers

Khamis, 16 April 2009

Banjir Di DUN Serkam

Kira-kira 92 rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dinaiki air apabila hujan lebat tidak berhenti seawal jam tiga pagi semalam. Banjir melibatkan lebih 400 penduduk daripada tujuh kampung, Kampung Pulai, Umbai, Bukit Tembakau, Tedong, Sempang, Umbai Pantai dan Berangan Enam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazalee Muhammad berkata, hujan awal pagi semalam menyebabkan banyak air bertakung di sekitar rumah penduduk kampung. “Keadaan hujan luar biasa pada awal pagi tadi (semalam) menyebabkan banyak air bertakung di kawasan rumah penduduk dan tidak dapat mengalir seperti biasa. “Kita juga dapati air kurang mengalir ke laut apabila keadaan air laut pasang,” kata Ghazalee kepada pemberita selepas mengadakan la-watan ke rumah mangsa yang terlibat.

Difahamkan, hujan mulai reda pada jam 10 pagi semalam. Mengulas lanjut, Ghazalee berkata, pihaknya menyediakan pusat pemindahan untuk mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Haji Baginda, Umbai untuk menempatkan mangsa jika air masih belum surut sehingga malam.

“Kita sudah sediakan pusat pemindahan bagi persediaan jika keadaan bertambah buruk. “Bagaimanapun setakat ini, lawatan ke rumah mangsa banjir mendapati mereka enggan berpindah dan mengharapkan agar air di rumah mereka akan surut seperti biasa,” katanya.

Katanya, banyak agensi datang menghulurkan bantuan, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jasin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin masyarakat, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah. “Semua jabatan sudah bersiap sedia untuk menangani masalah banjir ini dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin masyarakat yang bersama membantu,” katanya.

Tiada ulasan: