Sebuah mahkamah di Baghdad semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang wartawan Iraq kerana didapati bersalah melemparkan kasutnya ke arah bekas presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush. Muntazer al-Zaidi yang bekerja untuk stesen televisyen Al-Baghdadia menarik perhatian dunia berikutan aksi nekadnya membaling kasut ke arah Bush semasa sidang media pada Disember tahun lalu dan memanggil bekas pemimpin itu sebagai anjing. Tindakan beraninya itu pantas mengundang sokongan daripada pelbagai pihak di seluruh dunia yang sememangnya membenci Bush. “Hukuman ini tidak menyenangkan dan tidak harmoni dengan undang-undang. Pasukan peguam bela akan mencabar keputusan ini di mahkamah rayuan,” kata seorang peguam Muntazer, Dhiaa al-Saadi. Keadaan menjadi sedikit kecoh apabila kakak Muntazer, Ruqaiya menangis sambil menjerit menyatakan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki sebagai ejen Amerika. Abang Muntazer, Uday mendakwa keputusan yang dikenakan terhadap adiknya itu adalah bermotifkan politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan