Followers

Selasa, 3 Mac 2009

Kejutan untuk Mr. Siva -Malaysiakini

Sehari sebelum sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang 'dijadualkan' berlangsung hari ini, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar menerima tiga 'kejutan' semalam.Beliau yang sebelum ini bertindak menggantung dan melarang Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN diberi notis oleh salah seorang Exco terbabit, Mohd. Zahir Khalid untuk merujuk Speaker DUN Perak itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.

Notis yang mengandungi laporan salah guna kuasa oleh Speaker, menghina DUN serta tidak taat setia kepada titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Sivakumar, A. Basu di pejabat Speaker kira-kira pukul 11.05 pagi."Perbuatan Speaker itu sebenarnya tidak mengikut Peraturan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang ditetapkan dan melanggar titah Sultan Perak. Atas sebab itu, beliau perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak," kata Mohd. Zahir.

Jelas beliau, berdasarkan Artikel 47 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang merupakan perlembagaan serta undang-undang tertinggi di Perak, semua anggota DUN mengangkat sumpah antara lain untuk memelihara, mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan bersumpah dengan sesungguhnya akan taat setia kepada Sultan Perak.

Dalam pada itu, Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri semalam memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.Saman pemula berkenaan dikemukakan barisan tiga peguam diketuai penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dengan dibantu Badrul Ishak Abdul Wahab dan Ong Teng Boon manakala Sivakumar diwakili peguam Tommy Thomas dan Chan Kok Keong.Kejutan ketiga pula ialah Sivakumar kini dalam dilema kerana bangunan DUN Perak diarahkan dikunci hari ini.

Tiada ulasan: