Followers

Rabu, 30 Januari 2008

Jangan putar belit fakta : Anwar cabar Najib!

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mencabar TPM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak agar tidak hanya memutar belitkan fakta-fakta berhubung pelbagai dakwaan Anwar ke atas kerajaan Umno/BN. Malahan beliau mengalukan untuk dinilai prestasinya sewaktu mejawat Menteri Kewangan selama lapan tahun secara terbuka. Anwar yang mengadakan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya semalam berkata beliau tidak takut dengan kenyataan Najib itu malah mencabar secara terbuka. "Saya tidak ada masalah kalau dia (Najib) nak nilai, dia boleh nilai, saya sebagai Menteri Kewangan lapan tahun dia boleh nilai, kita tak ada masalah," ujarnya. Kenyataan Najib bahawa apa yang diutarakan Anwar mengenai isu rasuah, masalah ekonomi dan kemelut daya saing negara adalah tidak berasas disangkal. Sebaliknya Anwar mempunyai bukti untuk mengaitkan dakwaan dakwaannya terhadap kerajaan termasuk isu yang membabitkan Najib. "Dia kata saya tak ada asas.Saya sebut soal harga barang, negara hilang daya saing dulu nombopr 17 (1997) kini 23.Indeks korupsi kita dan semakin teruk.Isu korupsi kita ada bukti termausk komisen kapal selam, Pesawat Sukhoi dan skandal Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ)," tegasnya.
"Apa asas yang dimahukannya lagi?.Saya tak ada halangan, tetapi ini jangan seperti yang dibuat oleh Umno sebar dakwan kata KeADILan pro-yahudi Cina dan Hindu, sebar di Permatang Pauh, burukkan saya.Ini tak ada etika dalam kempen," katanya. Jika Umno atau Najib ada bukti mengenai dakwaannya itu, Anwar mencabar mereka secara terbuka menjelaskan bukti-bukti.
"Dia tak boleh jawab tentang isu ekonomi, isu kenaikan harga barang, masalah jenayah yang sangat tinggi sejak merdeka, rasuah dan, mereka tak boleh nafikan hal ini," ujar Anwar lagi. Sebelum ini, Najib dalam beberapa siri jelajah kempen pilihan raya mengecam tindakan Anwar melemparkan tuduhan mengenai rasuah, masalah ekonomi dan kemelut jenayah negara. Najib menyatakan bahawa apa yang didakwa Anwar dan pembangkang sebagai tidak berasas dan mahukan awam menilai prestasi seseorang pemimpin itu ketika berhadapan dengan krisis.

PAS dan BA akan halang eksploitasi wanita

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - PAS berazam untuk memperbaiki taraf hidup dan kebajikan wanita negara ini daripada dieksploitasi pelbagai pihak termasuk bagi tujuan komersial. Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, bagi mencapai tujuan itu, PAS dan BA akan memperkenalkan undang-undang bagi mengelakkan wanita daripada dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Selain itu, kebajikan wanita bekerjaya juga akan terus dibela dengan memperkenalkan cuti bersalin selama 90 hari. "Kita juga bakal memperuntukkan elaun khas bagi ibu tunggal (yang tidak mempunyai sumber pendapatan), penjagaan kesihatan serta mewujudkan pusat sukan dan taman rekreasi untuk wanita," katanya. Nuridah turut membidas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak kononnya masa depan negara akan tergadai jika rakyat mengundi pembangkang membuktikan bahawa BN benar-benar berada dalam tahap cemas dan tertekan. "Siapa Najib yang boleh cakap begitu? Masa depan negara dan rakyat adalah ketetapan Allah," tegasnya. Menurut beliau, kebangkitan rakyat untuk menolak BN kini berpunca daripada kegagalan BN untuk membela nasib rakyat. Beliau berkata, dengan jumlah kemenangan yang besar dalam pilian raya umum lalu, BN langsung tidak menerima pakai pandangan parti pembangkang, NGO dan rakyat dalam melaksanakan sistem pentadbiran negara. "Segala keputusan bukan berpihak kepada rakyat tetapi menjaga kepentingan periuk nasi dan kroni mereka,"tegasnya. Nuridah mengingatkan rakyat agar berhati-hati dalam pilihan raya umum ke-12 dengan tidak memberi kemenangan kepada BN kerana segala kekayaan negara akan terus menjadi milik mereka. Dalam pada itu, beliau menggesa jentera muslimat supaya terus bekerja bersungguh-sungguh disamping membanyakkan doa

bukti BN khianati bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Tindakan Kementerian Pelajaran meminggirkan karya-karya bermutu oleh Sasterawan Negara daripada senarai buku-buku teks membuktikan kerajaan Barisan Nasional memang berniat jahat terhadap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sekaligus bahasa kebangsaan.Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, dalam kenyataannya kepada Harakahadaily berkata, dasar-dasar yang tidak memihak kepada bahasa kebangsaan ini akan melahirkan generasi baru yang tidak patriotik, di samping melemahkan fungsi bahasa itu sebagai bahasa perpaduan. Katanya, Pemuda juga terkilan apabila beberapa sasterawan dan penulis mapan tanah air terpaksa bersungut dan ada yang 'meletak jawatan' sebagai Sasterawan Negara kerana membantah kelemahan kementerian terbabit. Bagaimanapun, katanya kerajaan BN semenjak dahulu berusaha untuk merendahtarafkan bahasa Melayu dengan menghapuskan tulisan Jawi, kemudian menggunakan bahasa Inggeris di universiti. Beliau juga berkata BN turut bertanggungjawab terhadap dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah. Pada hari ini, bahasa Melayu menjadi bahasa kelas dua sahaja. "Kita jangan terlalu mengutamakan sains dan teknologi hingga mengabaikan aliran sastera. Sastera untuk membina jati diri anak bangsa, sains dan teknologi untuk membina alat-alat membangunkan bangsa. Jika alat-alatnya canggih, tetapi penggunanya tiada jati diri, maka lahirlah bangsa yang maju teknologi, tetapi runtuh akhlaknya," tegas beliau.

Selasa, 29 Januari 2008

PAS dan 'Negara Kebajikan': Berhati-hati dengan tindakan Pak Lah


Langkah PAS mahu mewujudkan 'Negara Kebajikan' sekiranya diberikan mandat sebagai parti pemerintah dalam Pilihan Raya Umum ke-12 akan datang benar-benar mengejutkan pelbagai pihak. Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan beberapa insentif akan diberikan kepada rakyat termasuk penurunan harga minyak 30 sen. Sebelum itu, beberapa pemimpin pembangkang lain turut berjanji akan mengurangkan beban rakyat sekiranya mereka diberikan mandat. Bekas CEO Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang juga Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim turut memberi jaminan bahawa rakyat seluruh negara akan menikmati bekalan air paip percuma seandainya parti ini diberi mandat dalam pilihan raya umum kelak. Janji dan jaminan pimpinan PAS mungkin menyebabkan rakyat terbahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama adalah mereka yang menyokong penuh jaminan tersebut, kumpulan kedua pula lebih bersikap 'tunggu dan lihat' dan kumpulan ketiga adalah mereka yang menentang dan menolak terus . Kumpulan ketiga ini dianggap pemimpin dan ahli Umno yang begitu lama menjadi 'seteru' PAS dalam berpolitik Tidak menghairankan apabila Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menyebut negara akan 'bangkrap' apabila parti pembangkang diberi mandat memerintah. Bekas Menteri Kewangan yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula menyifatkan PAS hanya tahu 'bercakap' dan 'berjanji' sedangkan beliau adalah beberapa pemimpin Umno yang kuat menentang kenaikan harga minyak 30 sen pada tahun 2005 yang lalu. Ketika itu, dia bersama dengan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Muhamad yang menganggap kenaikan harga minyak adalah 'tidak munasabah' dan praktikal. Kemudian, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo' Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Dato' Seri Muhd Ali Rustam; Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa dan beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi Umno terus 'berkokok' dan bertempik kuat menyerang PAS. Strategi pemimpin PAS dan 'serangan' pimpinan Umno telah menyebabkan rakyat terutamanya pengundi mula 'bercakap' isu terbabit.
Strategi ini disifatkan berjaya dengan masyarakat mula menilai sejauhmana kemampuan PAS jika parti ini diberi mandat sebaik sahaja selesai pilihan raya umum ke-12 kelak.
Masyarakat juga sedang menilai sejauhmana 'serangan' kepimpinan Umno memberi impak politik kepada parti itu sama ada impak negatif mahupun positif. Walaupun jaminan dan janji PAS memberi tanggapan baru terhadap parti ini namun mereka tidak boleh terlalu leka dengan strategi politik Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mereka perlu cekap dan memahami strategi politik Abdullah sebelum menjelang pilihan raya umum ke-12 ini yang disifatkan sebagai lambat tetapi berkesan dan boleh mempengaruhi serta mengelirukan rakyat. Tidak mustahil Abdullah akan membuat pengumuman awal sebelum menjelang pilihanraya umum ke-12 kelak bahawa harga minyak akan kekal atau naik kurang daripada 10 sen yang seolah-olah tidak membebankan rakyat dan pengundi. Abdullah sudahpun bertindak dengan menubuhkan Majlis Harga Negara yang berperanan memantau kenaikan harga barangan pengguna seolah-olah harga barang tidak akan naik selepas pilihan raya umum ke-12 kelak. Abdullah juga mungkin akan mengumumkan kenaikan taraf elektrik dan air yang terlalu rendah yang segala-galanya digambarkan seolah-olah tidak memberi tekanan kepada pengundi. Abdullah juga pasti akan memberi gambaran sepertimana dalam pilihan raya umum 2004 lalu bahawa kestabilan adalah keutamaan Barisan Nasional dengan memberikan gambaran bahawa memilih pembangkang akan kacau bilau! Dan yang penting kakitangan kerajaan akan menerima bonus sama ada sebulan atau setengah bulan sebelum menjelang pilihan raya umum ini. Ketika ini, rakyat boleh 'keliru'. Rakyat menganggap bahawa janji dan jaminan pembangkang adalah tidak realistik lagi. Apatah lagi seluruh media cetak dan elektronik yang dikuasai mereka akan memberi liputan meluas di atas pengumuman Abdullah ini. Segala-galanya hanya untuk tahun 2008 dan selepas beberapa hari menjelang tarikh pilhan raya umum ke 12 kelak. Rakyat tidak akan tahu bagaimana pula selepas tahun 2009- 2012. Pada tahun 2009 harga minyak boleh naik begitu tinggi, harga barangan terus meningkat, tarif elektrik dan air berlipat kali ganda dan sebagainya. Keadaan terbukti selepas setahun Barisan Nasional menang besar dalam pilihan raya 2004 yang lalu. Kenaikan harga barangan yang mendadak, kenaikan tol, kenaikan minyak, pengangguran dan masalah sosial yang begitu membimbangkan berlaku selepas setahun dia memegang jawatan Perdana Menteri. Rakyat dan pengundi boleh lupa sengsara empat tahun dengan pelbagai kenaikan barangan sebelum ini hanya dengan pengumuman sekali sebelum menjelang Pilihan raya umum kelak. Rakyat akan lupa selepas beberapa anggota polis cedera parah, Abdullah membuat pengumuman bertindak ke atas pemimpin Hindraf, Abdullah mengarahkan Dato' Seri Azmi Khalid dan isteri ke China kerana isu 'ketuk-ketampi' sedangkan bangsa Melayu yang terlibat, selepas masalah sosial yang agak serius, Abdullah menubuhkan pelbagai saluran maklumat untuk kepentingan awam. Abdullah memberi tumpuan kepada koridor sedangkan masalah banjir terus berlaku sehingga membebankan rakyat.Segala-galanya adalah untuk politik. Abdullah berjaya dengan slogan 'bekerja bersama saya dan bukan untuk saya' sehingga ia membentuk satu kumpulan yang cukup besar untuk 'menyerang' mana-mana pihak yang cuba menentang beliau. Suatu yang tidak pernah berlaku di era Dr Mahathir yang mana pertubuhan politik menyaman wartawan yang cenderung menentang beliau, wartawan menyaman wartawan juga yang cenderung menentang dirinya. Abdullah 'bebas' dan seolah-olah tidak mengetahui isu terbabit kerana slogan 'bekerja bersama saya dan bukan untuk saya'.
Soalnya, bagaimanakah pembangkang mahu mempertahankan isu terbabit. Bagaimanakah pembangkang mahu mempengaruhi pengundi yang mudah keliru dan mudah 'lupa' sepertimana yang disebut oleh Dr Mahathir dahulu. Selepas Abdullah dan Barisan Nasional menang besar dan mungkin lebih besar daripada pilihan raya umum 2004 lalu, ketika itu yang kenaikan harga barangan terus meningkat dan taraf kehidupan terus merosot, rakyat kembali mengeluh.
Rakyat terus mengeluh dan mengakui 'alangkah untungnya kalau kita ada pembangkang yang kuat!' Tapi ini lah cara pemikiran pengundi kita dan Abdullah cukup arif dengan situasi tersebut.
Tidak menghairankan sebaik sahaja menang besar dalam pilihan raya umum ke-12 ini, dia akan kembali kepada habitat lamanya iaitu 'keluar negara'. 'Keluar negara' dan setiap bulan akan 'keluar negara.. Dan ketika itu, rakyat mungkin mendongkak ke atas untuk melihat kapal terbang Abdullah melintas di atas kepala mereka!

Khairy dibidas pergunakan sekolah untuk berkempen

MELAKA, 29 Jan (Hrkh) - Umno yang semakin terdesak untuk menjelaskan kepada rakyat berkenaan pelbagai isu yang melanda negara sejak akhir-akhir ini begitu rakus mempergunakan pelbagai kemudahan awam untuk menjalankan kempen pilihan raya mereka. Terbaru, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, tanpa rasa bersalah mempergunakan dewan sekolah ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya serta Gerak Gempur Pemuda Barisan Nasional peringkat Parlimen Jasin di Sekolah Menengah Kebangsaan Jasin, di sini, sabtu lalu. Menurut Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Baihaqi Ismail, tindakan yang dilakukan Khairy itu amat bertentangan sekali dengan prinsip parti mereka dan melanggar peraturan kerana mempergunakan sekolah yakni kemudahan awam bagi menjalankan program parti. "Ini mengambarkan betapa hipokritnya para pemimpin Umno yang berterusan membuli rakyat, kalau kena pada parti mereka semuanya boleh, guna sekolah lah, balai raya termasuklah masjid. "Tetapi dalam masa sama mereka menafikan hak parti dari Barisan Alternatif melaksanakan aktiviti atau program yang bertujuan menyampaikan pendapat kepada orang ramai seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara," kata beliau. Sambil menambah, beliau menyifatkan Umno sekarang ini seperti orang yang hampir mati lemas yang terpaksa berpaut dengan apa sahaja bagi meneruskan kesinambungan kuasa mereka walaupun ianya melanggar undang-undang negara. Umno Melaka sebelum ini telah menggunakan balai raya di sekitar Melaka bagi menjalankan 'pilihan raya olok-olok' untuk menguji sejauh mana kekuatan mereka dan sebagai salah satu srategi kempen pilihan raya. Manakala lebih kurang beberapa minggu lepas hampir seluruh masjid di negeri Melaka telah diarahkan membaca teks khutbah yang menghentam 'demonstrasi aman' iaitu merujuk kepada demonstrasi 'Bersih' sebelum ini. Antara lain isi kandungannya ialah mengajak orang ramai supaya tidak menyokong tindakan berdemonstrasi kerana menurut Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) iaitu pihak yang mengeluarkan teks tersebut ianya tidak sesuai dan bertentangan cara Islam. Sebaliknya perlulah menggunakan saluran yang sah di dalam negara sekiranya ingin menyatakan bantahan atau bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang memerintah supaya kestabilan negara dapat dikekalkan

Isnin, 28 Januari 2008

Wakil rakyat veteran selangor digugur, Di Melaka ???

SHAH ALAM 27 Jan. - Wakil rakyat di Selangor yang digugurkan daripada senarai calon pada pilihan raya umum akan datang merupakan mereka yang telah berkhidmat terlalu lama dan lanjut usia.Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, sudah tiba masanya wakil rakyat itu mengundurkan diri dan memberi peluang kepada muka- muka baru yang diyakini mampu membawa perubahan besar kepada kemajuan negeri ini.Selain itu, katanya, faktor usia juga menyebabkan wakil-wakil rakyat berkenaan berdepan dengan masalah kesihatan sehingga menyukarkan mereka untuk memberi khidmat yang baik kepada masyarakat."Mereka telah lama berkhidmat sehingga usia lanjut dan sesetengahnya mempunyai masalah kesihatan."Mereka seharusnya berundur dan memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menggantikan mereka," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa pelajar-pelajar Asrama Puteri Balkis di sini hari ini.Antara Ahli Parlimen di Selangor yang berusia lanjut ialah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, 70, (kawasan Shah Alam) manakala Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Shafie Salleh dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Noh Omar sudah memegang tugas tersebut selama tiga penggal.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang telah berkhidmat bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga penggal ialah Datuk Ahmad Bhari Abd. Rahman (Taman Templer), Datuk Mad Aris Mad Yusoff (Chempaka), Datuk Ismail Kijo (Lembah Jaya), Datuk Salamon Selamat (Batu Tiga), Datuk Zainal Abidin Sakom (Batang Kali), Datuk Jaei Ismail (Meru), Datuk Zakaria Md. Deros @ Abang Z (Pelabuhan Klang) dan Datuk Ahamad Kuris Mohd. Nor (Semenyih).Baru-baru ini, Mohamad Khir berkata, Barisan Nasional (BN) Selangor bakal mengetengahkan 30 peratus muka baru sebagai calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang.Calon-calon tersebut bukan sahaja berpendidikan dan memiliki sifat kepimpinan yang tinggi, malah disenangi masyarakat.Ciri-ciri sedemikian amat penting bagi memastikan BN mampu memperoleh kemenangan di setiap kerusi yang dipertandingkan.Mohamad Khir bagaimanapun enggan memaklumkan nama dan jumlah sebenar mereka yang akan digugurkan itu."Saya tidak boleh dedahkan sekarang sebab saya telah berjanji kepada mereka untuk merahsiakannya. Lagi pun, ia sesuatu yang normal untuk barisan pemimpin bersilih ganti," katanya.

Jelas sudah Mamak Maidin memang jadi masalah kepada parti

SUNGAI PETANI 27 Jan. – Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin menegaskan bahawa beliau tidak mahu menjadikan dirinya sebagai satu masalah kepada pucuk pimpinan UMNO sekiranya dipilih atau tidak untuk bertanding lagi pada pilihan raya umum akan datang. Zainuddin berkata, beliau akan akur terhadap apa jua keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan tetap menyokong mana-mana calon BN di Parlimen Merbok sekiranya tidak bertanding lagi. “Saya tidak mahu menjadikan diri saya sebagai satu masalah kepada bahagian, pucuk pimpinan, UMNO dan pengundi di kawasan ini.“Sekiranya saya tak dipilih pun, tidak ada masalah. Kalau saya disuruh bertanding, saya bertanding,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 peringkat Parlimen Merbok di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar dekat sini hari ini.Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengingatkan setiap pemimpin UMNO supaya menerima hakikat bahawa ada dalam kalangan mereka yang tidak akan terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-12. Menurut Zainuddin, beliau juga bersedia menyumbangkan tenaga dan kepakaran bagi membantu semua pihak kelak.“Yang penting sekarang ialah kemenangan Barisan Nasional (BN). Malah, kalau boleh, di Merbok kita nak hilangkan deposit calon parti lawan,” jelasnya.Semalam Zainuddin menolak spekulasi beliau enggan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Merbok pada pilihan raya umum kali ini.Sebaliknya, Zainuddin menegaskan, beliau akan terus mempertahankan kerusi Parlimen tersebut sekiranya pucuk pimpinan mahukan beliau berbuat demikian.Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Merbok itu berkata, BN diyakini akan memperoleh kemenangan besar di semua kerusi yang dipertandingkan di Kedah.Pembangkang akan hilang kerusi mereka kerana rakyat sudah boleh menilai keadaan sebenar sekarang.“Malah, rakyat Kedah juga memberikan sokongan padu kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mahdzir Khalid) kerana beliau berjaya menyampaikan apa yang dikehendaki mereka,” katanya.BN Kedah menguasai 31 kerusi DUN dan 14 Parlimen manakala pembangkang hanya menduduki lima kerusi DUN iaitu Belantek, Sungai Limau, Tokai, Anak Bukit dan Bukit Pinang selain satu kerusi Parlimen iaitu Pendang

Bincang kerusi Pas, PKR di peringkat akhir

KOTA KINABALU 27 Jan. - Perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada di peringkat akhir rundingan dan ia dijangka selesai sedikit masa lagi menjelang pilihan raya umum ke-12. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar)berkata, meskipun perbincangan itu berada di peringkat akhir, partinya sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan pada bila-bila masa."Semua pembahagian kerusi antara Pas dan PKR pada umumnya sudah banyak yang selesai. Ini kerana kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan negara kita mengamalkan demokrasi yang luar biasa."Sedangkan negara seperti Zimbabwe pun tahu bila tarikh pilihan raya, kita di sini masih lagi berteka teki (tentang tarikh pilihan raya)," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat pilihan raya Pas di Bangunan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) di sini hari ini.Abdul Hadi berkata, Pas dan parti pembangkang lain sememangnya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya."Kita akan tentang semua bentuk penyelewengan dalam pilihan raya dan kalau masih tidak selesai, kita sambung selepas pilihan raya," katanya.
Pada pilihan raya kali ini, kata Abdul Hadi, Pas akan memastikan calon parti itu tidak akan bertembung dengan calon PKR seperti mana yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004."Kita akan pastikan satu lawan satu, iaitu calon Pas atau PKR menentang calon BN," katanya.Berhubung demonstrasi jalanan yang gagal dianjurkan di ibu kota semalam, beliau berkata, Pas tetap dengan pendirian untuk mengadakan perhimpunan aman kerana perbuatan itu dilindungi dalam perlembagaan negara."Ia boleh dilakukan secara aman. Ini dilakukan di banyak negara maju termasuk di negara yang pernah mengamalkan dasar komunis seperti China," katanya.

DegilNyer dia nie ..


KUALA LUMPUR 27 Jan. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang telah lapan penggal mewakili kerusi Parlimen Sungai Siput berkata, beliau mesti bertanding pada pilihan raya umum akan datang.Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya menegaskan, beliau tidak pernah berasa penat untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan berhenti menerajui parti MIC demi pembangunan dan kemajuan kaum India di negara ini.“Saya mesti bertanding lagi. Kepala (ketua) tidak ada, mana boleh badan (parti) ada lagi,” katanya kepada pemberita menghadiri Majlis Forum Belia India Kebangsaan yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF) di sini hari ini.Forum tersebut dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said.Samy Vellu, 71, merupakan Presiden MIC paling lama menjawat jawatan itu iaitu sejak tahun 1981. Beliau pertama kali bertanding di Parlimen Sungai Siput pada tahun 1974. Pada pilihan raya umum 2004, beliau mendapat undi majoriti 10,235 menewaskan calon DAP, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj.Sementara itu di JOHOR BAHRU, Pengerusi MIC Johor, Datuk K.S. Balakrishnan berkata, beliau sudah penat untuk bertanding lagi pada pilihan raya akan datang.‘‘Saya sudah penat tetapi kalau diberi peluang saya akan bertanding dan meneruskan perjuangan,” katanya ketika ditemui pada Pesta Pongal yang dianjurkan Biro Kebudayaan MIC Gelang Patah di Skudai dekat sini hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor itu pertama kali bertanding pada pilihan raya umum pada tahun 1990 dan telah empat kali terlibat dalam pilihan raya.Beliau merupakan wakil rakyat paling lama memegang jawatan Exco. Balakrishnan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas selepas menewaskan calon Pas, Syed Othman Syed Abdullah dengan memperoleh majoriti 17,307 undi pada pilihan raya umum 2004.Dalam pilihan raya umum ke-10 pada tahun 1999, beliau berjaya memperoleh 25,691 undi mengalahkan calon Pas, Azam Haron dengan majoriti 17,307 undi.Sebelum itu, Balakrishnan juga menang ketika bertanding kerusi DUN pada pilihan raya umum 1995 dan 1990.Mengulas lanjut, Balakrishnan berkata, kedudukannya sama ada bertanding atau tidak pada pilihan raya umum nanti terletak pada pucuk pimpinan MIC.Katanya, pucuk pimpinan MIC lebih mengetahui tentang masa depan politiknya. Bagaimanapun, beliau menjangkakan MIC bakal memperoleh kemenangan lebih besar berbanding pilihan raya 2004 memandangkan sokongan padu masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN).Sementara itu, di Kuala Lumpur ketika mengulas mengenai forum pembangunan belia India, Samy Vellu berkata, beliau sendiri sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi membentuk rancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah yang membelenggu kaum India. Katanya, ramai belia India masih mempunyai tanggapan negatif terhadap kerajaan kerana pemikiran mereka telah dipengaruhi dan diracuni pihak tertentu termasuk pembangkang.Beliau berkata, selain membincangkan masalah kaum India, MIC akan melaksanakan program bersama pertubuhan belia India bagi membuka minda dan menyedarkan mereka tentang peluang yang diwujudkan kerajaan.“Kita sedar bahawa belia mempunyai minat memajukan diri dan mereka sebenarnya ingin berjaya. Mereka hanya memerlukan peluang serta bantuan. MIC bersedia memberikannya pada bila-bila masa,” kata Samy Vellu.Sebagai bukti, MIC baru-baru ini telah berjaya mendapatkan peruntukan daripada kerajaan berjumlah RM4.3 juta untuk belia India mengikuti program latihan kemahiran di institusi latihan kemahiran awam, jelasnya.Beliau berkata, MIC yakin lebih banyak kemudahan akan dapat disediakan untuk belia India di negara ini terutama peluang pekerjaan dalam sektor awam

Isnin, 21 Januari 2008

TAU TAKUT ...

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghalang perhimpunan dan kempen yang dianjurkan oleh parti politik khususnya pembangkang kerana takut penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan mereka selama ini kepada rakyat dan negara bakal terdedah. Pengerusi Lajnah Peguam dan Undang-undang PAS, Hanipa Maidin berkata Umno/BN menggunakan pelbagai cara untuk menghalang pembangkang bersuara malah sanggup membazirkan wang dan masa membuat pendakwaan yang tidak perlu seperti dalam insiden kes Batu Burok pada 8 September lalu. "Bagi Umno/BN apabila berhimpun sahaja adalah salah. Di dalam demokrasi, parti-parti politik dibenarkan untuk berhimpun dan berkempen serta membuat pemberitahuan dan hebahan. "Sekiranya parti-parti politik tidak dibenarkan untuk membuat perhimpunan, ia tidak lagi dipanggil demokrasi," kata beliau ketika berceramah di dalam majlis ceramah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Pekan Batu Enam, Terengganu semalam. Beliau hadir berceramah sempena hari perbicaraan Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Abd Aziz, mangsa tembakan peluru hidup polis serta 18 orang pada sebelah siangnya di Mahkamah Kuala Terengganu.
Dalam pada itu Hanipa memberitahu para hadirin tentang kes Azman dan Suwandi, bahawa kejadian buruk itu tidak akan berlaku sekiranya kerajaan memberikan kebenaran rakyat untuk berhimpun pada 8 September yang lalu. "Apabila parti politik berhimpun dan berkempen, Umno/BN takut rakyat tahu tentang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang telah dilakukan, mereka gunakan gunakan pelbagai cara untuk menghalang pembangkang bersuara.
"Rakyat mesti menolak Umno kerana Umno menggunakan agama Islam semata-mata untuk mendapatkan undi, bukan beriman dengannya," katanya yang merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri Aziz yang terus terang mengatakan bahawa Umno terpaksa menggunakan Islam untuk melawan PAS, bukan untuk melaksanakannya.
Dalam pada itu lebih 400 dari 1500 orang yang hadir menunaikan solat hajat di hadapan mahkamah Kuala Terengganu sekitar jam 10.30 pagi semalam yang diimamkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, merangkap Timbalan Pesuruhjaya Negeri Terengganu, DatoĆ¢€™ Ustaz Hj Abu Bakar Chik.

PAS komited pertahan kedaulatan undang-undang


KUALA TERENGGANU, 21 Jan (Hrkh) - PAS komited mahu mempertahankan kedaulatan undang-undang serta sistem kehakiman di negara ini yang sedang 'dinodai'. Jika undang-undang mengatakan Suwandi dan Azman boleh diikat jamin hendaklah diberi hak kepada mereka untuk dijamin, keluar dan dibicarakan di mahkamah. Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian pada siding media di hadapan pintu masuk ke Mahakamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam. Katanya, campurtangan politik dalam sistem kehakiman serta kedaulatan undang-undang amat ketara berlaku dalam negara hari ini. "Kita melihat sejak kebelakangan ini campurtangan politik terhadap kedaulatan undang-undang begitu ketara. Ini yang kita tidak mahu. "Jika rakyat sudah tidak percaya kepada mahkamah amat merbahaya dan ini yang saya bimbang. "Saya cukup-cukup bimbang jika rakyat sudah tidak percaya kepada mahkamah dan kedaulatan undang-undang di negara ini," tegasnya. Sehubungan itu, beliau mendesak agar anggota polis yang melepaskan tembakan peluru hidup serta hampir meragut dua nyawa turut didakwa dan dibicarakan di mahkamah. "Kita juga minta polis yang menembak itu juga didakwa. Mereka pertahankan hujah mereka di mahkamah jika mereka mengatakan mereka mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan,"ujarnya. Menurutnya, kes pendakwaan terhadap Suwandi dan Azman sebagai suatu 'test' tentang campur tangan politik dalam perundangan di Malaysia hari ini

Individu rakam 'Pita Lingam' beri keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Individu yang didakwa merakam perbualan klip video antara seorang peguam kanan, Dato' VK Lingam dengan seorang hakim hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja 'Pita Lingam'. Loh Gwo Burne, memberi keterangan di hadapan lima pesuruhjaya antaranya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor; Tan Sri Steve Shim; Dato' Mahadev Shankar, Prof Emeritus Khoo Kay Kim dan Zaiton Zawiyah Puteh.Loh Gwo Burne yang kini bekerja di Shanghai sebelum ini diakui oleh bapanya, Loh Mui Fah merakam perbualan itu ketika Loh dan Lingam bertemu di rumah Lingam pada tahun 2001.Loh adalah antara individu yang turut berada bersama Lingam dalam pita tersebut selain mengakui memerhati perbualan Lingam melalui telefon bersama seorang hakim kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairus Sheikh Abdul Halim. Gwo Burne yang hadir bersama bapanya dengan membawa dokumen dan beg kecil mengaku merakam video selama 14 minit itu dengan menggunakan kamera digital jenis Sony 707 yang juga boleh merakamkan video.Menurut Gwo Burne, kehadiran beliau dan bapanya di rumah Lingam di Kelana Jaya pada 20 Disember (ketika rakaman dibuat) adalah untuk makan malam dan membincang urusan guaman.Beliau membawa kamera itu bersamanya untuk mengambil gambar makan malam berkenaan dan mengakui beliau adalah orang yang merakamkan video tersebut.Anak kepada peniaga itu turut mengesahkan dua keping gambar makan malam yang ditunjukkan kepada suruhanjaya tersebut minggu lalu sebagai bahan bukti perbicaraan diambil olehnya ketika di rumah Lingam.

Lingam waras dan tidak mabuk
Sementara itu, dalam keterangan pada pagi tadi Gwo Burne berkata bahawa Lingam tidak berlakon, dan berada dalam keadaan waras dan bukannya mabuk atau gila seperti yang dituduh Menteri Pelancongan Tengku Adnan Tengku Mansor.Dalam keterangan Gwo Burne, beliau mengesahkan bahawa Lingam adalah orang dalam rakaman video tersebut sambil menegaskan bahawa Lingam tidak berlakon.Beliau juga turut menegaskan bahawa Lingam berada dalam keadaan waras dan bukannya mabuk atau gila seperti yang dituduh Tengku Adnan. Beliau mengesahkan bahawa dua gambar makam malam itu yang ditunjukkan kepada suruhanjaya tersebut minggu lalu adalah diambil olehnya - satu menunjukkan Lingam, adik perempuannya dan bapanya Mui Fah, manakala satu lagi menunjukkan Lingam, bapanya Mui Fah dan seorang lagi peguam, mendiang Manjit Singh.Dalam pada itu, siasatan hari ini turut menyaksikan perdebatan hangat antara anggota suruhanjaya itu, Tan Seri Haidar Mohamed Noor, Dato' Mahadev Shankar dan peguam Wee Choo Keong.Wee ditegur kerana memberitahu media Jumaat lalu bahawa suruhanjaya itu keberatan untuk memanggil adik lelaki Lingan - VK Thirunama - sebagai saksi. Sementara itu, peguam Dato' Seri Anwar Ibrahim, M Puravelan, juga gagal dalam usahanya supaya Anwar dipanggil memberi keterangan pagi ini kerana beliau dijadualkan untuk berlepas ke Hong Kong esok.Puravalen sebelum ini berkata, pelanggannya itu boleh membantu suruhanjaya untuk mendapatkan maklumat yang tidak dapat diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberi keterangan minggu lalu.Menurut Mahathir, beliau tidak ingat apa yang berlaku tujuh tahun yang lalu

Jumaat, 4 Januari 2008

pembohongan Umno lagi

Bayaran yuran tambahan sekolah dikurang: Najib

KOTA BHARU: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedia mengurangkan bayaran tambahan yang dikenakan sekolah, termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) demi meringankan lagi beban yang ditanggung ibu bapa.Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana kerajaan tidak mahu ada murid tercicir daripada alam persekolahan disebabkan faktor kemiskinan atau tidak mampu membayar yuran tambahan dikenakan.“Kita nak semua mendapat peluang dan soal kemiskinan tidak menjadi halangan untuk belajar. Saya sedih, jika pergi ke kampung dan luar bandar ada anak yang sepatutnya ke sekolah, tetapi berhenti kerana ibu bapa tak mampu.“Sebab itu, Perdana Menteri dalam Bajet 2008 baru-baru ini, bersetuju memberikan pinjaman buku teks percuma kepada semua pelajar. Dulu kita ada kriteria untuk mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah saja.“Yuran peperiksaan kita mansuhkan, yuran sekolah pun kita mansuhkan. Kini, ada sedikit bayaran yuran PIBG dan bayaran lain pun kita nak tengok juga... jangan kenakan bayaran berlebihan kepada ibu bapa yang tak mampu,” katanya.Beliau berucap pada majlis perjumpaan bersama warga pendidik Kelantan sempena lawatan dua hari ke Kelantan bermula semalam.Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Majlis Kemajuan Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengarah Pelajaran Kelantan, Ismail Md Noor.Najib menegaskan, berdasarkan pelbagai bentuk bantuan, kemudahan disediakan kerajaan serta penghapusan yuran, sepatutnya ketika ini tiada lagi murid tercicir persekolahan.“Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pun kita sediakan pada pelajar sekolah rendah dan menengah. Saya tak fikir ada negara mengamalkan prinsip demokrasi pendidikan seperti negara ini.“Jika ada lagi anak yang tak ke sekolah, sajalah tu... sepatutnya tak berlaku. Jika ada lagi anak yang tak pergi sekolah kerana ada masalah, tolong beritahu kita supaya sesuatu dapat dilakukan,” katanya. Najib berkata, kerajaan akan sentiasa melakukan reformasi dalam pendidikan negara dari semasa ke semasa bagi memastikannya relevan serta bersesuaian dengan perkembangan global. “Jika zaman ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan globalisasi, pendidikan mesti berubah seiring tuntutan sekarang dan masa depan. Jika tak dimasukkan unsur lebih dinamik, kita akan ketinggalan dan tidak mampu menjadi negara bangsa berdaya saing,” katanya. Beliau berkata, perubahan sistem pendidikan perlu berterusan dan turut membabitkan peranan pendidik kerana golongan itu adalah individu yang menentukan kejayaan sesuatu perubahan yang hendak dilaksanakan kerajaan.Sementara itu, Najib berkata, demontrasi jalanan yang ditunjangi pembangkang sengaja dilakukan untuk menimbulkan huru-hara dalam negara kerana tahu parti mereka tidak mempunyai peluang menang dalam pilihan raya umum akan datang. “Puak yang suka buat demonstrasi ini, dia tahu jika negara aman dan harmoni, dia tiada peluang menang dalam pilihan raya. Tak mungkin untuk mereka menang... jadi dia buat hura-hara. Ini agenda politik mereka dan bukan agenda negara.“Agenda negara adalah mencorak generasi akan datang yang berkualiti dan kita akan teruskan. Jika nak demonstrasi, tak payah buat demonstrasi jalanan. Kita boleh bagi stadium, nak stadium mana? Stadium Bukit Jalil kita boleh bagi, boleh berkumpul, bersyarah dan bertempik di situ.“Jangan buat demonstrasi jalanan kerana itu bukan cara kita. Kita tetap akan menjamin keamanan dan keharmonian dalam negara... saya dah kata, jika terpaksa cekup bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), kita akan ambil tindakan,” katanya.
Satu Pembohongan! : Pelupusan yuran sekolah Berikut adalah keratan surat yang terkandung di dalam pekeliling yang BAKAL diedarkan kepada ibu bapa disebuah sekolah di bandar, Selangor. Sila rujuk artikel semalam 19/Nov, yang membuktikan perubahan istilah YURAN kepada SISTEM PAKEJ BAYARAN TAMBAHAN.
Ibu bapa bakal menerima surat pekeliling yang sedemikian ketika sessi permulaan persekolah Januari 2008 nanti. Ini jelas menunjukkan bahawa pelupusan YURAN TAHUNAN yang dicanangkan oleh kerajaan melalui kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran memang berlaku tetapi YURAN tersebut digantikan dengan terma lain, PEMBAYARAN PAKEJ TAMBAHAN.
Merujuk kepada artikel lepas, surat PEKELILING IKHTISAS yang diedarkan ke seluruh sekolah dikatakan mengandungi keterangan tentang ketiga tiga pakej berkenaan. PAKEJ A (RM38.00) untuk sekolah bandar yang moden dan canggih, PAKEJ B (30.50) untuk sekolah bandar yang sederhana dan PAKEJ C (RM23.50) untuk sekolah dikampung. Pihak sekolah diarah untuk membalas surat pekeliling berkenaan kepada KEMENTERIAN PELAJARAN. Dan sekolah diatas telah memilih PAKEJ B, seperti yang terkandung di dalam surat berkenaan. Ini bermakna YURAN TAHUNAN yang sebelum ini berjumlah RM18.00 setahun telah dinaikkan jumlah nya dengan kaedah tidak ketara.
Rakyat Malaysia sekali lagi diPERBODOHKAN oleh penggunaan TERMA oleh kerajaan Malaysia, menyaksikan betapa penipuan ini dilakukan oleh Pemimpin Barisan Nasional untuk tujuan Pilihanraya ke 12 semata mata. Diberita kan bahawa surat kepada ibu bapa yang bertarikh pada 14 November 2007 ini hanya akan diedarkan pada awal tahun hadapan. Dan mungkinkah ini turut membuktikan bahawa Pilihanraya akan diadakan sebelum penghujung tahun 2007 ini, bagi mengelakkan rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan?
Rujukan: SKBTBil 03/03/04/005Tarikh: 14 NOVEMBER 2007
Kepada,Semua Ibubapa/Penjaga MuridSekolah Kebangsaan Bukit TinggiBandar Bukit Tinggi, 41200 Klang
Tuan/Puan,
KUTIPAN YURAN SESSI PERSEKOLAHAN 2008
Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.
2. Sukacitanya dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah memansuhkan YURAN KHAS di semua sekolah Kerajaan dan sekolah Bantuan Kerajaan pada sessi persekolahan 2008 dan melaksanakan SISTEM PAKEJ BAYARAN TAMBAHAN sebagai bayaran perkhidmatan dan kemudahan dikategorikan kepada 3 Pakej. (Surat Pekeliling Ikhtisas 13/2/2007 bertarikh 31 Oktober 2007) - rujuk Lampiran SR
3. Jawatankuasa Pentabdiran / Kewangan sekolah telah memutuskan untuk memilih Pakej B (RM 30.50) dengan mengambil kira latar belakang sosioekonomi masyarakat setempat.
4. Selain dari ibubapa/penjaga perlu membuat bayaran kepada KEPERLUAN MURID BAGI TAHUN 2008 dan sumbangan PIBG seperti disenaraikan mengikut Tahun persekolahan.
- Rujuk Lampiran BAYARAN KEPERLUAN MURID 2008 & SUMBANGAN PIBG.
5. Ibubapa/penjaga murid boleh membuat bayaran untuk PAKEJ BAYARAN TAMBAHAN dan KEPERLUAN MURID TAHUN 2008 pada 01 January 2008 semasa HARI ORIENTASI TAHUN SATU.
Sekian untuk makluman dan tindakan. Terima Kaseh.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menurut perintah,
Nota: Lampiran SR dan Surat Pekeliling Ikhtisas 13/2/2007 tidak disertakan salinannya.
Telah ditanya Menteri Pelajaran di dalam TV3, dan dengan kelam kabutnya beliau menjawab, pembayaran PAKEJ adalah TIDAK WAJIB kepada ibu bapa, sedangkan di dalam surat kepada ibu bapa tidak disebut samada ianya wajib atau tidak. (PEMBOHONGAN 1)
Selepas itu, apabila diwawancara sekali lagi oleh TV3, beliau menukar kenyataan dengan menyatakan bahawa bayaran PAKEJ tersebut boleh dibayar secara ansuran. (PEMBOHONGAN 2)
Berlainan dengan surat pekeliling yang diperolehi dari sebuah sekolah yang juga di Kelang (Sekolah Rendah Kampung Jawa, Kelang) menyebut CAJ tersebut dengan istilah mereka sebagai, SENARAI BAYARAN TAMBAHAN TAHUN 2008. (PEMBOHONGAN 3)
Berikut adalah kandunga surat yang diedarkan kepada ibu bapa disekolah tersebut sempena buka sekolah 2008.
SENARAI BAYARAN TAMBAHAN TAHUN 2008 (Sekolah Rendah Kg Jawa, Kelang)
Untuk tahun 1, 2, 3, 4, 5 dan 6Bayaran yang dikenakan sebanyak RM30.50 (bersamaan jumlah dgn PAKEJ B)
A. Bayaran Tambahan
Kokurikulum RM3.00Kertas Ujian Dalaman RM8.00Sukan Tahunan Sekolah RM8.00Kegiatan Pendidikan Islam/Moral RM8.00Sekim Perlindungan Diri RM1.50MSSM RM2.00
JUMLAH RM30.50
Dengan ini adalah jelas. Pihak sekolah tidak pula menyebutnya sebagai CAJ kerana bimbang ibu dan bapa tidak akan membayarnya apabila merujuk kepada kenyataan Menteri pelajaran di TV3. Apabila istilah itu ditukar kepada SENARAI BAYARAN TAMBAHAN TAHUN 2008 ternyata ianya WAJIB dibayar.
Lihat betapa Kerajaan memutarbelitkan setiap istilah supaya ia kelihatan dihapuskan tetapi realitinya ia masih kekal ada, malah nilainya pun meningkat. Kalau sebelum ini, ia dipanggil sebagai YURAN SEKOLAH, dihapuskan dan ditukar kepada PAKEJ A, B dan C kemudian pihak sekolah pula menukarkan nya kepada SENARAI BAYARAN TAMBAHAN TAHUNAN.
Mungkin ada ibu bapa yang sombong apabila nilai RM30.50 itu dikatakan tidak banyak dan ibu bapa tidak perlu kecoh, tetapi isu sebenar adalah kerajaan sudah BERBOHONG dengan kenyataan penghapusan YURAN. Dan pembohongan itu melibatkan jumlah yang besar jika dikira secara keseluruhannya. Sebelum sebarang kritikan dibuat, perlulah pendapat itu mengambil kira keadaan ekonomi pelbagai lapisan masyarakat. Dan kalau ada pihak yang masih sombong, bermakna, mereka adalah dari golongan yang mementingkan diri sendiri sahaja.
Keghairahan Kerajaan Barisan Nasional membuat keputusan membatalkan YURAN adalah bertujuan untuk membeli dan memujuk hati rakyat supaya kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi niat ini sebenarnya tidak ikhlas apabila mereka menyedari bahawa dengan nilai RM18 seorang pelajar jika didarab dengan jumlah kanak kanak sekolah, ia ternyata besar dan lantas kerajaan membatalkan niat tersebut.
Memandangkan buku bantuan bakal diberikan pada tahun ini, kerajaan telah menambah dari RM18.00 nilai yuran kepada RM40.50 atau RM30.50 atau RM20.50 sebagai bayaran PAKEJ. Tetapi perubahan ini sebenarnya telah menambah beban kepada golongan miskin dan sederhana. Masalah ibu bapa membawa kepada masalah anak anak dan ini adalah salah satu punca nya.
Merujuk kepada perkara yang disebut, maka adalah dengan jelas, kerajaan yang GEMAR BERBOHONG seperti BARISAN NASIONAL ini, tidak perlu dikekalkan lagi. Bukan sahaja sanggup berbohong tertapi turut merompak wang rakyat. Seperti pepatah orang tua, SIAKAP SENOHONG GELAMA IKAN DURI, BERCAKAP BOHONG MEMANG DAH LAMA BN MENCURI. Yuran kena bayar, cukai kena bayar, harga barangan meningkat dan kos kehidupan semakin tinggi ....... apa tanggung jawab kerajaan?