KOTA KINABALU 27 Jan. - Perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada di peringkat akhir rundingan dan ia dijangka selesai sedikit masa lagi menjelang pilihan raya umum ke-12. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar)berkata, meskipun perbincangan itu berada di peringkat akhir, partinya sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan pada bila-bila masa."Semua pembahagian kerusi antara Pas dan PKR pada umumnya sudah banyak yang selesai. Ini kerana kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan negara kita mengamalkan demokrasi yang luar biasa."Sedangkan negara seperti Zimbabwe pun tahu bila tarikh pilihan raya, kita di sini masih lagi berteka teki (tentang tarikh pilihan raya)," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat pilihan raya Pas di Bangunan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) di sini hari ini.Abdul Hadi berkata, Pas dan parti pembangkang lain sememangnya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya."Kita akan tentang semua bentuk penyelewengan dalam pilihan raya dan kalau masih tidak selesai, kita sambung selepas pilihan raya," katanya.Pada pilihan raya kali ini, kata Abdul Hadi, Pas akan memastikan calon parti itu tidak akan bertembung dengan calon PKR seperti mana yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004."Kita akan pastikan satu lawan satu, iaitu calon Pas atau PKR menentang calon BN," katanya.Berhubung demonstrasi jalanan yang gagal dianjurkan di ibu kota semalam, beliau berkata, Pas tetap dengan pendirian untuk mengadakan perhimpunan aman kerana perbuatan itu dilindungi dalam perlembagaan negara."Ia boleh dilakukan secara aman. Ini dilakukan di banyak negara maju termasuk di negara yang pernah mengamalkan dasar komunis seperti China," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan