Followers

Sabtu, 2 Ogos 2008

PERMATANG PAUH IS RETURN TO ANWAR

Dato' Seri Anwar Ibrahim kembali ke Permatang Pauh. Permatang Pauh adalah kerusi tradisi milik Anwar dan keluarganya yang diwakili selama lebih 25 tahun mulai 1982 sehingga 2008.
Anwar menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh selama 16 tahun mulai 1982 sehingga 1999. Kerusi tersebut yang terpaksa dilepaskannya akibat dipecat, didakwa dan dimalukan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ketika itu.

Kerusi tersebut terus diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 1999 hingga semalam (31 Julai 2008). Kerusi Permatang Pauh tidak dikosongkan hanya semata-mata untuk menunjukkan kasih sayang seorang isteri kepada suami. Ke mana sahaja Wan Azizah pergi dan memegang jawatan sama ada Ahli Parlimen atau Presiden parti, rakyat tetap beranggapan atau mempunyai persepsi bahawa beliau adalah proksi Anwar. Memang pun! Kerusi parlimen Permatang Pauh sememangnya kerusi milik Anwar. Wan Azizah menggantikannya seketika, sementara Anwar disekat undang-undang untuk bertanding dalam pilihan raya.

Juga sebagai presiden parti, rakyat tetap beranggapan bahawa Anwar adalah presiden sebenarnya, Wan Azizah hanya sebagai nominee. Sebab itu Anwar digelar Ketua Umum KeADILan atau de facto leader.Parti KeADILan Rakyat, yang sebelum ini dikenali sebagai Parti KeADILan Nasional ditubuhkan kerana Anwar Ibrahim. Untuk memperjuangkan keadilan, cetusan daripada kezaliman melampau yang ditimpakan BN ke atas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998.Dan, Wan Azizah dipilih sebagai presiden parti kerana beliau adalah isteri kepada Anwar, Anwar sebenarnya yang menjadi ikon reformasi politik dalam negara.

Kesediaan Wan Azizah melepaskan jawatan sudah lama. Selama 16 tahun Anwar dalam Umno dan kerajaan (1982 - 1998) Wan Azizah tidak mencampuri urusan politik. Beliau adalah suri rumah sepenuh masa.Dalam tempoh sepuluh tahun, seorang suri rumah yang tidak mencampuri urusan politik, terpaksa mengetuai parti politik, terbabit dalam perancangan politik bagi menggantikan suami yang terpenjara selama enam tahun (1998 - 2004) dan empat tahun dihalang untuk bertanding.Tugas Wan Azizah selama sepuluh tahun ini bukannya mudah, mengambil alih peranan Anwar bukannya mudah, justeru keputusannya berundur sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang, harus dihormati.

Laluan mudah untuk Anwar ke Parlimen

Sebelum ini memang ada pertimbangan untuk Anwar bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Gombak kerana penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali sedia memberi laluan.Manakala kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang diwakili peguam Zulkifli Noordin yang menghadapi petisyen pilihan raya, sedang menunggu keputusan mahkamah dna dijangka diputuskan 11 Ogos depan.

Jika mengikut trend sokongan rakyat, walaupun mungkin boleh wujud manipulasi BN bagi Bandar Tun Razak, Gombak atau Kulim-Bandar Baharu, Anwar dijangka tidak akan melalui jalan yang sukar untuk memenanginya. Bagaimanapun, jalan terbaik untuk Anwar ialah kembali ke kerusi tradisi yang diwakili beliau dan keluarga sejak 25 tahun yang lalu. Anwar mula mewakili Permatang Pauh pada tahun 1982 menewaskan calon PAS, Zabidi Ali (14,352 majoriti), 1986 menewaskan Mohamad Sabu (10,479 majoriti), 1990 mengalahkan Mahfuz Omar (16,150) dan 1995 menewaskan calon DAP, Abdul Rahman Manap dengan 23,515 majoriti.Pada tahun 1999, Wan Azizah menang dengan majoriti 9077 menewaskan bekas Setiausaha Politik Anwar, Dato' Dr Ibrahim Saad, dikatakan kerana undi simpati terhadap Anwar. Pada 2004 kerusi Permatang Pauh dikekalkan dengan majoriti yang kecil (590 undi) dengan menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail.

2008 menyaksikan Wan Azizah mengekalkan kerusinya dengan majoriti lebih besar iaitu 13,388.
Banyak sumber-sumber dalam Umno sendiri yang mengakui bahawa orang-orang Umno tetap mengundi Wan Azizah kerana Anwar, sebagai penolakan terhadap keputusan pucuk kepimpinan Umno yang memecat Anwar. Ketika Anwar dipecat (1998), beliau bukan sahaja TPM dan Menteri Kewangan. Anwar ketika itu juga adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh.

Justeru dengan sokongan padu rakyat dari kalangan pelbagai kaum, beserta dengan penyokong tegar Anwar dalam Umno, Anwar dijangka akan memenangi kerusi Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil nanti dengan mudah, serta pertambahan majoriti lebih besar. Anwar adalah masalah besar bagi Umno/BN.Masalahnya bagi Umno/BN mereka terpaksa berhadapan dengan tekanan politik yang amat besar dan sukar jika Anwar kembali ke Parlimen. Umno/BN sedar, jika Anwar menang kerusi Permatang Pauh, Anwar akan menggantikan Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Mereka juga amat menyedari apabila Anwar bertanding pilihan raya, masuk ke Parlimen, bukan semata-mata hendak menjadi Ketua Pembangkang. Hasratnya jelas, iaitu, berusaha mengambil alih kerajaan Pusat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6!

Sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat, Anwar sudah mengumumkan bahawa tarikh 16 September 2008 adalah 'deadline' utama pembentukan kerajaan baru. Mungkin akibat daripada pelbagai tekanan politik, khususnya isu tuduhan liwat terhadap Anwar, 'deadline' tersebut akan teranjak sedikit. Barangkali ketika pengumuman yang dibuat Anwar tiga bulan lalu, pemimpin Umno/BN kurang gusar, kerana Anwar bukan Ahli Parlimen, untuk menjadi PM, Anwar harus menjadi wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya.

Dengan kemenangan Anwar di Permatang Pauh nanti, beliau bukan setakat Ahli Parlimen atau Ketua Pembangkang sahaja, malah jalan ke Putrajaya sudah terbuka luas di hadapan beliau.
Jika di luar Parlimen agak sukar bagi Anwar untuk berjumpa, berunding serta bermuqabalah dengan mana-mana wakil rakyat BN yang berminat untuk berhijrah menyertai Pakatan Rakyat.
Maka, sebaik sahaja Anwar menjejakkan kali ke Parlimen sebagai Ahli Dewan Rakyat dan duduk di kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen, rakan-rakan yang berada di blok kerajaan, akan menjadi seumpama 'cacing kepanasan.'

Tidak boleh dibayangkan ketika itu wajah-wajah seperti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan berubah 'merah padam' macam 'cacing kepanasan'.
Oleh itu usaha-usaha untuk menyekat Anwar dijangka akan berterusan. Walaupun ada jaminan daripada PM Abdullah, tidak akan wujud sebarang konspirasi untuk 'mengenakan' Anwar, rakyat masih sukar mempercayainya.Isu yang besar di sebalik usaha untuk menyekat Anwar kembali ke Parlimen adalah, bagaimana BN hendak mengekalkan kuasanya dalam sebulan dua ini. Justeru tidak mustahil dalam keadaan yang tertekan sedemikian rupa, tindakan luar jangka bagi menyelamatkan kepentingan politik kelompok tertentu, boleh mengatasi jaminan keselamatan dan keadilan terhadap Anwar.

Tiada ulasan: