KUALA LUMPUR, 4 Julai (Hrkh) - Bantuan kerajaan pusat kepada Sekolah Agama Rakyat masih lagi menjadi umpama mengharap 'bulan jatuh ke riba'. Keseriusan pelaksanaan Islam di negara ini terutamanya dalam sistem pendidikan masih diragui oleh banyak pihak khususnya Pakatan Rakyat bagi membendung kemerosotan nilai-nilai moral dan akhlak terhadap generasi muda masa kini.Bahkan dalam soalan tambahan yang dikemukakan semasa sesi soal jawab sidang dewan rakyat yang lalu, kerajaan tidak mengadakan sebarang peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat.
Malangnya, dalam soalan yang dikemukakan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dalam cadangannya kepada kerajaan bagi mengurangakan kos perbelanjaan Orkestra Philharmonik di bawah Petronas, kerajaan menyatakan bahawa mereka mengeluarkan wang sejumlah RM500 juta untuknya bagi tujuan agar rakyat dapat menghayati kesenian dan kebudayaan. "Ia merupakan bukti tahap keseriusan kerajaan yang memperjuangkan Islam Hadhari yang lebih mementingkan pembangunan kesenian dan hiburan berbanding pendidikan Islam bagi membangunkan aspek spiritual dan jiwa rakyat," kata Mahfuz ketika ditemui.
Sementara itu, beliau melahirkan kekesalan atas dakwaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Mashitah Ibrahim ketika menjawab soalan yang dikemukakan Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) mengenai pembinaan sekolah agama dan maahad tahfiz al-Quran pada sesi soal jawab sidang parlimen pagi tadi.
"Saya kurang bersetuju sepenuhnya dengan jawapan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri memandangkan permintaan dan keperluan yang semakin mendesak," ujarnya. Mashitah juga menjelaskan bahawa kesukaran kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada sekolah agama rakyat disebabkan ianya masih beluim berdaftar di bawah kementerian.
Katanya, tujuan pendaftaran tersebut dibuat adalah bagi memudahkan proses pemantauan bantuan dihantar.
"Kebanyakan sekolah ini sangat daif, jadi saya nak anjurkan kalau ada sekolah yang ingin meminta bantuan daripada kerajaan senang sahaja, mereka perlu mendaftar dengan kerajaan dan kita akan berikan bantuan," ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Dato' Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas). Ibrahim sebelum itu mempertikaikan tahap keprihatinan kerajaan terhadap pembinaan sekolah agama berasrama penuh dan SAR yang berselerak. "Sekolah-sekolah ini memerlukan perbelanjaan yang banyak, tetapi bantuan tidak diberi, cakap sahaja," tegasnya.
Sementara itu, Dato' Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) pula mendakwa pihak menteri tidak memberikan maklumat yang sepenuhnya berhubung isu peruntukan SAR ini. "Mereka tidak menceritakan apakah sebenarnya faktor yang tersembunyi menyebabkan sekolah agama rakyat ini tidak mahu mendaftar. "Ia adalah kerana mereka mahu mengawal perjalanan kurikulum sekolah terbabit dan guru-gurunya dipaksa untuk menyokong Umno-BN," ujarnya di luar dewan. Tegasnya, apabila ini berlaku seluruh sistem pendidikan agama sudah berjaya dipolitikkan yang akhirnya akan merosakkan pembinaan akhlak generasi muda. Mengulas isu yang sama, Mohd Yusmadi Mohd Yussof(KeADILan-Balik Pulau) pula melihat wujudnya ketempangan dalam penjanaan modal insan yang diagung-agungkan Perdana Menteri. "Ia menunjukkan bahwa agenda modal insan itu kabur kerana sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah agama merupakan salah satu pendekatan yang amat berkesan," ujarnya.
Katanya, sejak dasar Islam Hadahari diperkenalkan, rakyat melihat natijah yang sebaliknya berlaku tidak seperti apa yang tersurat pada perancangannya. "Saya mempertikaikan asas falsafah dan aspek pelaksanaan kerana apa yang ditimbulkan contohnya aspek pendaftaran yang lebih kepada birokrasi. "Dasar yang diamalkan itu menunjukkan penekanan ke arah pengawalan yang lebih bermotif politik dan ia menjadi faktor kegagalan Islam Hadhari yang tidak ikhlas bagi memastikan Islam diterjemahkan sebagai agama rasmi negara ini," katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan