Followers

Khamis, 15 Mei 2008

Riuhkan Parlimen macam pasar-Azmin

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - "Parlimen riuh seperti pasar kerana ada pengerusi pasar dari Rembau," celah Azmin Ali (KeADILan-Gombak) ketika bangun mengemukakan soalannya yang keenam kepada dewan. Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) terus bangun dan dengan lantang meminta Gombak menarik balik apa yang dimaksudkannya. "Kenapa kaitkan saya dengan pengerusi pasar," tegas Khairy. Keriuhan dewan ketika sesi soal jawab tadi memaksa Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee mengetuk meja tiga kali bagi menenangkan beberapa ahli parlimen yang bangun mencelah. Suasana riuh itu timbul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Amirsham A Aziz yang dilihat membaca jawapan bagi soalan tambahan yang dikemukakan oleh Khairy. Ekoran itu, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mencelah dan mempertikaikan jawapan oleh menteri terbabit yang dilihat seolah-olah soalan yang dikemukakan oleh Rembau dan jawapan menteri itu dirancang dan berpakat. "Oo...baca jawapan, dah ada teks jawapan...soalan tambahan", kedengaran celahan beberapa wakil dari Pakatan Rakyat apabila melihat menteri berkenaan membacakan jawapan. Bagaimanapun, menteri berkenaan tidak mengendahkan celahan dari wakil Pakatan Rakyat dan terus membacakan jawapan itu menyebabkan suasana bertambah riuh. Selepas itu, Dato Seri Abdul Ghafur Salleh bangun dan meminta semua ahli parlimen bertenang. "Ini bukan pasar, ini dalam dewan yang mulia.. malu laa..kita sedang bersiaran langsung ni,"celah Abdul Ghafur. Terdahulu, Khairy dalam soalan tambahan turut membidas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng yang dikatakan mahu menghapuskan DEB di negeri itu. "Ini kerana bagi beliau DEB adalah korupsi dan kronisme, saya nak tanya YB menteri adakah adil YB Bagan membuat rumusan itu seolah-olah rakyat yang mendapat faedah daripada DEB yang miskin dan berjuta pelajar dan golongan profesional termasuk YB menteri sendiri menjadi produk DEB sehingga menjadi ketua pengawai Eksekutif, seolah-olah kita ini kroni dan kaki rasuah," kata Khairy. Soalan asalnya, Khairy meminta perdana menteri menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk mengubah polisi yang telah digubal berlandaskan semangat DEB terutamanya yang menolong kaum bumiputera sejajar dengan desakan pembangkang untuk menolak dasar ini

Tiada ulasan: