PERLEMBAGAAN PAS fasal 9(2) mensyaratkan bahawa untuk menjadi ahli PAS seseorang itu mestilah beragama Islam. Syarat seumpama ini tidak terdapat dalam perlembagaan mana-mana parti di Malaysia melainkan PAS, lantas menyerlahkan kesungguhan dan keunggulan asas perjuangan parti ini. Namun ini tidak bermakna PAS meminggirkan hakikat kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini. Malah dalam Perlembagaan PAS juga menggariskan bahawa salah satu usaha perjuangannya adalah: Melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum dalam negara ini" (fasal 6(9)). Terbukti melalui pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai PAS nasib dan kebajikan masyarakat bukan Melayu tidak pernah dipinggirkan. Oleh kerana peruntukkan fasal 9 itu maka sudah pastilah pergantungan PAS bagi membentuk kekuatan partinya adalah pada masyarakat Islam di Malaysia. Dan sudah tentulah kelompok ini berpusat dikalangan orang-orang Melayu. Dan kebetulan Perlembagaan Persekutuan Perkara 160 (2) menetapkan bahawa salah satu syarat orang-orang Melayu itu menurut undang-undang adalah mereka yang menganuti agama Islam. Kerana itu gerakan PAS bermula sejak tahun 50-an dan kini terus bertunjang di kawasan-kawasan tumpuan orang-orang Melayu khasnya di negeri-negeri "bengkung Melayu" atau "Malay belt" di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah serta kawasan-kawasan tertentu di negeri-negeri lain. Di sinilah PAS bertarung secara tradisinya dengan Umno yang turut berusaha untuk mendapatkan sokongan orang-orang Melayu. Lantas apabila membicarakan isu Melayu, sama ada "Ketuanan Melayu", "Hak Istimewa Orang-orang Melayu", Bumiputera, bahasa dan lain-lain, suka ataupun tidak PAS perlu terbabit sama dan menetukan pendirian. Ringkasnya, kuasa politik Melayu setelah 50 tahun Merdeka kini pada orang-orang Melayu, berlegar di antara PAS atau Umno. Kerana itu pasca "tsunami politik 2008" ini, menunjukkan yang orang-orang Melayu sudah mula berani mengalih selera. Jika dahulu Umnolah satu-satunya sahaja tempat berteduh dan bernaung orang-orang Melayu, walaupun PAS sebenarnya tidak jauh beza usianya dengan parti itu, kini mereka sudah mula berani untuk berubah. Di awal kemerdekaan Umno dilihat atas beberapa sebab lebih meyakinkan bagi orang-orang Melayu, pimpinan Umno lebih terpelajar, lebih menonjol peranannya dalam masyarakat dan yang paling kritikal lebih disenangi dan disayangi kuasa penajajh Barat.
Kerana itu Umno terus mendapat tempat di hati orang-orang Melayu kecuali beberapa kerat yang tidak bersetuju. Bagi yang tidak bersetuju ini, mereka lebih mementingkan "substance" atau isinya, pemimpin Melayu mestilah berakhlak, berilmu dan bertaqwa, tidak cukup sekadar berpelajaran atau berketerampilan, tetapi kosong jiwanya.
Kini setelah 12 kali kita berpilihan raya rupa-rupanya kriteria golongan beberapa kerat ini sudah mula diterima oleh masyarakat Melayu. Negara semakin maju dan kini bersaing dengan dunia, jika agama dan bangsa ini mahu dipandang mulia, pemimpinnya juga mesti mulia. Kukuh bertahannya kerajaan Kelantan di bawah PAS sejak 1990 (dan sepenggal kerajaan Terengganu 1999-2004) telah membuka mata orang-orang Melayu, malah rakyat Malaysia terhadap "style" dan jenis kualiti kepimpinan yang dibawa oleh PAS. Yang penting sekarang ini adalah menampilkan pemimpin-pemimpin Melayu yang berkualiti dan antara kualiti yang terpenting adalah bersih dan tidak rasuah serta tinggi nilai moralnya.
Siapakah lagi yang menepati syarat-syarat ini jika tidak di kalangan pimpinan PAS? Atas dasar itu, PAS menawarkan kepada orang-orang Melayu suatu pilihan, yang pastinya tidak akan merugikan mereka malah telah terbukti di Kelantan dan Terengganu sebelum ini. Memang pimpinan PAS bukannya malaikat, tetapi dari segi perbandingannya mereka telah berjaya membentuk suatu disiplin kepimpinan yang jauh lebih baik daripada Umno.Inilah yang diperlukan oleh orang-orang Melayu dalam menerajui negara, agama dan bangsa bagi tahun-tahun berikutnya. Tsunami politik 2008 telah menunjukkan bahawa orang-orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya, mahukan yang baik bagi negaranya, kerana itu langkah seterusnya bagi orang-orang Melayu adalah beralih bahtera perjuangan, Umno telah cuba dan ternyata gagal selama 50 tahun, kini giliran PAS pula untuk membuktikan.
Bersamalah kita menaiki bahtera yang satu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan