TERKEJUT juga apabila apabila pelakon jelita yang sensasi, Fasha Sandha membuat pengakuan berani mati iaitu dia teringin untuk menjadi Zaleha dalam filem Perempuan, Isteri dan ... Apa maksud Fasha? Tidak cukupkah segala kontroversi yang tercetus sebelum ini sehingga Fasha sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu. Mungkin perkataan perempuan dan isteri itu masih boleh diterima tetapi, bagaimana pula dengan yang dot dot dot itu sedangkan ramai sedia maklum bahawa perkataan itu membawa maksud Jalang seperti tajuk asal filem arahan U-Wei Shaari lakonan Nasir Bilal Khan dan Sofea Jane. Bagaimanapun sebaik saja Fasha menerangkan maksud sebenarnya, barulah jelas apa yang diinginkan pelakon itu. "Saya memang teringin memegang watak seperti Sofea Jane dalam filem Perempuan, Isteri dan .... Walaupun filem itu mengundang kontroversi, saya tidak kisah asalkan saya boleh belajar pelbagai watak. Bagi saya watak Zaleha yang dilakonkan Sofea memang mengesankan. "Saya boleh menonton filem itu berulang kali sedangkan orang di sekeliling saya merungut dengan tindakan itu. Mungkin kerana filem itu memaparkan kehidupan realiti menyebabkan saya menyukainya. "Dan, andai kata ada watak seperti itu ditawarkan, saya sanggup menerimanya walaupun bayarannya mungkin tidaklah sebesar mana. Malah saya juga sanggup memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap filem itu walaupun penggambarannya mengambil masa yang agak lama kerana inilah peluang saya untuk membuktikan yang saya juga mampu membawakan watak seperti itu. "Saya tidak kisah soal bayaran kerana ada kerja yang kita lakukan kerana wang dan ada juga kerana kepuasan," kata Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha ini ketika ditemui pada majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran penggambaran drama bersiri 13 episod Jangan Main Belakang terbitan MIG Beats. Drama arahan Feroz Khan ini bakal disiarkan di saluran Astro Ria mulai Jun depan. Mengulas pembabitannya dalam drama itu, pemenang anugerah pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 ini berkata kepuasan yang diperolehnya menerusi drama membuatkan dia begitu tertarik untuk menerima watak model bernama Kiska. "Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memang menggemari sesuatu yang bersifat realiti dan drama ini juga banyak menyingkap kisah kehidupan masyarakat hari ini. “Paling penting, karakter filem ini juga ada kena mengena dengan kehidupan saya walaupun bukan semua. Tidak dinafikan, dalam kehidupan sebenar, saya sering menjadi mangsa 'ditikam dari belakang'. “Dan pengalaman itu saya sudah lalui sejak zaman persekolahan lagi. Sehingga sekarang pun saya masih melalui pengalaman yang serupa," dedah Fasha digandingkan bersama pelakon seksi Jue Aziz dan Anne Ngasri dalam drama komedi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan