Followers

Isnin, 31 Mac 2008

SESI BALAS DENDAM BERMULA .. JAGA KAU...

Banyak pihak menjangkakan Menteri Besar Terengganu yang baru, Dato' Ahmad Said tidak akan melantik Dato' Rosol Wahid sebagai salah seorang Exco dalam kabinet negeri pimpinannya. Meski pun sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Rosol dianggap orang kanan dalam parti dan perlu diutamakan dalam pemilihan anggota Exco, perkiraan lain mungkin diambil Ahmad dalam pelantikan itu nanti.Dari sudut pengalaman pula, Rosol telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil selama tiga penggal bermula 1999. Beliau juga bekas Exco kerajaan negeri penggal lalu dan pernah memegang beberapa portfolio penting. Bagaimana pun, Rosol juga adalah ketua kepada kumpulan 23 Adun BN Terengganu yang menentang keras pelantikan Ahmad ke jawatan Menteri Besar minggu lalu. Dalam banyak hal, Rosol turut menjadi jurucakap kepada kumpulan Adun-Adun tersebut. Antara penegasan yang pernah disebut Rosol ialah untuk mengambil tindakan disiplin atau memecat Ahmad daripada keahlian Umno, sekiranya beliau terus berdegil mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Sebab itu rakyat Terengganu tidak akan terkejut atau terasa hati jika Ahmad memilih untuk tidak melantik Rosol dalam kabinetnya. Itu bukan semata-mata soal dendam, tetapi lebih berkait dengan soal maruah diri, sama ada Ahmad atau Rosol sendiri. Mungkin Ahmad sendiri begitu mudah dapat melupakan pengkhianatan dan kebiadapan Rosol terhadapnya yang memuncak minggu lalu. Beliau sendiri telah membuat pengakuan terbuka bahawa telah memaafkan rakan-rakannya itu. Namun, Ahmad wajar mengambikira perasaan dan pendirian para penyokongnya di luar sana. Tidak semua mereka sebegitu mudah dapat memaafkan 22 Adun tersebut, terutama Rosol. Apatah lagi, kemelut pelantikan beliau yang bermula dua minggu lalu bukan sahaja menyaksikan penentangan terbuka oleh rakan-rakannya itu, bahkan turut membabitkan usaha mencemarkan imej dan wibawa beliau sebagai seorang pemimpin. Dikatakan laporan tentang salah guna kuasa dan penyelewengan telah dibuat pihak tertentu terhadap Ahmad. Mengambilkira masa laporan itu didedahkan, ada kemungkinan besar ia turut didalangi usaha kumpulan 22 Adun tadi menafikan beliau daripada jawatan Menteri Besar itu. Pihak Badan Pencegah Rasuah telah mengesahkan menerima laporan tersebut. Walau pun tidak menamakan siapakah ahli politik dan bekas anggota Exco Terengganu yang dimaksudkan dalam laporan itu, umum sudah dapat mengagak bahawa orang itu ialah Ahmad. Difahamkan antara projek yang dikaitkan dengan ahli politik itu ialah projek menambun tanah jalan masuk ke Bandar Baru Kijal (Pejabat Daerah Kemaman) Fasa 1 bernilai RM2 juta; projek menambun tanah jalan masuk ke Bandar Baru Kijal (Pejabat Daerah Kemaman) Fasa 2 bernilai RM1.6 juta dan projek menambun tanah tapak kedai Bandar Baru Kijal di bawah Majlis Perbandaran Kemaman. Pemimpin sama juga dikatakan masih disiasat kerana disyaki terbabit rasuah dalam kelulusan tiga projek lain sebelum ini iaitu projek pembinaan Dewan Besar Seri Amar, Cukai bernilai RM13.7 juta yang kemudian nilai meningkat kepada RM19 juta; pembinaan mercu tanda bandar Cukai RM2 juta (meningkat kepada RM3.8 juta) dan pemberian lesen arak dan judi. Apakah setelah Ahmad disahkan sebagai Menteri Besar, laporan itu akan ditarik balik dan siasatan itu akan dihentikan? Jika pun itu yang akan berlaku, kerosakan imejnya telah pun dilakukan. Orang paling wajar dipertanggungjawabkan atas kerosakan itu ialah Rosol sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri. Selain itu, besar kemungkinan selepas ini Ahmad juga akan dinaikkan pangkat dalam hierarki partinya. Menurut amalan biasa dalam Umno, seseorang Menteri Besar akan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Sebagai pengerusi, Ahmad ada hak dan kuasa melantik barisan kepimpinan negeri yang sealiran dan sefahaman dengannya. Tindakan pertama dan utama bagi Ahmad ialah mencari seorang setiausaha yang benar-benar berwibawa dan dapat membantu beliau memulihkan keadaan pergolakan dalaman Umno Terengganu. Mengambilkira apa yang telah dilalui Ahmad sebelum ini, Rosol adalah orang yang paling tidak sesuai dan tidak secocok untuk terus memegang jawatan tersebut. Maka kini giliran Ahmad pula memecat Rosol daripada jawatan itu, setelah Rosol beriya-iya benar memecat Ahmad daripada parti minggu lalu. Besar kemungkinan selepas ini Rosol akan kembali menjadi wakil rakyat biasa, tidak lagi seorang Exco. Ia juga akan menjadi ahli biasa Umno, bukan lagi setiausaha negeri.

Tiada ulasan: