Followers

Isnin, 31 Mac 2008

Permainan Sudah Berakhir ??

Mat Zain Mat Isa
Ada benarnya kata orang bahawa cakap-cakap para pemimpin Barisan Nasional, terutamanya pemimpin Umno amat sedikit yang boleh dipakai. Sikap dan pendirian mereka yang berubah-ubah dalam sekelip mata, dolak-dalih mereka beserta kenyataan mereka yang mengeliru dan membohongi rakyat sudah acapkali terdedah ke pengetahuan umum. Paling tidak dapat dilupakan ialah bagaimana seorang Perdana Menteri boleh bercakap memberi jaminan bahawa tidak akan ada pembubaran Parlimen dalam masa terdekat. Cakapnya itu disiarkan semua media, termasuk media cetak keesokan harinya. Belum pun sempat semua rakyat Malaysia habis membaca penafian Perdana Menteri itu di dada akhbar, berita terkini media elektronik di hari sama mengisytiharkan Parlimen Malaysia telah dibubarkan. Tidakkah itu satu pembohongan besar? Jangan lupa Perdana Menteri sama juga mengisytiharkan dalam ucapan belanjawan di Parlimen bahawa yuran persekolahan dihapuskan. Bagaikan nak pecah meja Dewan Rakyat ditepuk para Ahli Parlimen BN yang menyambut pengumuman itu. Namun, apa sebenarnya yang berlaku amat memalu dan membangkitkan kemarahan segenap lapisan masyarakat. Pengumuman itu bukan sahaja membohongi Dewan Rakyat, malah mempermainkan perasaan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Mudah cakapnya, kata orang Kelantan, cakap-cakap pemimpin Umno ini ?tidak boleh dipegang buku? langsung. Kenyataan-kenyataan pedas dan tegas beberapa pemimpin Umno Terengganu dalam kemelut pelantikan Menteri Besar negeri itu minggu lalu juga tidak kurang mempamerkan hakikat sama.
Meski pun orang utama dalam pergeseran itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said dan Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, kedua-dua mereka memilih untuk tidak banyak bercakap. Media sebaliknya lebih banyak memaparkan kenyataan lantang 22 Adun BN lain yang kononnya menentang keras pelantikan Ahmad sebagaimana diisytiharkan pihak istana Terengganu. Jurucakap kepada kumpulan Adun-Adun BN ini ialah Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid. Beliau yang juga Adun Ajil dalam beberapa kenyataannya yang membantah pelantikan Ahmad minggu lalu membayangkan tidak akan ada kompromi dalam apa yang telah mereka putuskan. Kesemua 22 Adun itu akan tetap berdiri teguh di belakang Idris dan tidak akan sekali-kali menerima mana-mana calon lain selain Idris sebagai Menteri Besar. Mereka juga, kata Rosol, akan memulaukan majlis angkat sumpah Ahmad sebagai Menteri Besar. Mereka akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad. Bahkan, ada di kalangan mereka, kata Rosol, akan meletakkan jawatan sebagai Adun jika Ahmad dilantik juga ke jawatan itu. Kata Rosol, "mana-mana calon selain Idris, kami tidak akan terima. Malah ada di kalangan kami yang sanggup meletak jawatan jika beliau tidak dipilih. Oleh itu, bersedialah untuk menghadapi pilihan raya sekali lagi." Banyak lagi kenyataan pedas dan berapi dihamburkan Rosol terhadap Ahmad, termasuk mengugut akan memecat Ahmad daripada keahlian Umno (macam dia pula jadi Pengerusi Lembaga Disiplin Umno?). Genap seminggu selepas itu, Rosol secara tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang betul-betul berlainan. Tidak ada lagi nada bengis dan garangnya. Cakapnya yang boros itu juga sudah tidak secelupar sebelum ini. Rosol sebaliknya mendakwa segala kenyataan dibuatnya minggu lalu adalah semata-mata kerana mematuhi arahan Presiden Umno. "Kita terima keputusan ini (Ahmad sebagai Menteri Besar) dan apa yang berlaku sebelum ini juga adalah di atas arahan Presiden parti," kata Rosol, sebagaimana disiarkan akhbar harian, semalam (Sabtu). Itulah gambaran sifat muka tebal para pemimpin Umno. Mereka tergamak menjilat bukan sahaja muntah mereka sendiri, malah sesuatu yang telah mereka anggap sebagai najis dan patut dibuang. Sekelip mata mereka cuba melupakan apa yang pernah mereka ikrar dan jamin. Media elektronik malam tadi (Sabtu) malah menyiarkan jurucakap 22 Adun BN Terengganu itu mengubah nada percakapannya. "Ia ibarat carik-carik bulu ayam, ia akan bertangkup semula," kata Rosol, cuba menggambarkan suasana pergeseran di kalangan Adun-Adun BN Terengganu kini. Pendirian diambil Rosol dan Adun-Adun BN lain untuk menebal muka terhadap apa yang baru mereka ikrarkan minggu lalu itu sesuatu yang wajar diberikan pujian. Bagaimana pun sikap mereka yang boleh berubah sekelip mata itu tidak hanya dihuraikan sebagai "carik-carik bulu ayam", sebaliknya lebih tepat jika diumpamakan mereka itu sebagai "hangat-hangat tahi ayam."
Ketika kemarahan memuncak, bukit pun hendak dicangkul. Bila sudah reda, pusu pun tidak berdaya diratakan. Mereka itu ibarat orang yang tidak ada prinsip atau pegangan diri. Hari ini berkata begini, esoknya serta-merta boleh bertukar sebaliknya. Dalam keadaan sebegini, rakyat mungkin tertanya-tanya mana satukah kenyataan, jaminan atau janji para pemimpin BN yang boleh dipegang atau dipercayai? Jangan-jangan semuanya bohong dan tipu belaka kot?

Tiada ulasan: