Oleh G.MANIMARAN
DI sebalik tumpuan ke arah pembentukan kerajaan negeri termasuk negeri-negeri yang telah pun jatuh ke tangan pembangkang, barisan Kabinet Persekutuan yang bakal dibentuk juga menarik perhatian banyak pihak sekarang.
MENTERI TEWAS ATAU ENGGAN DILANTIK SEMULA·
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Datuk Seri Ong Ka Ting (menang, enggan terima jawatan Kabinet)·
Menteri Kerja Raya: Datuk Seri S. Samy Vellu (tewas)·
Menteri Pengangkutan: Chan Kong Choy (berundur)·
Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (tewas)·
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah: Datuk Abdul Aziz Shamsuddin (tewas)·
Menteri Kesihatan: Datuk Chua Soi Lek (berundur sebelum pilihan raya)· Menteri di Jabatan Perdana Menteri: Datuk Seri Dr. Mohd Effendi Norwawi (berundur)·
Menteri Penerangan: Datuk Zainuddin Maidin (tewas)·
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi: Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik (bersara).
Siapa yang bakal menjadi pilihan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya umum pada Sabtu lalu.Soal pembentukan Kabinet dan keanggotaan menjadi perhatian selepas parti-parti komponen kehilangan banyak kerusi Parlimen di samping kekalahan beberapa menteri barisan penggal lalu.Antara parti komponen Barisan Nasional (BN), yang hanya memenangi 140 daripada 222 kerusi Parlimen, UMNO, MCA, MIC dan Gerakan serta Parti Progresif Penduduk (PPP) berhadapan dengan kehilangan banyak kerusi kali ini berbanding parti komponen di Sabah dan Sarawak.Anggota anggota Jemaah Menteri yang tewas ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, yang merupakan antara menteri yang paling lama berkhidmat.Turut tewas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Timbalan beliau, Datuk G. Palanivel dan Setiausaha Parlimen kementerian itu, Datin Paduka Chew Mei Fun turut tewas. Ia satu-satunya kementerian yang kehilangan kesemua tiga orang kanan.Palanivel merupakan Timbalan Presiden MIC. Salah seorang naib presiden parti itu, Datuk S. Sothinathan juga tewas. Beliau merupakan Timbalan Menteri Asli dan Alam Sekitar. MIC juga kehilangan kerusi Parlimen yang ditandingi oleh Ketua Pemuda, S. Vigneswaran dan Ketua Wanita, Datin Paduka Komala Devi di mana masing-masing Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, dan Kementerian Pelajaran.MIC kehilangan enam daripada sembilan kerusi Parlimen ditandingi. Keenam mereka merupakan anggota Jemaah Menteri sama ada menteri, timbalan menteri ataupun setiausaha parlimen.Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr. S. Subramaniam yang memegang jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan dalam Kabinet lalu berjaya mengekalkan kerusinya di bahagian Segamat.Daripada sembilan ahli Parlimen dalam penggal lalu tujuh orang mempunyai portfolio dalam Kabinet.Semalam, Abdullah menegaskan, beliau akan membentuk Kabinet yang terdiri daripada “mereka yang boleh bekerja” untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat. MCA yang merupakan satu lagi parti komponen utama BN pula hanya memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen ditandingi.Parti itu kehilangan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang disandang oleh Datuk Tan Chai Ho, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Datuk Fu Ah Kiow yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 2004 gagal mempertahankan kerusi Kuantan, Pahang, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada akan kembali ke Jemaah Menteri.UMNO juga menghadapai nasib yang sama tetapi tidak akan menghadapi masalah untuk mengisi kekosongan yang wujud.Selain Shahrizat, turut tewas ialah Datuk Abdul Aziz Shamsudin yang bertanding di kerusi Shah Alam dan Datuk Zainudin Maidin di Sungai Petani. Kedua-dua pemimpin ini merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dan Menteri Penerangan.Meskipun UMNO memenangi banyak kerusi Parlimen ditandingi tetapi tiga wakilnya yang bertaraf menteri hilang kerusi masing-masing.Di sebalik kekalahan mereka, Perdana Menteri juga boleh menarik nafas kerana Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang sebelum ini merupakan menteri bertaraf Senator, menang di bahagian Parlimen Tasek Gelugor. Oleh itu, sudah tentu beliau berpeluang cerah untuk kekal di Kabinet, sekali gus memberi laluan kepada mereka yang lain sama ada yang tewas ataupun tidak bertanding untuk dilantik sebagai Senator dan menduduki Kabinet.Nor Mohamed merupakan antara dua anggota Kabinet yang memenangi kerusi Parlimen di Pulau Pinang. Seorang lagi ialah Perdana Menteri sendiri.MCA kesemuanya mempunyai 16 anggota dalam Jemaah Menteri dalam pelbagai peringkat. Tetapi parti itu hanya memenangi 15 kerusi Parlimen kali ini.Dua pemimpinnya, Timbalan Presiden Datuk Seri Chan Kong Choy (Menteri Pengangkutan) tidak bertanding semula manakala Naib Presiden Datuk Dr. Chua Soi Lek (Menteri Kesihatan) berundur kerana masalah peribadi tiga bulan sebelum pilihan raya.Semalam Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengumumkan beliau tidak akan menerima jawatan Kabinet kali ini.Seiring dengan pendirian Ka Ting, Gerakan yang menerima kekalahan teruk dalam pilihan raya umum Sabtu lalu tidak akan meminta sebarang jawatan dalam Kabinet.Gerakan hanya menang dua kerusi Parlimen iaitu Gerik dan Simpang Renggam daripada 12 kerusi Parlimen yang ditandingi.Semua pemimpin utama, termasuk Pemangku Presiden, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sendiri tewas, meninggalkan hanya Ketua Wanita Datuk Tan Lian Hoe sebagai pemimpin yang menang kerusi Parlimen. Kerusi Simpang Renggam dimenangi muka baru, yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.Tsu Koon yang beralih ke peringkat persekutuan dengan mencuba nasib di bahagian Batu Kawan tewas mengejut. Turut mengalami nasib yang sama ialah salah seorang timbalan Zainuddin, Datuk Seri Chia Kwang Chye yang bertanding di Bukit Bendera. Beliau juga merupakan Setiausaha Agung Gerakan.Kesukaran bagi Abdullah bertambah dengan kedudukan Datuk M. Kayveas yang gagal mempertahankan kerusi Taiping.Kayveas yang pernah dilantik sebagai senator sama seperti kedudukan Zainuddin, kemungkinan tidak boleh kekal dalam Kabinet atas status yang sama memandangkan Perlembagaan hanya membenarkan dua penggal selama enam tahun.Kayveas merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Kabinet lalu.Sabah dan Sarawak yang dilihat sebagai penyumbang besar kepada BN menang majoriti mudah kali ini iaitu 54 daripada 56 kerusi Parlimen – juga dijangka akan mengharapkan peruntukan kerusi yang agak ‘lumayan’.Apabila Abdullah mengumumkan barisan Kabinet susulan pilihan raya umum 2004 pembangkang menyifatkan ia sebagai terlalu besar berbanding jumlah penduduk negara ini.Apakah Perdana Menteri akan mengkaji semula saiz Kabinet dengan mengambil kira bilangan anggota Jemaah Menteri yang ‘gugur’ dalam gelanggang pilihan raya Sabtu lalu.Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melantik anggota Kabinet yang tewas ataupun tidak bertanding di bawah status Senator. Berdasarkan maklumat semasa laman web Parlimen masih ada lima kekosongan (yang boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong) di Dewan Negara.Kemungkinan beliau akan menggunakan peruntukan tersebut untuk memberi ruang kepada parti-parti yang kehilangan kerusi Parlimen dalam jumlah yang besar untuk menduduki Kabinet dan mewakili suara komuniti masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan