Followers

Isnin, 18 Februari 2008

Pas mahu PKR tanding di Rembau

KOTA BHARU: Pas akan memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di Parlimen Rembau pada pilihan raya umum 8 Mac depan jika Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bertanding di situ. Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata Pas sedia memberi laluan kepada calon PKR, iaitu Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin, 30, yang menyuarakan hasrat menentang Khairy. "Badrul Hisham datang ke sini untuk memohon restu daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat tempat bertanding kerusi itu. "Perkara ini sudah dibincangkan Pas untuk memberi laluan kepada beliau membawa misi besar menentang Naib Ketua Pemuda Umno itu yang dilihat umur sama padan dan semangat sama kental. "Malah, Pas sedia memberi tempat kepadanya di mana-mana kerusi yang bakal mencalonkan Khairy tetapi ketika ini Khairy dijangka bertanding di Rembau. Dalam pembahagian kerusi, Rembau milik Pas," katanya selepas pertemuan dengan Badrul Hisham di sini, semalam. Husam berkata, Pas akan memberi satu kerusi Parlimen kepada Parti Mahasiswa Negara yang mahu bertanding pada pilihan raya kali ini selepas menerima permohonan parti itu minggu lalu. "Pas tidak akan meletakkan calon, sebaliknya mereka menentukan sendiri calon dan akan bertanding atas tiket Parti Mahasiswa Negara, bukan tiket parti lain. "Saya berharap kerajaan boleh luluskan segera permohonan penubuhan Parti Mahasiswa Negara sebagai bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengamalkan sikap keterbukaan," katanya. Katanya, PKR bakal bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi DUN di Kelantan pada pilihan raya kali ini.

Tiada ulasan: