Followers

Isnin, 18 Februari 2008

Abdul Hadi kekal tanding di Terengganu

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan bertanding Parlimen Kepala Batas untuk menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Abdul Hadi yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lalu, sebaliknya akan kekal bertanding di Terengganu.Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, berkata Pas sudah membuat keputusan meletakkan seorang calon yang ‘hebat’ bagi menghadapi Abdullah. “Beliau seorang calon tempatan, orangnya hebat... tunggulah pengumuman nanti,” katanya pada sidang media, di sini semalam. Pada 2004, Abdul Hadi kalah di Marang kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Bakar yang menang majoriti 163 undi. Bagaimanapun, Abdul Hadi mengekalkan DUN Rhu Rendang menewaskan Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid dengan 1,435 undi majoriti. Sebelum ini, Abdul Hadi menyatakan kesediaannya bertanding di Parlimen Kepala Batas jika diarahkan dan mendapat restu Majlis Syura Ulama parti itu. Calon Pas, Abdul Khalid Rasid yang pernah dua kali bertanding menentang Abdullah pada 1999 dan 2004 sudah mengangkat kedua-dua tangan untuk tidak lagi menentang Perdana Menteri pada pilihan raya umum kali ini.

Tiada ulasan: