Followers

Selasa, 19 Februari 2008

Nurul Izzah sedia jadi calon PKR.... NISA ????

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyatakan kesediaan untuk bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 bulan depan. Beliau berkata, terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menerima dan menentukan kawasan yang bakal ditandinginya. “Saya sudah bersedia untuk bertanding, tetapi kawasan mana, saya belum tahu. Terserah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran dokumen “Harapan Anak Muda Malaysia” di Ibu pejabat Pas Wilayah Persekutuan, di sini. Dipercayai ini adalah kenyataan terbuka pertama daripada Nurul Izzah, 27, yang bersedia untuk menjadi wakil rakyat dengan bertanding buat pertama kali pada pilihan raya umum ini. Kenyataan itu bercanggah dengan ucapan Penasihat PKR yang juga bapanya, Anwar ketika berceramah di Taman Ekar, Rantau, Rembau, Jumaat lalu bahawa Nurul Izzah tidak dicalonkan kerana belum bersedia. Nurul Izzah yang tidak memegang sebarang jawatan dalam PKR, berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan siapa saja calon yang diletakkan di kawasan yang bakal ditandinginya. Beliau menafikan kemungkinan pengaruh bapanya akan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat jika beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen. “Saya mempunyai pemikiran sendiri dan saya tidak fikir saya akan menjadi alat kepada mana-mana pihak. Saya berharap masyarakat meletakkan kepercayaan pada diri saya, pendirian serta pegangan saya terhadap apa-apa isu,” katanya. Sementara itu, Bernama melaporkan, ibu Nurul Izzah, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR ketika dihubungi mengakui anak sulungnya itu daripada enam adik beradik, berminat untuk menceburi politik dan aktif bersama PKR serta mendapat restunya.

Tiada ulasan: