Followers

Isnin, 3 Disember 2007

Pak Ali Cetus Propaganda Perkauman ???

AYER KEROH, 2 Dis - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberi amaran keras kepada pemimpin Hindi Rights Action (Hindraf) supaya tidak menjadi petualang kepada negara dengan menabur fitnah kononnya kerajaan Malaysia menghapuskan etnik india. Sambil menyifatkan sebagai satu tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab, Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, sebagai tindak balas tindakan itu, kerajaan wajar melucutkan kerakyatan mereka. Katanya, tidak ada guna mereka menjadi rakyat negara ini jika bersikap menderhaka kepada tanah air dengan memburuk-burukkan kerajaan kepada pihak luar. Beliau berkata, tindakan mereka membuat aduan kepada pihak luar termasuk mahkamah dunia dan mahkamah jenayah antarabangsa bagi jenayah terhadap kaum minoriti India sebagai satu penipuan dan fitnah. "Mereka ini patut diambil tindakan melucutkan hak kerakyatan mereka kerana mereka ini menderhaka dan menjadi petualang kepada negara. Biarlah mereka pergi ke mana negara yang mereka suka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Wanita Peringkat Negeri di Hotel Lecgay di sini, hari ini. Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Hindraf sebagai melampau kerana mendakwa Kerajaan Malaysia melakukan pembersihan etnik dan menyifatkan perbuatan itu pembohongan amat jahat. Katanya, tindakan Hindraf itu bertujuan mencetuskan perbalahan antara kaum dengan cubaan memperdayakan majoriti masyarakat India yang tidak bersalah, kononnya selama ini mereka ditekan dan ditindas. Ketua Menteri berkata, pemimpin Hindraf perlu buktikan jika benar Kerajaan Malaysia atau UMNO menindaskan kaum india di negara ini. Beliau berkata, tidak pernah dalam sejarah negara selepas 50 tahun Merdeka, mana-mana kaum ditindas, sebaliknya mereka diberi peluang sama rata dalam semua bidang. "jika diteliti, peratus orang Melayu lebih tinggi berbanding kaum India, namun kita tidak pernah mempersoalkannya kerana semua rakyat dilayan sama rata. Inilah dasarkan Kerajaan Malaysia dan bukan seperti yang mereka dakwa," katanya. Mengenai ada usaha pemimpin itu mengadu kepada pihak luar Ketua Menteri berkata, beliau akan menentang habis-habisan. "Negara lain jangan campur tangan urusan di negara ini. Jika ini berlaku, saya orang pertama akan mendedahkan keburukan negara berkenaan. Ini adalah soal dalaman dan kita tidak perlu pihak luar campur tangan," katanya.

Tiada ulasan: