Followers

Selasa, 30 Oktober 2007

SPR dah bersedia jika PRU 12 November Ini..

Kamarulzaman Pid
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersedia mengendalikan pilihan raya umum ke-12 jika ia diadakan pada November ini."Saya sudah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bulan lalu dan menyatakan kesediaan SPR menganjurkan pilihan raya bila-bila masa November ini."Perdana Menteri nampak gembira apabila mendapat tahu kita sudah bersedia menghadapi pilihan raya," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.Beliau berkata, dakwat khas yang akan digunakan buat pertama kali dalam pilihan raya umum negara ini juga sudah dibeli dan dihantar ke seluruh negara bersama peralatan lain secara berperingkat.
"Kita juga akan mula menggunakan dakwat khas untuk mengecap ibu jari pengundi ketika proses pilihan raya, semua sudah dibeli.Dari aspek kelengkapan, sudah hampir 100 peratus siap," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri SPR 2007 di sini, semalam.Hadir sama, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor.Pada pilihan raya umum akan datang, seramai 10,516,256 pengundi yang mendaftar dengan SPR layak mengundi.Abdul Rashid berkata, SPR akan mengeluarkan garis panduan mengenai pemasangan poster, kain rentang dan bendera parti yang perlu dipatuhi semua parti politik bertanding pada pilihan raya umum akan datang.Ketika diminta menjelaskan peraturan itu, Abdul Rashid memberi alasan pihaknya mahukan pilihan raya umum akan datang dijalankan dalam suasana lebih berdisiplin dan aman."Selepas pilihan raya kecil di Pengkalan Pasir (Kelantan) dulu, saya melihat keadaan poster yang tidak terkawal, jadi kita nak kurangkan masalah perang poster ini."Kemudian kita mengkaji dengan mendalam, dan kita berbincang juga dengan parti politik dan rata-rata dipersetujui bahawa harus ada satu bentuk kawalan untuk menggunakan poster dalam dalam pilihan raya umum ini."Jadi, kita sudah sediakan satu garis panduan untuk ini dan garis panduan ini akan dikeluarkan tidak lama lagi oleh urus setia yang akan bertemu parti politik dan memberi keterangan selanjutnya mengenai garis panduan itu," katanya. Abdul Rashid menjelaskan bahawa antara inti pati garis panduan yang akan diumumkan itu meliputi had bilangan peralatan kempen pilihan raya seperti poster yang akan digunakan parti politik sepanjang tempoh kempen dijalankan."Kita hadkan jumlah poster dan kita tentukan di mana dan bagaimana ia mahu digantung."Selain itu, sebagai contoh kita juga akan mengehadkan bilangan bendera yang dipasang di kereta kepada hanya tiga bendera saja kerana sebelum ini, ahli parti politik memasang terlampau banyak bendera di kereta masing-masing," katanya.Beliau berkata, bagi tujuan pemasangan poster juga, parti politik akan diberi panduan untuk tujuan itu bagi mengelakkan berlakunya masalah di antara parti politik yang bertanding."Semua orang akan mendapat keadilan, tidak perlu lagi bertelagah untuk mendapatkan ruang untuk menggantung poster dan peralatan kempen serta banyak duit yang boleh dijimatkan," katanya.Abdul Rashid berkata, kerajaan sudah bersetuju dengan langkah yang akan diurus dan dikawal SPR itu."SPR mempunyai unit penguatkuasaan sendiri ketika pilihan raya dan mereka akan memantau sama ada garis panduan itu dipatuhi atau sebaliknya," katanya.

Tiada ulasan: