MELAKA, 1 Ogos (Hrkh) - Kerajaan Negeri Melaka hanya membazirkan wang rakyat sahaja apabila mengumumkan hasil lawatan Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam bersama 28 orang delegasi ke Amerika Latin dan Paris baru- baru ini hanyalah menanam pokok di dalam kawasan bandar. Sejak kebelakangan ini, begitu banyak projek- projek atau program yang jelas membazirkan duit rakyat dilaksanakan dan lebih malang lagi ada di antara program dan projek tersebut dijalankan untuk kepentingan peribadi pemimpin negeri.
Menurut Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab, PAS Melaka sangat kesal dengan tindak-tanduk Kerajaan Negeri Melaka yang sewenang- wenangnya berbelanja tanpa memikirkan samada perbelanjaan tersebut memberikan manfaat atau tidak kepada negeri dan rakyat.
Beliau berkata, sehingga kini kerajaan negeri gagal memberikan jawapan konkrit apakah hasil yang diperolehi dari lawatan yang kosnya mencecah lebih dari RM1 juta itu.
"Antara program yang jelas membazirkan duit rakyat ialah lawatan selama 2 minggu ke Paris dan Amerika Latin itu cuma berhasil mendapat idea untuk menanam 100,000 batang pokok di Melaka, di mana wang RM1 juta dibazirkan untuk belajar ‘hutankan’ bandar.
"Kalau inilah sahaja hasil lawatan rombongannya maka amat malang sekali kerana wang lebih dari RM1 juta dibelanjakan hanya untuk mengkaji bagaimana bandar ’dihutankan’ sedangkan di dalam negara kita sendiri terdapat ramai pakar landskap yang berupaya mengindahkan bandar dengan pokok.
"Tidak perlulah beliau menjelajah Amerika Latin serta Paris untuk tujuan tersebut," katanya.
Beliau turut mempersoalkan, apakah kerajaan negeri menafikan keupayaan pakar-pakar landskap negara kita sehingga sanggup membazirkan duit rakyat semata-mata untuk mengkaji dan belajar kaedah ’menghutankan’ bandar?
"Apakah Ali Rustam sengaja menggunakan duit rakyat untuk melancong kerana hasil dari lawatan ke Amerika Latin dan Paris ini langsung tidak munasabah dengan jumlah perbelanjaan yang begitu besar?
"Apakah Ali Rustam tidak rasa bersalah menggunakan wang rakyat RM1 juta semata-mata untuk melancong?" soal beliau.
Beliau menambah, "kita harap Ali Rustam dan kerajaan negeri dapat menjawab segala persoalan ini dengan jujur demi kepentingan rakyat dan kredibiliti beliau serta kerajaan negeri."
Ketua Menteri Melaka sebelum ini mengumumkan bahawa Melaka akan setanding dengan Kota Paris apabila 100,000 pokok ditanam menjelang akhir tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 50,000 akan ditanam di seluruh kawasan Bandaraya manakala bakinya akan ditanam di daerah Jasin dan Alor Gajah.
Ali Rustam berkata, Konsep 'menghutankan bandar' adalah hasil lawatan kerja Kerajaan Negeri Melaka selama dua minggu ke Amerika Latin dan Paris baru-baru ini.
"Ini juga sejajar dengan misi nasional yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menitik beratkan melalui penjagaan alam sekitar,"katanya.
Sebelum itu, Ali Rustam bersama 15 delegasi telah melawat Lijiang, China selama 4 hari, pada 20 April lalu dan hasil lawatan beliau ialah untuk memasang lampu jalan seperti yang terdapat di sana. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan