Followers

Isnin, 30 Julai 2007

Muslimat Serkam Cammana ???

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Muslimat PAS Selangor disaran supaya menjalankan kerja-kerja yang lebih fokus khususnya untuk memantapkan jentera pilihan raya negeri itu bagi menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Selangor, Mohd Radzi sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk, "Persiapan Gerak Kerja HalWa Menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12" di Konvensyen HalWa Selangor yang berlangsung di Markas PAS Taman Melewar semalam.

Walaupun pada keseluruhan muslimat dikatakan berada di hadapan berbanding unit-unit lain dalam PAS, Radzi berkata, dalam kerja penculaan, muslimat sepatutnya memberi fokus kepada orang yang sepatutnya dicula.

Malahan, katanya, bukan semua pengundi perlu dicula kerana beberapa peringkat yang perlu diculakan terutamanya, pengundi di atas pagar, orang-orang Umno dan akhirnya kepada orang-orang bukan Melayu.

"Kalau mereka (Muslimat) ikut 'step' ini insya-Allah perkembangan kerja-kerja pilihan raya ini akan meningkat dan bertambah baik," katanya.

Radzi juga menegaskan, di samping mencula itu muslimat juga melakukan kerja-kerja daftar pemilih, terutama mereka yang belum mendaftar sebagai pemilih dan bagi pengundi yang susah ke tempat mengundi diberi tempat tinggal yang berdekatan dengan tempat membuang undi.

Beliau juga menekankan sikap di kalangan muslimat yang menjadi pokok utama perlu diubah untuk mengerakkan jentera parti setelah diberi panduan dan taklimat bagi menghadapi pilihan raya nanti.

"Apa yang paling penting ditekankan muslimat perlu ubah sikap kerana sikap ini merupakan perkara dalaman dan kalau sikap berubah semuanya boleh berubah tetapi kalau sikap tidak berubah sekadar datang konvesyen balik konvensyen sekali pun mereka berada di takuk lama.

"Apa yang kita beri dalam konvensyen ini ialah ilmu dia faham dengan ilmu itu maka dia boleh buat kerja, harap dia balik kepada UPU masing-masing dia boleh buat kerja sebagaimana yang kita beri bukan sahaja dalam bentuk taklimat, kita juga beri dalam bentuk bertulis iaitu rangka kerja, plan tindakan cuma dia isi tempat kosong dan lakukan apa yang diarah," katanya.

Sementara itu, Ketua Muslimat Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan dalam ucapan penggulungan menyenaraikan lapan resolusi yang perlu diambil perhatian oleh setiap muslimat kawasan bagi memantapkan jentera pilihan raya.

Di antara resolusi itu ialah, memastikan portfolio HalWa wujud di setiap peringkat Jabatan Pilihan Raya Kawasan, Majlis Tindakan Dun (MTD) dan Unit Peti Undi (UPU), bilik gerakan berfungsi bermula sekarang, meneruskan gerak kerja daftar pemilih, menyusun aktiviti bertemu masyarakat secara berkala, dan mewujudkan kerjasama dengan Barisan Alternatif.

Wan Hasrina juga berharap muslimat menggunakan seluruh ruang yang ada untuk mengambil kesempatan bagi menyampaikan amanat parti kepada semua pengundi-pengundi di negeri itu.

"Misalnya dalam suasana Umat Islam menyambut Aidilfitri nanti, kita perlu bijak menggunakan kesempatan ini untuk menziarahi masyarakat di samping menyampaikan matlamat kita untuk mengajak mereka sama-sama berada dalam perjuangan kita," katanya.

Konvesyen HalWa Selangor yang berlangsung setengah hari itu dihadiri kira-kira 600 muslimat dari seluruh kawasan negeri itu. - mks.

Tiada ulasan: