Followers

Selasa, 17 September 2013

PERKUKUH SISTEM DUA PARTI

PAS akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat memandangkan hubungan parti itu lebih kukuh dan baik berbanding hubungan antara parti dalam Barisan Nasional.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata hubungan dalam Pakatan Rakyat itu perlu diteruskan sebagai sistem dua parti.

"Memang semua parti politik dalam Pakatan Rakyat mempelajari cara parti masing-masing. Sehingga kini kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN," tegas beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung kerjasama PAS dalam Pakatan rakyat, khususnya dengan PKR.


Mengulas isu sama ada PAS bersedia untuk mengkaji semula tahaluf siasi kerana kononnya menjadi sebab kemerosotan undi terhadap PAS, beliau bagaimanapun menafikannya.

"Tahaluf siasi bukan penyebabnya. PAS dapat meningkatkan undi di Selangor. Dari tiga exco kepada empat exco dan dari lapan kerusi kepada 15 kerusi. Begitu juga di Terengganu. Kita juga dapat tambah kerusi di Melaka, juga Johor," tegas beliau.

Tambah beliau, jika kemerosotan undi dijadikan penanda aras kekuatan sesebuah parti, BN lebih mengalami kemerosotan undi pada pilihan raya umum lalu.

"Kalau nak tengok undi merosot, BN lagi merosot undinya di Terengganu, Selangor dan Johor," kata beliau sambil menyatakan sebab kemerosotan undi terhadap BN menyebabkan parti itu teraba-raba mencari kawan.

Tiada ulasan: