Selepas projek monorel Melaka berharga RM15 juta mengudang pembaziran berganda, kini projek bertemakan hiburan, permainan roller coaster pula mengalami nasib yang sama.
Merujuk kepada akhbar Sinar Harian hari ini, roller coaster yang bertempat di taman hiburan Sungai Melaka itu tidak pernah berfungsi sejak dua tahun lepas.
“Projek yang bernilai RM10 juta ini sehingga hari ini hanya bertindak sebagai hiasan,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Melaka, Muhamad Aizat Bahrudin.
Katanya, dirasmikan dua tahun lepas, sepatutnya roller coaster yang mempunyai landasan sepanjang 1 kilometer itu dapat digunakan pada 31 Ogos lalu namun sehingga hari ini masih kosong, hanya landasannya sahaja yang ada.
Menruutnya, kelewatan roller coaster itu untuk berfungsi telah dimaklumkan sebelum ini oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Ali, ujarnya memberitahu ia berpunca daripada faktor keselamatan selain masih belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Pekerjaan (JKKP) dan difahamkan roller coaster itu juga tidak menepati ciri keselamatan.
Justeru, kata Aizat, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menggesa agar kerajaan negeri menangani masalah itu dengan segera dan mengambil serius tentang faktor keselamatan untuk setiap projek perlancongan di Melaka.
Sebelum ini, katanya projek monorel juga tidak berfungsi dengan baik, sering tergendala dan mampu mendatangkan bahaya kepada pelancong.
Beliau menambah, selain membawa pembaziran, kerosakan monorel tersebut itu juga memberi imej buruk pada industri pelancongan Melaka yang sebelum ini diumum sebagai negeri Maju.
“Seharusnya perkara asas sebegini tidak menjadi masalah memandangkan telah tersedia garis panduan keselamatan sebelum sesuatu projek itu dilaksanakan lebih-lebih lagi projek tersebut melibatkan pengguna secara langsung seperti permainan roller coaster dan monorel ini.
“Ianya perlu di pandang serius agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya lagi.
Tambahnya, tapak taman hiburan yang menempatkan permainan roller coaster itu juga dikatakan tidak strategik kerana lokasinya agak terpencil dan jauh dari tumpuan pengunjung.
“Ianya juga sedikit sebanyak membawa kepada faktor kerugian akibat bilangan pengunjung yang sedikit selain roller coaster yang tidak berfungsi, bak kata pepatah sudah jatuh, ditimpa tangga, begitulah keadaannya projek kerajaan negeri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan