Followers

Khamis, 4 November 2010

TINDAKAN JUAL BAYI HARAM QATIE' DAN BERDOSA BESAR

Tindakan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membenarkan nama bayi dijual lengkap dengan bin atau binti atas nama pembeli sebagai bapa sah adalah haram di sisi agama, kata Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu berkata, kakitangan jabatan berkenaan yang bersubahat dengan sindiket penjualan bayi bagi memudahkan pengeluaran sijil kelahiran asli juga salah dari segi undang-undang dan Islam.

“Berdosa besar jika ada yang bersubahat dengan sindiket seperti ini, hukum Islam bukan perkara yang boleh dipermainkan.
“Jika dibin atau binti atas nama pembeli ia haram dan memberi impak besar pada masa akan datang.

“Anak itu tidak boleh mewarisi harta, menjadi wali dan bukan muhrim kepada anak kandung dan pembeli itu walaupun pada sijil kelahiran tertera dibin atau binti atas nama pembeli,” katanya, semalam.

Berita Harian kelmarin mendedahkan ada kakitangan JPN disyaki bersubahat dengan sindiket jual bayi dengan mengeluarkan sijil lahir asli.

Kegiatan itu terbongkar selepas Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman menyerbu sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh, di sini dan menahan enam suspek.
Dr Abdul Shukor berkata, jika kakitangan JPN tidak mengetahui taktik sindiket itu kerana setiap dokumen dibawa lengkap, mereka tidak boleh dipersalahkan dan tidak wujud istilah bersubahat.

Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap hospital swasta itu kerana melanggar etika dan merosakkan nama baik dan integriti kedoktoran di negara ini.

Tiada ulasan: