Jika dulu rakyat di Hulu Selangor mendapat "durian runtuh", kini segalanya telah dilupakan, bahkan mereka perlu menunggu masa yang lama untuk mendapat semula habuan-habuan wang ringgit dan pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan UMNO BN. Begitu juga dengan kawasan lain seperti di Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Kuala Terengganu, Manek Urai, Bagan Pinang, Batang Ai, Penanti dan sebagainya. Semua rakyat yang menyokong BN di kawasan ini kini terpaksa menelan "air liur" melihat projek dan apa yang dijanjikan tidak kunjung-kunjung tiba. Mereka terpaksa berputih mata dan mengharapkan agar berlaku sekali lagi pilihanraya kecil di kawasan mereka barulah boleh mengharapkan semua itu. Selagi tidak ada kerusi DUN atau Parlimen yang kosong, maka selagi itulah mereka perlu menunggu hingga ke pilihanraya umum akan datang. Itu pun limpahan kemewahan yang bakal dinikmati tidaklah sehebat ketika pilihanraya kecil diadakan. Apa yang pasti, projek "mee segera" dan "wang ringgit" kini ditaburkan di Sibu Sarawak pula. Beruntung benar rakyat di sana kerana "wang besar sudah datang" untuk dinikmati mereka. Biarpun PM Najib Razak berapi-rapi menafikan BN memberi rasuah dan membeli undi untuk mendapat sokongan rakyat, namun kenyataan itu sekadar "indah khabar dari rupa" semata-mata. Bahkan, rakyat Malaysia sudah lama tahu bahawa hanya dengan "membeli undi" sahaja BN terpaksa disokong oleh rakyat. Itu pun bagi mereka yang sudah dibutakan mata dan hati daripada melihat kebenaran. Jika tidak, sudah pasti tidak ada sesiapa lagi yang akan memangkah parti karat itu buat sejak dulu, kini dan pasti buat selamanya.
Apakah SPR akur dan patuh kepada Misi dan Visi mereka ini?
Kelmarin, media arus perdana mula memainkan peranan mereka di Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu. UMNO BN seolah tidak langsung mahu mematuhi segala arahan dan undang-undang pilihanraya yang telah ditetapkan iaitu kesalahan kerana merasuah pengundi. Lantaran itu bagi menghalalkan apa yang mereka lakukan, maka pemimpin UMNO BN terpaksa mengarahkan jentera komponen mereka iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang badan bebas untuk memantau pilihanraya supaya adil dan telus iaitu Mafrel dari melaksanakan tugas mereka di Sibu. Kononnya SPR sudah bersiap sedia dan cukup jentera untuk melaksanakan tugas tersebut. Walhal, SPR dilihat lebih bersikap "double standard" dalam setiap tindakan mereka. Malah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi SPR, Aziz Yusof (foto) ketika di Hulu Selangor baru-baru ini juga dilihat berat sebelah. Beliau menyalahkan pembangkang 100% dalam apa jua kejadian dan kekecohan yang berlaku. Seolah-olah UMNO BN itu "perfect 100%" dan patuh kepada segala peraturan yang telah ditetapkan oleh mereka. Kini, ia berlaku lagi di Sibu, SPR sudah pasti akan menggunakan segala kekuatan mereka untuk memastikan BN menang besar di sana. Tambahan pula, parlimen Sibu terletak dalam kawasan "talian hayat BN". Terbenamnya Sibu kepada pembangkang, bermakna harapan untuk merampas lebih banyak kerusi parlimen di sana dalam pilihanraya umum akan datang pasti tercapai. Ini juga akan membolehkan Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pusat. Oleh itu, Sibu akan menjadi "lambang kejayaan" dan perubahan besar yang diharapakan oleh rakyat. Sebab itulah, SPR pasti akan mencuba untuk menggagalkan hasrat pembangkang itu sama seperti apa yang berlaku di Hulu Selangor dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan