Followers

Rabu, 25 Mac 2009

Datuk Ali Kempunan Jawatan Timbalan Perdana Menteri -Malaysiakini

KETIKA amarah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum reda lagi angkara surat bertarikh 23 Mac, Mursyidul Am PAS memberi jaminan mana-mana media bebas membuat liputan muktamar PAS Jun depan. Kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat apa yang hendak disembunyikan kerana PAS sejak dahulu sehingga sekarang mengamalkan intergriti.

Kata orang berani kerana benar. Dan takut bermakna bersalah. Mungkinkah taktik itulah yang tersembunyi di sebalik penggantungan tiga bulan permit Harakah dan Suara Keadilan. Mengapa tiba-tiba pemimpin Umno melatah membenam media oposisi. Tentunya ada sesuatu yang tidak kena. Siapa yang buat silap Harakah atau KDN.

Dakwa Menteri KDN, Dato' Seri Syed Hamid Albar semalam kedua-dua akhbar terbabit memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan menyuntik perasaan benci terhadap kerajaan. Tidak perlu Presiden PAS menjawab dakwaan itu, Pak Mat di kampung pun boleh tolong beri jawapan. Maka kata Pak Mat mengapa tidak disaman akhbar berkenaan. Jadi dalam isu ini mengapa KDN dibiarkan menjadi penakut.Mungkinkah takut kerana kerana ada sesuatu yang mahu disembunyikan. Tak perlulah diadakan kursus khas di bawah Biro Tata Negara bagi menjelaskan laporan mana yang mengelirukan.

Media mana jujur

Ali, Ramasamy dan Ah Kau pun boleh bezakan di antara laporan suratkhabar harian dengan media oposisi. Tak perlulah KDN hendak ajar mereka, kerana sejak tadika lagi mereka sudah boleh membaca. Inilah media yang ada intergriti. Melaporkan perkara yang benar dan seakan-akan benar. Jadi takutnya KDN kerana di sebalik nama Harakah dan Suara Keadilan itu ada kebenaran dan kejujuran. Tidak perlu kepada Pelan Intergriti Negara (PIN) kerana garis panduan yang diberi dalam Islam sudah jelas. Cuma kita hendak ikut atau tidak.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pun tumpang amarah sama. Lalu beliau berkata tindakan Umno mengharamkan media baru daripada membuat liputan Perhimpunan Agung Umno sebagai strategi yang silap."Umno sepatutnya mengalu-alukan media baru. Ini adalah trend masa depan. Kita perlu buka pintu kita, jika tidak kita akan dibanjiri khabar angin dan surat layang," katanya di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Namun sayang seribu kali sayang, pemuda seperti Khairy mungkin tidak mendapat tempat sewajarnya dalam Umno selepas ini. Nasib yang menimpa bapa mertuanya sudah menjalar ke dalam dirinya. Keghairahan 'budak tingkat empat' seperti riuh diperkatakan sejak lima tahun lalu, bakal lenyap sedikit masa lagi.

Bayang Khairy makin pudar

Ketika kelompok Wanita, Pemuda dan Puteri sibuk memangkah di kertas undi petang ini, bayangan Khairy semakin pudar. Gandingan Dato' Mukhriz Mahathir dan Dato' Reezal Merican Naina Merican dikatakan lebih mencuri perhatian perwakilan. Mereka lebih akrab dengan Dato' Seri Najib Razak. Mesej daripada pemerhati yang berada di Dewan Merdeka seakan-akan mengakui hakikat itu. Inilah roda namanya. Masa untuk Khairy dan Dato' Seri Khir Toyo berada di atas nampaknya seperti sudah berlalu, kalau benar apa yang diramal itu.

Dan nasib serupa juga bakal menimpa Tan Sri Rafidah Aziz. Masanya juga dikata pemerhati sudah berlalu. Biar pun orang harapan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terlodeh seorang demi seorang, mungkin harapan masih berpaut kepada Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Ramai menjangka apa yang berlaku ketika perhimpunan agung MCA tahun lepas akan berulang menimpa Umno kali ini.

Dengan terhalangnya Dato' Seri Ali Rustam mara di kedudukan kedua, ramai berhujah penyokongnya akan beralih kepada Muhammad. Siapa sangka Dato' Dr Chua Soi Lek berjaya comeback dalam MCA selepas tercemar teruk ekoran kontroversi video aksi seksnya. Namun beliau menang jawatan Timbalan Presiden MCA menewaskan Dato' Ong Ka Chua dengan kelebihan 115 undi tahun lalu.

Orang Pak Lah dalam kabinet Najib

Begitu juga dengan situasi dalam Umno sekarang. Kemunculan Muhammad tidak boleh dipandang lekeh.Biar pun Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menggariskan wawasan apabila menduduki kerusi nombor dua, namun ramai pemerhati melihat beliau terlalu gopoh. Kalau benar Muhammad berjaya dalam percubaan esok atau lusa, setidak-tidaknya Abdullah boleh 'pergi' dalam situasi tenang. Pengaruhnya masih bersisa lagi dalam Umno dan kabinet Najib.

Bagi jawatan Naib Presiden suara-suara sumbang mengakui kedudukan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dato' Seri Shafei Afdal dan Dato' Seri Hishamuddin Hussien lebih selesa. Apa yang pasti Ali seperti ibu yang keguguran, ditakdirkan tidak dapat menimbang anak selepas berbulan-bulan mengandung. "Malang sungguh Ali kerana semalam adegan salam berisi sampul masih menjadi-jadi," kata seorang pemerhati.

Tiada ulasan: