Followers

Sabtu, 2 Ogos 2008

TARIKH PENAMAAN CALON PR KECIL PERMATANG PAUH RABU INI

PUTRAJAYA 1 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu depan untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.Setiausahanya, Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, surat peletakan jawatan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah diterima oleh pihaknya pada pukul 12 tengah hari ini.''Sehubungan itu SPR akan bermesyuarat pada 6 Ogos ini (Rabu depan) untuk menentukan lima perkara termasuk tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian.

''Perkara lain yang akan turut dibincangkan ialah tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan raya, tarikh untuk mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Semalam, Dr. Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.Surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, semalam.

Menurut Kamaruzaman, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada pukul 10 pagi itu nanti akan disusuli dengan sidang akhbar.''Sebarang bentuk persediaan yang akan dilakukan oleh SPR akan ditentukan hasil daripada keputusan mesyuarat tersebut," katanya.

Tiada ulasan: