Urusniaga ekuiti di Bursa Malaysia tidak disambung pada jam 2.30 petang ini seperti yang dimaklumkan sebelumnya, kata bursa tersebut hari ini. Menurutnya, ia akan terus memaklumkan kepada pasaran mengenai perkembangan terkini sebaik sahaja ia menerima maklumat. Pada waktu rehat tengah hari tadi, Bursa Malaysia berkata urusniaga akan disambung semula pada pukul 2.30 petang melalui sistem sokongannya di tapak dagangan gantiannya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelabur Malaysia, Datuk PHS Lim, berkata bursa itu perlu mempunyai sistem sokongan yang boleh mengelakkan gangguan teknikal dalam sistem dagangan hingga menyebabkan pasaran saham itu ditutup, sekali gus mengelakkan salah tanggapan mengenai sistem kewangan negara."Masalah sedemikian akan menimbulkan tanggapan kepada pelabur bahawa ia berlaku disebabkan oleh keadaan politik, ekonomi dan sosial yang tidak menentu," katanya kepada Bernama hari ini. Dr Lim meminta pelabur, khususnya pelabur asing, supaya tidak membuat tanggapan yang salah dan mengandaikan bahawa penggantungan urusniaga itu disebabkan oleh faktor selain daripada masalah sistem komputer.
Sebelum ini, urusniaga sesi pagi Bursa Malaysia Securities Bhd digantung dari 9 pagi hingga 12.30 tengah hari berikutan masalah komputer. Dagangan di pasaran derivatif bagaimanapun diteruskan seperti biasa, kata bursa saham itu dalam satu kenyataan hari ini. Bursa Malaysia berkata talian maklumat mengenai pendasar Indeks Komposit Kuala Lumpur bagi dagangan FKLI dan OKLI tidak disediakan. Kenyataan itu menyebut berlaku kegagalan perkakasan sistem dagangan utama. "Semua peserta pasaran sudah dimaklumkan dan mereka akan diberikan kemajuan terkini secara berkala," katanya.Bursa Malaysia juga sedang menyiasat masalah itu dan akan memaklumkan kepada pasaran mengenai sebarang kemajuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan