Asiah Hassan,
Lajnah Penerangan GAMIS
Sudah hampir beberapa bulan kita semua tidak mengikuti perkembangan kes kehilangan adik comel, Sharlinie Mohd Nashar yang disyaki diculik. Maklumlah, kehangatan bahang pilihan raya umum negara yang ke-12 masih terasa. Namun, kita percaya pihak polis masih menjalankan usaha untuk menangkap orang yang tidak bertanggungjawab itu dan cuba menyelamatkan adik Sharlinie.
Seiring dengan itu, sama-samalah kita memohon doa kepada Allah SWT agar adik Sharlinie masih selamat dan semoga Allah melindungi beliau. Setiap doa yang kita pohon dari Allah SWT untuk orang lain, nescaya malaikat akan mengaminkan untuk kita sekali. Penjenayah memang patut dikenakan hukuman. Penjenayah yang tidak berperikemanusiaan jika dibiarkan bebas akan terus bermaharaja lela menjalankan agenda jahat mereka. Justeru, tidaklah patut jika kita sebagai ahli masyarakat hanya mengikuti perkembangan ini tanpa ada tindakan dan rasa sensitif malahan lebih teruk sekiranya ada di kalangan kita yang tidak tersentuh perasaan apabila mendengar kes-kes sebegini.
Sekarang ini pula, kita dikhabarkaan dengan satu lagi kes jenayah terhadap kanak-kanak iaitu kes penculikan adik Mohd Asmawi Jalaludin, 11 tahun yang hilang ketika sedang keluar dengan rakan-rakannya. Sebelum ini, kes tragis dan menyayat hati telah menimpa adik Nurin Jazlin.
Bilamana berlakunya kes-kes sebegini, kadang-kadang kita amat kesal kerana ada segelintir masyarakat bukan ingin membantu malah lebih teruk mengambil kesempatan terhadap keluarga simangsa dengan mengugut wang dan menghantar SMS kononnya tahu di mana mangsa disembunyikan. Hentikanlah agenda jahat ini, wahai pihak yang tidak bertanggungjawab!
Banyak lagi kes yang jika dinyatakan di sini amatlah banyak. Kes-kes sebeginilah yang amat merisaukan semua pihak. Di kala ini jualah, akan ada golongan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengugut keluarga mangsa dengan meminta wang tebusan walaupun hakikatnya dia pun tidak mengetahui di mana mangsa disembunyikan. Namun, harus kita ingat kes-kes ini bukan sahaja melanda kanak-kanak di negara kita malah semua peringkat usia lelaki dan perempuan akan merasa tidak selamat. Bagi golongan wanita terutamanya, tentu kes-kes rogol dan bunuh menghantui benak fikiran. Justeru, peranan semua pihak amatlah penting dalam memastikan keselamatan semua agar negara kita hidup harmoni.
Jiran-jiran harus mengenali siapa jiran tetangga, agar dapat mengecam seandainya ada orang yang diragui berlegar-legar di sesuatu tempat. Jika perompak memasuki rumah jiran kita, sudah tentu kita dapat mengecamnya tetapi seandainya kita tidak pernah mengenali siapa yang tinggal bersebelahan rumah kita, perompak masuk mungkin dijangkakan penghuni rumah. Kadang-kadang sikap 'jaga tepi kain orang' perlu diaplikasikan.
Selain itu, setiap ahli masyarakat kita seharusnya mempersiapkan diri dengan pengetahuan agama yang cukup agar menjalani kehidupan seharian berlandaskan peraturan-peraturan agama terutama agama Islam. Dengan adanya pengetahuan agama yang cukup, sudah tentu gejala-gejala negatif tidak akan timbul secara berleluasa. Pemakaian yang sopan contohnya amat penting bagi golongan wanita agar tidak menarik perhatian golongan yang tidak bertanggungjawab. Hasil didikan dan penghayatan agama yang sempurna akan membuahkan hasil yang baik.
Pendidikan di sekolah juga amat penting. Jika di dalam kelas, pelajar bukan diajar mengikut sukatan mata pelajaran semata-mata untuk cermerlang dalam peperiksaan, tetapi penerapan nilai-nilai murni amat penting. Tugas sebagai pendidik adalah mendidik untuk berjaya dalam apa jua aspek. Pelajar yang bermasalah jika diatasi dengan sebaiknya dan penuh hikmah akan dapat menerima kaedah tersebut dan boleh berubah ke arah kebaikan. Mereka masih mencari identiti sendiri yang memerlukan kawalan dan bantuan yang sewajarnya dari pihak yang berkaitan, bukan membiarkan mereka terlalu bebas dan mengongkong terlalu ketat.
Justeru itu, sama-sama kita mengubah minda dan tindakan kita ke arah yang lebih baik. Sama-sama kita mempersiapkan diri dengan bekalan yang cukup. Janganlah kita tidak mempedulikan masyarakat sekeliling kerana merasakan mereka bukan saudara terdekat kita, tetapi hakikatnya kita semua saudara keturunan yang sama iaitu Nabi Adam a.s dan Hawa. Panjatkan doa semoga Allah sentiasa melindungi kita semua dari perkara-perkara yang tidak diingini dan semoga penjenayah-penjenayah dapat ditangkap secepat mungkin dan dihukum dengan sewajarnya sebelum lebih ramai anak-anak kecil dan ahli masyarakat kita menjadi mangsa penjenayah. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang mana jika kamu mengikutinya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku". Marilah sama-sama kita mengubahlah diri kita ke arah kebaikan bermula saat ini
betah pendekarserkam :
zaman sekarang nie istilah jangan jaga tepi kain orang dah tak sesuai digunakan sebab banyak masalah dan pendekar nak cadangkan guna istilah .. kena jaga dalam kain orang .. jangan bagi rosak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan