Followers

Selasa, 24 Jun 2008

EZAM KUDA TROJAN BARU PAK LAH

Umno adalah laksana sebuah kapal persiaran sedangkan PKR adalah laksana sebuah bot laju. Dua-dua ini saling bersaing. Kapal persiaran amat stabil dan menyeronokkan, tetapi amat menyulitkan. Sementara itu bot laju amat ringan, mudah dialih-alih tetapi kerap bergegar kalau muatannya berkurangan. Kapal persiaran telah terlanggar bongkah air batu dalam kegelapan, alat juru mudinya terkehel dan berkemungkinan kapal itu akan tenggelam bila-bila masa sahaja. Sebaliknya, bot laju telah berjaya melepasi bongkah air batu itu dan kini terus bergerak laju ke hadapan.

Buat masa ini, adakah logik kalau seseorang terjun daripada kapal persiaran untuk menumpang bot laju, ataupun dia lakukan yang sebaliknya? Apakah dia bengong ataupun sudah gila? Mantan Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor bukannya seorang yang bodoh untuk masuk Umno semula. Akan tetapi apakah yang sebenarnya berlaku? Satu ketika dahulu Ezam merupakan seorang pembantu penting kepada Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mereka telah menerima nasib yang sama. Ketika Anwar berkuasa dalam Umno, Ezam merupakan sebutir bintang yang baru bersinar. Ketika Anwar meninggalkan parti, Ezam begitu juga dengan nasib yang semakin pudar.. Semasa Anwar dipenjarakan, Ezam turut dipenjarakan sama. Ketika Anwar dan PKR mengharungi zaman getir Ezam telah berada dengan mereka, tetapi bila parti itu mula bersinar, Ezam telah memilih laluan lain. Amat sukar untuk orang luar memahami apakah penting untuk Ezam melepaskan pengorbanan dan sumbangannya yang sudah berusia lebih sepuluh tahun itu semata-mata kerana kedinginan hubungan dengan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Namun, ini bukan satu kejutan lagi apabila Ezam rujuk pada Umno semula kerana sejak tiga tahun dahulu lagi sudah ada desas-desus hal ini apabila dia meninggalkan PKR. Ketika itu dia tidak memilih Umno tetapi telah menubuhkan satu pertubuhan bukan-kerajaan bernama ‘GERAK’. Pada waktu itu dia masih memainkan peranan mengkritik mereka yang berada di anjung kuasa, termasuk mengemukakan satu laporan setebal 600 muka-surat mendakwa seorang menteri kanan yang didakwanya terlibat dengan korupsi. Apa pun, tidak ada tindakan yang diambil setelah laporan itu diserahkan kepada kerajaan. Beberapa tahun dahulu, memang ada desas-desus mengatakan Ezam mahu menyertai Umno semula. Dia sendiri telah menafikannya dan dengan penuh yakin berkata: “Sebagai pemimpin Gerak, saya selalu melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh anggota Umno kepada polis. Bagaimana mungkin Umno menerima orang seperti saya?” “Lagi pun, kalau saya mahu memasuki Umno semula, saya perlu dapatkan kedudukan yang tinggi dalam PKR untuk mendapat habuan percaturan yang lebih bernilai.” Tentu kita masih boleh ingat dengan jelas kata-kata Ezam, tetapi apabila keadaan berubah dan sudah tiba pula masanya, pendirian beliau dan sikapnya turut berubah. Buat masa ini Umno memerlukan Ezam seperti mana Ezam memerlukan Umno.
Sejurus gegaran yang tercetus selepas pilihan raya umum 8 Mac dahulu, Umno sudah amat faham betapa lunturnya imej parti, terutama sekali di kalangan generasi muda. Parti itu sudah hampir sinonim dengan perkataan kemudahan, konservatif, wang dan keangkuhan. Oleh kerana Umno kini diketuai oleh pemimpin-pemimpin tua-tua, dan ketandusan pemimpin muda seperti Ezam, yang mempunyai imej masih sihat, tentunya beliau mampu membantu parti rapat kepada golongan di peringkat akur-umbi. Ezam sedar dia sudah kehilangan pentasnya selepas melepaskan PKR. Ruang yang disediakan Umno adalah satu peluang untuk dia. Seorang tokoh berkarisma memang amat diperlukan oleh Pemuda Umno dan Umno Selangor turut memerlukan seorang pemimpin muda. Inilah kekosongan yang boleh diisi oleh Ezam. Namun, sudah timbul bantahan di kalangan Umno. Segelintir anggota parti itu menjadi risau apakah kemasukan Ezam itu laksana membawa “Kuda Trojan” ke dalam parti. Ia mungkin merupakan strategi Anwar untuk melumpuhkan Umno. Ketua Pemuda Umno Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein memberikan jawapan yang begitu bersahaja. Dia cetuskan tiga persoalan: “Apakah faedahnya yang akan dibawa oleh Ezam masuk Umno? Apakah Ezam sedar akan perjuangan hala tuju Umno? Apakah peranan yang akan Ezam sumbangkan dalam Umno? Adalah tidak mungkin Ezam masuk Umno semula tanpa keizinan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad dan Timbalannya Dato' Seri Najib Tun Razak. Dia mungkin tidak akan diterima oleh majoriti anggota parti sejurus dia masuk semula. Sudah tentu sebagai orang luar, dia tidak akan dialu-alukan sebagai pemimpin Pemuda Umno dan Umno Selangor pun sudah lama mempunyai pasukannya tersendiri.

Kemasukan Ezam adalah laksana memasuki gelanggang Roma untuk pertandingan para ‘gladiators’ yang bertarung kerana kuasa dan perhatian. Inilah laksana Prometheus dalam metos Yunani seandainya dia mahu mempamerkan bakatnya di sana kerana masih ada sangkaan apakah dia mampu untuk terus berwibawa. Memang sukar diterima bahawa Ezam adalah laksana Kuda Trojan kerana terlalu terang kisahnya. Dia akan menjadi sasaran sebelum mampu sampai ke tengah-tengah kota. Umno sudah laksana ‘Mount Doom’ yang bergelora dalam filem The Lord of the Rings. Hercules pun boleh menjadi lemah di sana. Apa lagi kalau Ezam bukanlah seorang Hercules.

Tiada ulasan: