PAS bersedia menerima ahli parlimen bebas kawasan Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali untuk menyertai parti itu sekiranya beliau mahu bersama-sama memperjuangkan Islam, kata menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat."Kalau dia boleh menerima (menyertai PAS), alhamdulillah, kalau tidak apa boleh buat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri hari ini. Ibrahim, yang juga bekas ketua bahagian Umno Pasir Mas dan dipecat daripada parti itu, telah menyatakan kemungkinan menyertai sesebuah parti bagi meneruskan perjuangan politiknya.Menurut laporan Bernama, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Ibrahim bertanding sebagai calon PAS dan menewaskan Ahmad Rosdi Mahamad dari Barisan Nasional dengan majoriti 8,991 undi. Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS, bagaimanapun berkata parti itu tidak akan membuat pelawaan rasmi kepada Ibrahim."Saya tidak suka mempelawa kerana saya suka memberi dakwah dan memberikan penerangan. "Mempelawa itu tidak penting," katanya.Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Ibrahim berkata beliau masih memerlukan masa untuk membuat pertimbangan semasak-masaknya sebelum memilih parti yang akan disertainya. "Saya nak tengok iklim politik semasa dulu. "Dan saya ada banyak masa dan tidak tergesa-gesa untuk mempertimbangkan perkara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan