Followers

Jumaat, 11 April 2008

Sayang... PAS dan PKR tidak menang di Melaka - Betty Chew

Ahmad Tajdid Fri Apr 11, 08 3:38:13 pm MYT
MELAKA, 11 April (Hrkh) - Betty Chew bukan nama kecil dalam arena politik Melaka. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana itu memikul tanggung jawab sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, penggal lalu. Tapi bagi penggal ini, anak penarik beca dari Durian Daun, Melaka itu menolak apabila dicalonkan kerana kesibukan tugasnya sebagai wakil rakyat, isteri kepada Ketua Menteri dan ibu kepada lima anak yang sedang membesar. Walaupun bertubuh kecil dan menjadi ibu kepada lima anak berumur 8 hingga 15 tahun, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ini tidak kekok untuk menjuarai isu-isu rakyat di negeri Hang Tuah itu. Kerjaya politiknya bermula pada 1999 setelah beliau terpilih sebagai Adun Durian Daun, Melaka. "Sayanglah, PAS dan PKR (KeADILan) tak menang (di Melaka) pilihan raya lalu," katanya ketika memulakan bual bicara dengan Harakah di pejabat guamannya di Melaka Raya. "Awak kena balik Melaka lah, kita sama-sama kerja lawan BN," katanya berseloroh setelah diberitahu penulis berasal dari Melaka. Perbualan kami sering diganggu dengan nada dering telefon bimbitnya. Ada yang merungut kerana gagal menghubungi Guan Eng yang kini menerajui pentadbiran kerajaan Pulau Pinang. "Dia sentiasa sibuk dengan program sekarang. Awak kena hubungi dia melalui setiausahanya. Nanti saya berikan nombor hubungan beliau," katanya dalam bahasa Inggeris kepada pemanggil itu. Betty mengakui banyak perubahan yang berlaku pada keluarganya selepas pilihan raya umum, 8 Mac lalu. Berkahwin dengan Lim Guan Eng pada 1989, beliau tidak menyangka bertemu jodoh dengan lelaki dari 'keluarga politik'. Guan Eng pada waktu itu Ahli Parlimen Kota Melaka manakala bapa mentuanya Lim Kit Siang ialah Ketua Pembangkang Dewan Rakyat. "Bagaimana puan menguruskan hal ini. Puan Adun di Kota Laksamana, Melaka sedangkan Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang, bila puan dan Guan Eng berjumpa?" soal Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman. Betty terdiam sambil menguntum senyum... "Kami sedang berusaha untuk memikirkan cara terbaik... saya sendiri tak sangka begini... saya tak jangka (DAP) boleh menang banyak," katanya jujur. "Semasa pilihan raya dulu Guan Eng di mana?" soal Lutfi. "Dia di Penang," jawab Betty. "Puan di mana?" soal Lutfi lagi. "Saya di Melaka," ujarnya sambil ketawa. Menurut Betty, Guan Eng menghubunginya beberapa kali semasa penjumlahan undi untuk bertanyakan keadaan di Melaka. Betty mengakui tidak tentu arah dan 'takut' apabila diberitahu DAP menang semua kerusi yang ditandingi di Pulau Pinang. "Kita hanya yakin menang di Bagan tetapi tidak di seluruh (kerusi yang ditandingi DAP) Pulau Pinang. Peluang menang 50-50," jelasnya.

Tiada ulasan: